Showing posts with label PRK DUN Nenggiri. Show all posts
Showing posts with label PRK DUN Nenggiri. Show all posts

Wednesday, August 21, 2024

Dakwa ‘sogokan’ di Nenggiri, PN akan hantar petisyen bantah kemenangan BN

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-21 Aug 2024, 10:30 PM

Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Mohd Noor mengesahkan pihaknya sedang kumpul ‘bukti’ apa didakwa sebagai sogokan dan ugutan ke atas pengundi.
Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Mohd Noor, berkata PN sedang kumpul bukti sebelum failkan petisyen pilihan raya membantah keputusan memihak BN di Nenggiri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) sedang mengumpul bukti bagi memfailkan petisyen Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Azmawi Fikri Abdul Ghani, 17 Ogos lalu.

Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Mohd Noor, berkata segala maklumat sedang dikumpul termasuk dakwaan wujud sogokan dan ugutan kepada pengundi sepanjang kempen PRK berlangsung.

Ya (akan fail petisyen) dan kini kami sedang kumpul semua bukti, katanya kepada FMT.

Terdahulu, Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Annuar Musa membangkitkan dakwaan berlaku sokongan kepada pengundi dan salah guna aset kerajaan pusat sepanjang kempen Nenggiri.

Dakwaan itu termasuk pengundi diberi wang dan peneroka diberi sijil perakuan milik lot rumah semasa berkempen.

Pada PRK Nenggiri Sabtu lalu, Azmawi menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Sunday, August 18, 2024

PN kalah kerana ‘salah pilih’ calon, kata sumber

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
18 Aug 2024, 12:04 AM

Sumber dalaman gabungan itu berkata, calon BN lebih dikenali dalam kalangan belia, sedangkan calon PN hanya popular dalam kalangan ‘orang masjid’.
Dua calon bersaing bagi kerusi Nenggiri, Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN) dan Rizwadi Ismail (PN), turut mengundi hari ini.

PETALING JAYA: Keputusan Perikatan Nasional (PN) memilih calon yang salah menjurus ke arah kekalahannya pada PRK Nenggiri hari ini, menurut sumber gabungan.

Sumber dalaman yang enggan namanya disiarkan itu berkata, bahawa calon PN Rizwadi Ismail didapati hanya popular dalam kalangan ‘orang masjid’.

Menurut sumber itu, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon yang tepat pada PRK Nenggiri, iaitu Azmawi Fikri Abdul Ghani yang memperoleh majoriti selesa dengan 9,091 undi, manakala Rizwadi hanya memperoleh 5,739 undi.

Sumber PN itu berkata, Azmawi sangat rapat dengan golongan belia di Nenggiri dan Gua Musang, dan pernah menaja acara belia.

Azmawi turut memanfaatkan kedudukannya dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), yang membangunkan 70% kemudahan di Gua Musang.

Sebab tu undi anak muda ‘swing’ (kepada BN), katanya.

PN turut bertelingkah berhubung pemilihan calon, kata sumber itu. Bersatu mencadangkan dua calon tetapi PAS tidak berminat disebabkan pengalaman mereka dengan Azizi Abu Naim, yang menang pada 2022 atas tiket Bersatu.

Pada Jun, Bersatu mengumumkan Azizi bukan lagi ahlinya, menyebabkan kerusi itu diisytiharkan kosong, mencetuskan pilihan raya kecil.

“PAS cakap, imej Bersatu tengah buruk (disebabkan tindakan Azizi). Mereka cadangkan calon PAS tetapi ‘tukar’ baju Bersatu.

Mungkin kalau kita pilih antara dua calon yang mula-mula dicadangkan itu, (PN) ada peluang lebih cerah (menang PRK Nenggiri), katanya.

Annuar Musa, pengarah pilihan raya gabungan itu untuk PRK Nenggiri, turut dilihat sebagai liabiliti, menurut Hisyamuddin Ghazali, seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan Pakatan Harapan.

Katanya, Annuar bukan sahaja kelihatan sombong, malah seorang yang suka menunjuk-nunjuk kekayaannya, menjengkelkan pengundi.

Keputusan untuk ‘mengitar semula’ pemimpin seperti Annuar tidak membawa impak yang ketara, katanya dalam catatan di Facebook.

Hisyamuddin, yang bertanding merebut kerusi Kuala Krai pada PRU 2022, turut mendakwa, perpecahan dalam kalangan akar umbi Bersatu dan PAS disebabkan pemilihan calon turut menyumbang kepada kekalahan PN.

Shahrir: Strategi francais Muhyiddin punca PN kalah di Nenggiri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 18, 2024 10:15 AM
Veteran Umno Shahrir Samad membidas Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung prestasi buruk partinya dalam pilihan raya kecil (PRK) Nenggirri.

Dalam catatan di Facebook, Shahrir menyoal Muhyiddin berhubung langkahnya untuk "francaiskan" Bersatu dalam kempen PRK Nenggiri, yang menurutnya sesuatu yang luar biasa bagi mana-mana parti politik.

"Muhyiddin selaku pengerusi PN dan Presiden PPBM telah francaiskan penyertaan PPBM dalam PRK DUN Nenggiri kepada PAS dan (bekas ahli parlimen Ketereh) Annuar Musa.

"Ini adalah suatu yang luar biasa bagi mana-mana parti politik. Lebih-lebih lagi bagi pemimpin utamanya yang sampai hari ini masih terkilan sehingga mengungkit keputusan Agong tidak melantiknya sebagai PM selepas PRU15," kata Shahrir, yang pernah menjadi ahli parlimen Johor Bahru enam penggal dan memegang tiga portfolio menteri.

Dia merujuk kepada strategi PN di Nenggiri yang secara rasmi ditandingi oleh Bersatu melalui calon Mohd Rizwadi Ismail yang menyertai parti itu daripada PAS hanya dua hari sebelum hari penamaan calon - sementara calon yang dicadangkan Bersatu diketepikan.

"Calon Bersatu yang melompat dari PAS adalah kerana tiada tokoh Bersatu yang boleh dipercayai," katanya.

"(PN guna) lambang PAS dan bukan lambang PN.

"Annuar yang lama terkenal seluruh Kelantan sebagai ‘ore parti’ memainkan peranan terpenting dalam kempen PRK ini. Lagi terbukti Bersatu di Kelantan lompong dan kosong," katanya.

Berdasarkan keputusan rasmi, bahagian undi PN di kerusi DUN Kelantan menyusut daripada 53.3 peratus pada pilihan raya negeri tahun lepas kepada 38.7 peratus.

PRK Nenggiri diadakan selepas speaker Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong, berikutan Bersatu menamatkan keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN memenangi PRK itu dengan majoriti 3,352 undi.

“ Mengapa PAS bermain sorok-sorok? Ambil francais dari Bersatu! Letak ahlinya sebagai calon lompat!

"Jangan main sembunyi-sembunyi lagi! Jangan malu-malu!

Mara ke depan! Kan dah ada tu Dr Sam (Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar) sebagai calon PM," kata Shahrir lagi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula menyifatkan langkah PN untuk melantik Annuar sebagai pengarah operasi pilihan raya bagi PRK Nenggiri merupakan punca kekalahan gabungan itu.

“Annuar adalah liabiliti bukan aset.

“Dia patut buat soft landing dan tinggalkan cita-cita jadi calon. Fokus saja pada NGO Muafakat Nasional menyatukan ummah.

“Pengajaran kepada PAS jangan guna katak Umno untuk malukan Umno. Isu DAP tidak lagi berkesan. Nenggiri adalah medan terakhir mamainkan isu DAP," kata Puad di Facebook.

Saturday, August 17, 2024

PN kalah di Nenggiri, prestasi terburuk dalam PRK

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Aug 17, 2024 10:08 PM
Kekalahan PN di Nenggiri merupakan prestasi terburuk gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, walaupun tewas dalam PRK seperti di Pulai dan Simpang Jeram, PN berjaya meningkatkan atau mengekalkan peratusan undi mereka.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku di Nenggiri.

Berdasarkan keputusan rasmi, peratusan undi PN di kerusi tersebut merosot daripada 53.3 peratus tahun lalu kepada 38.7 peratus.

Jumlah undi yang diterima juga menurun daripada 6,517 undi kepada 5,739 undi.

Pengarah operasi pilihan raya PN untuk Nenggiri, Annuar Musa, mendakwa lebih daripada 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi kerana BN telah 'membeli undi'.

Namun, dia tidak menjelaskan kaitan antara kedua-dua dakwaan tersebut.

Peningkatan kehadiran pengundi dan keputusan di pusat daerah mengundi (PDM) juga menunjukkan terdapat peralihan undi kepada BN.

Berbanding pilihan raya negeri tahun lalu, PRK kali ini hanya terdapat penambahan 40 pengundi berdaftar.

Namun, kadar keluar mengundi kali ini jauh lebih tinggi iaitu 73.9 peratus berbanding 61 peratus tahun lalu.

Peratusan undi BN juga meningkat kepada 61.3 peratus berbanding 46.7 peratus, manakala jumlah undi yang diterima juga meningkat 3,384 undi kepada 9,091 undi.

Ini dapat dilihat berdasarkan keputusan di PDM, di mana BN menang 17 daripada 20 PDM, berbanding hanya tujuh PDM tahun lalu.

Meskipun tewas di PDM Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh, BN berjaya mengurangkan majoriti PN daripada tiga angka di setiap PDM kepada dua angka.

Kemenangan BN di Nenggiri adalah kali pertama sejak PRU15 selepas kerusi itu bertukar tangan.

Apa sebenarnya yang mendorong peralihan sokongan kepada BN masih belum jelas buat masa ini.

Namun, antara perkembangan penting semasa tempoh berkempen adalah pengumuman Kementerian Kewangan bahawa Nenggiri bakal menerima mesin ATM.

Pada masa ini, penduduk di Nenggiri terpaksa berjalan sejauh 50km ke bandar Gua Musang untuk mengeluarkan wang daripada ATM.

Sementara itu, kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan skim kenaikan gaji untuk penjawat awam.

Ini juga merupakan PRK pertama di mana DAP - musuh lama Umno yang kini menjadi sekutu - tidak terlibat dalam kempen.

LANGSUNG | Tak rasmi: Awie menang, BN rampas Nenggiri

PRK NENGGIRI | Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (dikenali sebagai Awie) dan calon PN Mohd Rizwadi Ismail yang menggunakan logo PAS bertarung satu lawan satu untuk dinobatkan sebagai wakil rakyat kerusi DUN di Kelantan ini.

Malaysiakini membawakan secara langsung perkembangan keputusan PRK ini dari semasa ke semasa.

Tak rasmi: Awie menang, BN rampas Nenggiri

7.35 malam - BN telah merampas kerusi Nenggiri daripada PN, menurut keputusan tidak rasmi.

Ini pilihan raya kecil pertama sejak pilihan raya umum 2022 dan pilihan raya negeri 2023 yang menyaksikan kerusi DUN itu telah bertukar tangan.

Malaysiakini menganggarkan BN telah melepasi ambang 50 peratus undi dengan 39 dari 47 daerah mengundi telah dikira.

BN masih mendahului dengan lebih 2,800 undi setakat ini dan PN dijangka tidak akan mampu mengejar lagi.

Di bilik gerakan BN, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih kepada pengundi Nenggiri kerana mengembalikan kerusi tersebut kepada gabungan itu.

Dia juga berterima kasih kepada bekas ahl parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub.

Tak rasmi: BN di ambang kemenangan

7.25 malam - BN dijangka akan memenangi kerusi DUN Nenggiri menurut keputusan tidak rasmi.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan keyakinannya BN akan menang, "Insya-Allah".

Setakat ini, BN mendahului dengan lebih 2,800 undi setelah 36 dari 47 saluran mengundi dikira.

Menurut keputusan tidak rasmi BN, gabungan itu telah berjaya merampas kembali daerah mengundi Perasu dan Limau Kasturi yang mana BN kalah pada pilihan raya negeri tahun lalu

BN mendahului PN
7 malam - Keputusan tidak rasmi kem BN menunjukkan gabungan tersebut kekal mendahului dengan 20 dari 47 saluran mengundi telah dikira.

Setakat ini, BN mendahului PN dengan hampir 2,000 undi.

2,000 penyokong PN tak keluar undi - Annuar
6.15 petang - Pemimpin PN Annuar Musa membayangkan persaingan sengit dengan kemungkinan undi untuk gabungan itu merosot.

Dalam satu hantaran di Facebook, Annuar mendakwa lebih 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi “gara-gara tempias berita pihak lain mendapat duit.”

Pun begitu Annuar tidak menjelaskan kaitan antara perkara ini.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi pada hari ini mungkin memberi kelebihan kepada BN.

Jika dakwaan Annuar benar, PN mungkin akan kehilangan kerusi tersebut.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, PN menang DUN Nenggiri hanya dengan majoriti 810 undi daripada BN.

Tak rasmi: BN menang semua daerah mengundi Orang Asli
6 petang - BN telah memenangi kesemua enam daerah mengundi Orang Asli menurut keputusan tidak rasmi.

Jumlah undi tidak rasmi menunjukkan BN meraih 1,852 undi di enam daerah mengundi tersebut - Kuala Sungai, Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Simpor dan Sungai Wias.

Sementara itu, PN hanya mendapat 282 undi di kawasan-kawasan ini.

Pusat pengundian ditutup
6 petang - Peratusan keluar mengundi merekodkan 71.87 peratus setakat 4 petang, maklum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melebihi sasaran hanya lebih 60 peratus.

14 pusat pengundian dibuka sehingga 6 petang manakala enam pusat pengundian ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi yang ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.

LANGSUNG | Tak rasmi: BN menang semua daerah mengundi Orang Asli

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Aug 17, 2024 6:07 PM

PRK NENGGIRI | Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (dikenali sebagai Awie) dan calon PN Mohd Rizwadi Ismail yang menggunakan logo PAS bertarung satu lawan satu untuk dinobatkan sebagai wakil rakyat kerusi DUN di Kelantan ini.

Malaysiakini membawakan secara langsung perkembangan keputusan PRK ini dari semasa ke semasa.

Tak rasmi: BN menang semua daerah mengundi Orang Asli
6 petang - BN telah memenangi kesemua enam daerah mengundi Orang Asli menurut keputusan tidak rasmi.

Jumlah undi tidak rasmi menunjukkan BN meraih 1,852 undi di enam daerah mengundi tersebut - Kuala Sungai, Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Simpor dan Sungai Wias.

Sementara itu, PN hanya mendapat 282 undi di kawasan-kawasan ini.

Pusat pengundian ditutup

6 petang - Peratusan keluar mengundi merekodkan 71.87 peratus setakat 4 petang, maklum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melebihi sasaran hanya lebih 60 peratus.

14 pusat pengundian dibuka sehingga 6 petang manakala enam pusat pengundian ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi yang ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.

ak rasmi: BN menang di empat PDM, kata Asyraf Wajdi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 17, 2024 4:23 PM
BN menang PN di empat pusat daerah mengundi (PDM) berdasarkan kiraan tidak rasmi, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf pada hantaran di media sosial berkata BN menang di PDM Sungai Puian dan Sungai Jenera serta mendapat majoriti 1,003 undi di PDM Tohoi

BN juga merampas kembali PDM Kuala Sungai dengan memperoleh 1,229 undi manakala PN meraih 226 undi.

Bagaimanapun terdapat 20 pusat mengundi di DUN Nenggiri dan keputusan tidak rasmi yang dipetik Asyraf cuma mengira empat PDM setakat ini.

Berikut keputusan tidak rasmi di empat PDM:

PDM Tohoi

BN: 330

PAS: 28

(BN menang majoriti 302)


PDM Sungai Puian

BN: 305

PAS: 5

(BN menang majoriti 300)


PDM Sungai Jenera

BN: 440

PAS: 88

(BN menang majoriti 352)


PDM Kuala Sungai

BN: 154

PAS: 105

(BN Menang majoriti 49)

Nenggiri milik PN atau kembali ke pangkuan BN

bebasnews.my
By Hassan Mohd Noor
-17/08/2024

Apakah akan selesai segala masalah di Nenggiri setelah melalui PRK? Tertunaikah segala janji yang ditaburkan oleh kedua-dua pihak? Cukupkah sekadar sudah tersedia mesin juruwang automatik (ATM).



PERIKATAN Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing yakin untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila 20,216 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

PN mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu dengan majoriti 810 undi manakala BN mahu merampas kembali kerusi yang diwakili selama empat penggal sejak 2004.

Mampukah PN yang berbekalkan majoriti 810 undi pada PRN lalu mengekalkan kerusi yang pernah menjadi kubu BN itu? Adakah gelombang kemenangan PN melalui calon Pas pada PRK di Sungai Bakap akan melanda Nenggiri?

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, tinjauan yang membabitkan hampir 500 pengundi terpilih mendapati sebahagian besar mereka menyokong PN dan akan memberi undi kepada calon kita. Mereka ada sebab musabab tidak sokong BN.

BN pula khususnya UMNO walaupun turun secara ‘underdog’ mengharapkan ‘cahaya terang di hujung terowong’ pada PRK ini. BN ingin menambah kerusi pembangkang di negeri itu selepas hanya menang dua kerusi sebelum ini.

Pengerusinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah enam kali turun padang untuk berkempen, sesuatu yang tidak pernah dilakukan di PRK lain. UMNO perlu menang menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan. Itu misi penting.

“Insya-Allah, DUN Nenggiri (akan) adalah milik kita semula. Kita berharap dapat menambah seorang lagi ADUN supaya kita boleh mewujudkan tiga ‘tungku mendidihkan air’ bagi suhu politik di Kelantan ini,” katanya.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala calon PN adalah bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

Rizwadi pada peringkat awal tidak ada dalam senarai tetapi pada saat akhir beliau ‘meninggalkan’ Pas untuk menyertai Bersatu dan dipilih sebagai calon mengisi kuota Bersatu, bertanding di bawah Bulan. Maka timbul isu Bersatu ketandusan calon.
PRK ini diadakan susulan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada PRN lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN yang mempertahankan kerusi itu, Ab Aziz Yusoff
memperoleh 5,707 undi.

Selain masing-masing mengharapkan undi Orang Asli, peratusan keluar mengundi juga menjadi antara indikator penting menentukan keputusan PRK Nenggiri. Pada PRN lalu, hanya 61 peratus pengundi keluar mengundi.

Adakah jika peratusan keluar mengundi tinggi, peluang UMNO-BN cerah atau sebaliknya berlaku? Pengundi akan memberi jawapannya.

Apa yang menarik pada PRK ini, BN tidak mengalu-ngalukan kehadiran ‘rakan sepejabat’ DAP untuk berkempen malahan Ketua UMNO bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga ‘melarang’ DAP turun berkempen.

Larangan itu wajar sekiranya dilihat majoriti pengundi di situ adalah orang Melayu tetapi kenapa kehadiran DAP dikhuatiri sedangkan ramai juga wakil rakyat Melayu DAP sama ada di Dewan Rakyat atau DUN serta pengerusi itu ini.

Adakah BN atau UMNO tidak mahu dilabelkan dengan gelaran UMDAP jika pemimpin DAP terus berada di pentas kempen UMNO? Atau UMNO pun bimbang akan lahir pula cawangan DAP Melayu di Gua Musang? Realitinya DAP ‘memberi kesan’.

Apa pun sesuatu yang menarik perhatian pada PRK ini adalah sejauh mana dua nama yang pernah mewarnai kepemimpinan UMNO peringkat Pusat membuktikan sokongan pengundi apabila mereka mengetuai jentera kempen PRK Nenggiri.

Di pihak BN, Razaleigh yang pernah menjadi Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Pengarah PRK DUN Nenggiri BN manakala Annuar Musa yang suatu ketika sebagai Setiausaha Agung UMNO/BN sebagai Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri.

Ku Li sudah tentu mahu ‘menebus’ kekalahan BN pada PRN lalu malahan jika menang dapat mengubat kekecewaan selepas tewas kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Masing-masing anak Kelantan. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri untuk memastikan pengundi mengundi parti dokongan mereka. PN ada kelebihan sebagai kerajaan negeri manakala BN sebagai kerajaan Pusat.

Banyak janji ditawarkan BN yang sudah empat penggal mewakili Nenggiri sebelum ini, yang juga berada di bawah Parlimen Gua Musang yang sebegitu lama dikuasai BN. Begitu juga tawaran Kerajaan Pas yang sudah lama mentadbir Kelantan.

Apakah akan selesai segala masalah di Nenggiri setelah melalui PRK? Tertunaikah segala janji yang ditaburkan oleh kedua-dua pihak? Cukupkah sekadar sudah tersedia mesin juruwang automatik (ATM).

– BebasNews
View Synonyms and Definitions

Thursday, August 15, 2024

BN underdog dalam pilihan raya kecil Nenggiri, kata Ku Li

themalaysianinsight.com
Ian McIntyre
Diterbitkan pada 15 Aug 2024 11:00AM 
Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Barisan Nasional melalui sayap Pemuda Umnonya, sedang berusaha sedaya upaya untuk menghentikan gelombang yang berkisar tentang kaum dan agama.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2024.

VETERAN Umno Tengku Razaleigh Hamzah menganggap calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani masih calon underdog bagi pilihan raya kecil Nenggiri dengan hanya 48 jam sebelum pengundian bermula.

Tengku Razaleigh, atau dikenali sebagai Ku Li berkata, walaupun pilihan raya kecil itu berada di halaman sendiri, yang dikuasainya sejak 50 tahun lalu, sentimen serentak cenderung memihak kepada penyandangnya - Perikatan Nasional (PN) di sini.

Ku Li berkhidmat sebagai ahli Parlimen Gua Musang dari 1974 hingga 2022 dan pada masa ini, beliau dilihat sebagai bahan perdana menteri pada 1980-an dan awal 2000-an.

Walaupun beliau telah mengakui usia adalah faktor dalam kerjaya politiknya yang terdekat, beliau tetap mempunyai keyakinan untuk meneruskan perjuangannya buat masa ini.

PN meletakkan bekas ketua Pemuda PAS Gua Musang Rizwadi Ismail, yang bertanding atas tiket Bersatu.

“Ia adalah pilihan raya kecil yang penting kerana kita diamanahkan untuk mengelakkan gelombang hijau PAS yang telah melanda negeri-negeri kawasan Melayu sejak dua tahun lalu,” kata Ku Li.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, BN melalui sayap Pemuda Umnonya, sedang berusaha sedaya upaya untuk menghentikan gelombang yang berkisar tentang kaum dan agama tetapi ia adalah perjuangan yang sukar di hadapan.

“Kita perlu berdepan dengan sentimen ketidakpercayaan orang Melayu terhadap kerajaan perpaduan.

“Ia ditambah lagi dengan perjuangan kerajaan untuk mengawal kos sara hidup dan pandangan yang lembap di peringkat akar umbi. Kami memerlukan pendirian yang lebih proaktif daripada kerajaan untuk membersihkan salah faham,” katanya.

Ku Li, 87, telah menawarkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dari sudut sebagai negarawan, bukannya hanya berdasarkan partisan politik.

Beliau telah menawarkan cadangan bagaimana untuk merangsang lagi ekonomi bagi membantu negara mengharungi keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Ku Li percaya jika Umno dapat menghentikan gelombang hijau PN, khususnya PAS, ia boleh menandakan permulaan tolak balik.

Pasukan perpaduan perlu menolak ekstremisme dan dasar seperti toleransi terhadap rasuah, yang cenderung melemahkan dan bukannya mengembangkan ekonomi.

Umno menentang sentimen yang diukir oleh PAS bahawa kemenangan PN adalah untuk mencerminkan ketidaksetujuan mereka terhadap perpaduan nasional yang ditubuhkan.

Mereka mengerahkan pemimpin kanan parti iaitu timbalan presiden Mohamed Hasan dan naib presiden Johari Abdul Ghani.

Kedua-duanya berkempen di pilihan raya kecil Nenggiri.

20,259 pengundi akan membuang undi pada hari Sabtu.

Daripada 20,259 pengundi itu, 85% adalah Melayu - Islam manakala selebihnya adalah Orang Asli, Cina, India dan lain-lain.

Kawasan itu kebanyakannya separa luar bandar dengan banyak penempatan Felda, Kesedar dan orang asli terletak di sekitar Gua Musang.

Kegiatan ekonomi utama di kawasan itu ialah perladangan, pembalakan dan pertanian. 

– 15 Ogos, 2024.
View Synonyms and Definitions

Wednesday, August 14, 2024

Pemuda PAS Kelantan nafi edar arak untuk Orang Asli di Nenggiri

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 14, 2024 6:10 PM
Susulan tular video ada individu mendakwa PAS sengaja membawa masuk arak ke kawasan Orang Asli di Nenggiri, Pemuda PAS Kelantan hari ini tampil menafikan perkara itu dengan membuat laporan polis.

Ketuanya, Mohd Kamal Mohamed, membuat laporan itu terhadap seorang pempengaruh media sosial yang didakwanya melemparkan tuduhan tersebut terhadap PAS.

Mohd Kamal mendakwa pempengaruh terbabit membangkitkan tuduhan itu menerusi satu video di TikToknya.

"Video itu mengandungi ucapan seorang individu Orang Asli dan tulisan tertera Pemuda Pas Beri Arak Kepada Orang Asli dengan latar belakang bendera PAS.

"Video ini bagi kami untuk memfitnah PAS dengan dakwaan sedemikian.

"Kita menafikan sekeras-kerasnya dan meminta pihak polis menyiasat serta mengambil tindakan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, hari ini.

Terdahulu melalui satu video TikTok seorang lelaki Orang Asli membuat dakwaan bahawa ada Pemuda PAS memberikan masuk minuman keras kepadanya.

Dakwa individu terbabit, tujuan minuman keras itu dibawa ke kawasan petempatan Orang Asli adalah untuk memastikan mereka tidak dapat keluar untuk mengundi nanti.

Tambah lelaki berkenaan mereka tidak meminta minuman keras berkenaan.

Video berkenaan kini sedang tular di media sosial.

Mohd Kamal mendakwa, pempengaruh berkenaan turut membuat tuduhan kepada PAS kononnya kerajaan negeri memberi kelulusan teroka hutan di Gua Musang tahun ini sebanyak 13,354 hektar.

Berhubung tuduhan berkait kelulusan penerokaan hutan, Mohd Kamal berkata Pemuda PAS Kelantan menyerahkan kepada peguam parti untuk tindakan selanjutnya.

"Kami buat laporan polis ini sebab nak proses pilihan raya kita bersih, tidak ada tohmahan dan tuduhan jahat dengan tujuan untuk menarik undi," tegasnya.

Tuesday, August 13, 2024

PRK Nenggiri: Selepas seminggu kempen, mood ketika ini memihak BN - Penganalisis politik

bharian.com.my
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid 
khairil.ashraf@hmetro.com.my
- Ogos 13, 2024 
GUA MUSANG 10 OGOS 2024.. Bendera parti politik yang bertanding iaitu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) mula dipasang di sekitar kawasan jalan besar yang memasuki kampung Sungai Terah dan Bertam Lama ssempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri di sini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos ini. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KUALA LUMPUR: Selepas lebih seminggu berkempen, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada ketika ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya yang telah turun padang di kawasan itu, ia disebabkan pengundi Orang Asli secara besarnya memihak kepada BN.

Kedua katanya, pengaruh bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih lagi besar di kawasan berkenaan khususnya di Nenggiri.

"Walaupun kawasan itu majoritinya orang Melayu, tetapi keadaan politik di Nenggiri atau Gua Musang itu 'templatenya' kita tak boleh samakan dengan Sungai Bakap, Kuala Kubu Baharu atau Pelangai. Setiap kawasan ada 'template' yang berbeza.

"Dalam tempoh minggu pertama ini, saya nampak BN mendahului kerana disebabkan deposit BN ada menerusi pengundi orang asli. Kedua, kekuatan dan pengaruh Tengku Razaleigh yang menyelinap di setiap peringkat akar umbi," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun katanya, keadaan politik itu juga boleh berubah pada bila-bila masa mengikut persepsi.

Sebagai contoh katanya, tawaran dikemukakan bagi menyelesaikan masalah tanah Lembaga Kamajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dalam PRK Nenggiri.

"Kemudiannya, kita lihat ada perdebatan itu memihak kepada sesetengah pihak. Contohnya (Pengarah Operasi Perikatan Nasional PRK Nenggiri), Tan Sri Annuar Musa pada awal itu agak 'low profile' tetapi apabila diserang memakai LV (Louis Vuitton), jadi orang kampung nampak ini seolah-olah macam berlakon.

"Serangan ini boleh berubah serta memberi persepsi yang berbeza dan boleh mempengaruhi kecenderungan keputusan pilihan raya di PRK Nenggiri," katanya.

Sementara itu, Mohammad Tawfik menyifatkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sebagai bongkak apabila secara terbuka mencabar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berdebat menentangnya seorang diri.

Menurutnya, pelaksanaan debat bukanlah untuk mencari siapa individu yang hebat, menang atau lebih unggul berbanding orang lain.

"Bagi saya, tak perlulah kedua-dua itu turun untuk berdepan dengan Wan Ahmad Faysal kerana kedua-dua ini level (tahap) Menteri, bukan ahli Parlimen biasa dan sebelum ini pun, Wan Ahmad Fayhsal hanyalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan sebelum ini.

"Namun, kalau betul-betul nak buat debat, bagi saya ia mestilah ada impaknya kepada rakyat dan kita letakkan pemimpin yang sama taraf.

"Kemudian, hasil daripada debat itu dapat dilaksanakan kepada dasar dan rakyat mendapat manfaatnya. Bukan sekadar mencabar antara satu sama lain," katanya.

Baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal dilapor menyatakan beliau tidak kisah untuk melawan dua orang Menteri daripada Kerajaan Perpaduan.

Menerusi kemaskini di aplikasi X, Ketua Armada Bersatu itu menamakan Rafizi dan Fahmi untuk berdebat dengannya berkenaan topik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang didakwanya menjual saham kepada syarikat pro-Zionis.

Rafizi sebelum itu mengajak Wan Ahmad Fayhsal untuk berdebat mengenai topik 'bagaimana merancakkan ekonomi dengan mencetak wang'.

‘Mimpi Umno diterima semula di Kelantan akan kekal mimpi '

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 13, 2024 
PRK NENGGIRI l Walaupun tanpa kehadiran pemimpin DAP di Nenggiri, seorang pemimpin PAS, bagaimanapun, percaya mereka tidak perlu hadir secara fizikal untuk menghancurkan impian Umno yang cuba menggunakan pilihan raya kecil itu untuk memulihkan semula sokongannya di Kelantan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, ia akan kekal sebagai “impian” selagi BN bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) yang “diterajui DAP”.

“Walaupun tanpa kehadiran DAP di Nenggiri, Umno-Zahid tidak dapat menafikan bahawa calon mereka adalah calon kerajaan Madani yang di dalamnya ada DAP sebagai ‘abang besar’,” katanya.

Razaman berkata perkara ini akan menjadi pertimbangan besar kepada rakyat Nenggiri dalam memilih Adun mereka.

“Di tanah yang majoriti Melayu ini pasti tidak akan ada ruang kepada mereka yang gagal membela nasib rakyat dan hak orang Melayu,” katanya yang dipetik Harakah Online.

Desakan Umno supaya DAP tidak membantu kempen di Nenggiri juga telah menjengkelkan DAP Kelantan, dengan pengerusinya Azha Abdul Rani memberitahu ahli dan penyokong bahawa mereka bebas membuat pilihan memilih mana-mana sahaja parti.


PAS dan juga Umno, sebelum membentuk pakatan dengan PH, sering menuduh DAP cuba menjejaskan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Pemimpin DAP telah berulang kali menafikan tuduhan ini dan mengesahkan komitmen parti dalam menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, dalam usaha untuk melunturkan persepsi bahawa kerajaan dikuasai DAP, parti itu juga memilih untuk menerima peranan dalam anak syarikat kerajaan berbanding jawatan menteri meskipun mereka mempunyai bilangan kerusi parlimen terbanyak berbanding sekutu kongsinya.

Mengulas lanjut, Razman mendakwa rakyat sudah “muak” dengan kerajaan Madani.

“Kenaikan harga barang, pemansuhan subsidi, kebebasan bersuara disekat serta segala jenis kezaliman dan huru-hara yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) hakikatnya menjadi mimpi ngeri buat rakyat termasuk penduduk Nenggiri,” katanya

Pilihan raya kecil 17 Ogos akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan pengumuman kekosongan jawatan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas menerima notis bahawa Azizi Abu Naim, yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri lalu, tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

‘Tawaran menarik tapi jika gagal, kami hukum Rizwadi’, kata NGO Orang Asli

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
13 Aug 2024

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Nasir Dollah berharap janji calon PAS Rizwadi Ismail melantik pegawai dari kalangan komuniti itu bukan hanya sekadar menyedapkan hati menjelang PRK Nenggiri.
Orang Asli membentuk sekitar 2,000 atau 10% daripada keseluruhan lebih 20,000 pengundi di DUN Nenggiri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tawaran calon PAS Rizwadi Ismail melantik seorang pegawai dari kalangan komuniti itu sangat menarik ‘didengar’, kerana tidak pernah dibuat mana-mana parti sebelum ini, kata seorang pemimpin NGO Orang Asli Kelantan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan Nasir Dollah meragui ‘habuan’ berkenaan, sambil memberi amaran lantikan itu tidak dibuat hanya sekadar ‘menyedapkan hati mereka’ menjelang PRK Nenggiri, Sabtu ini.

“Manifesto calon PN sangat menarik kerana sebelum ini tidak pernah ada janji seumpama itu… ia tawaran sangat baik dan menarik untuk Orang Asli di Nenggiri.

Lantikan ini akan menjadi penghubung antara masyarakat Orang Asli di sini dan kerajaan negeri… tapi kita khuatir jika orang yang dilantik ibarat lembu dicucuk hidung, katanya kepada FMT, mengulas manifesto PN iaitu ‘Khidmat’ yang menjanjikan beberapa tawaran untuk komuniti Orang Asli.

Mana-mana individu dilantik perlu ada integriti supaya setiap masalah dibawa selesai sebaiknya, katanya yang turut menambah langkah berkenaan menyamai tindakan kerajaan Selangor dan Perak.

Menurutnya, langkah melantik pemimpin masyarakat Orang Asli itu dapat menjadi ‘jambatan’ menyelesaikan masalah berbangkit.

Rizwadi turut berjanji memperkasa peranan penghulu Orang Asli untuk menyelaras hal ehwal kebajikan komuniti itu, menaik taraf jalan masuk ke perkampungan Orang Asli serta menubuhkan pasukan khas pendidikan.

Nasir berkata sekiranya Rizwadi menang beliau mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun merealisasikan janji berkenaan, dan jika gagal beliau ‘akan dihukum oleh Orang Asli Nenggiri’ pada pilihan raya akan datang.

Sekiranya tidak terlaksana seperti apa yang dijanjikan maka kita sebagai pengundi kita boleh hukum mereka pada pilihan raya depan. Kita yang menaikkan dia… jadi yang menurunkan dia pun kita, katanya.

Dianggarkan ada 2,843 Orang Asli daripada 20,259 pengundi akan memilih wakil mereka pada pilihan raya membabitkan pertandingan satu lawan satu.

Rizwadi dari PAS akan ditentang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Monday, August 12, 2024

40 tahun BN kuasai Nenggiri tanpa selesai masalah rakyat

harakatdaily.com
August 12, 2024
GUA MUSANG: Selepas seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri berjalan ada isyarat menunjukkan rakyat akan memberi kemenangan kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN).

Pengarah Operasi PN Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, sepanjang kempen memperkenalkan calon PN sambutan rakyat begitu hebat kepada Mohd Rizwadi Ismail.

Katanya itu belum lagi diambil kira tawaran yang dikemukakan calon PN seperti diumumkan malam tadi.

“Lebih spesifik lagi kita yakin akan tambah sokongan terutama golongan atas pagar. Tahniah kepada calon kerana kemukakan tawaran ‘free size’ yang menggambarkan kesediaan untuk selesaikan masalah berikutan kegagalan wakil rakyat BN lebih 40 tahun di Nenggiri.

“Dan tindakan bekas ADUN Nenggiri (Mohd Azizi) menyebabkan rakyat mengalami kekecewaan berlanjutan. Jadi peluang PRK inilah rakyat Nenggiri dan Gua Musang akan perubahan sebenar,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Gua Musang hari ini. (Foto atas)

Hadir sama, Pengerusi PN PRK Nenggiri, Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ketua Penerangan PAS neger,i Mohd Asri Mat Daud dan Mohd Rizwadi.

Annuar juga berkata, rakyat Nenggiri tidak perlu mengulangi dengan memberi mandat kepada BN kerana kegagalan mereka lebih 40 tahun menguasai Nenggiri sebelum ini.

Menurutnya juga tawaran yang dikemuka calon PN dianggap sebagai rentas parti bagi menyelesaikan masalah dihadapi generasi kedua Felda dan Kesedar, masalah geran tanah tidak selesai dan impian peneroka memiliki ladang belum tercapai.

Begitu juga katanya kes di kampung tradisi berlaku pertindihan lot dan masalah masyarakat Orang Asli di bawah JAKOA tidak selesai sehingga sekarang.

 – HARAKAHDAILY 12/8/2024
View Synonyms and Definitions

Berlakonlah sikit usah tayang pakaian mewah, Puad sindir Annuar

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 12, 2024 10:11 AM
PRK NENGGIRI l Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi menyindir Pengarah Operasi Pilihan Raya PN bagi PRK DUN Nenggiri, Annuar Musa yang mengenakan pakaian mewah ketika berkempen di Nenggiri, baru-baru ini.

Mohd Puad berkata, Annuar sepatutnya "berlakon" dan tak perlu mengenakan pakaian mewah ketika berkempen kerana kononnya memperjuangkan masyarakat miskin.
"Viral beberapa gambar Annuar Musa pakai barang jenama Louis Vuitton. Baju LV. Jam tangan LV. Selipar pun LV. Ia ekoran Annuar pakai baju Louis Vuitton masa bagi maggie mee pada pengundi Orang Asli.

"Kesian (kasihan) Annuar. Tak salah dia pakai barang berjenama. Betullah, itu pitih (duit) dia.Tetapi berpada-padalah.

"Lain kali jangan over bila cakap rakyat hidup susah. Tetapi kamu pula pakai LV. Berlakonlah sikit. Pakai kopiah dan kain pelikat cap gajah duduk.

"Annuar kata ahli PAS yang tuduh DAP kafir harbi tersasul cakap. Tapi pakai baju Louis Vuitton tidak mungkin tersasul," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Bekas setiausaha agung Umno yang berpaling tadah menyertai PAS itu mencuri tumpuan warga maya apabila dia didakwa berbaju yang harganya mencecah RM14,000 ketika berkempen di kawasan Orang Asli.

Dalam ceramahnya di Jeram Tekoh, Gua Musang baru-baru ini, Annuar berkata isu pakaiannya tidak sepatutnya menjadi isu di Neggiri.

Katanya, pakaian itu dibeli dengan menggunakan wangnya sendiri dan tidak perlu dipertikai.

“Musim pilihan raya patut tinggal kenderaan kerajaaan, guna kenderaan sendiri, ni marah kepada saya kenapa pakai baju mahal, ikut aku pitih (duit) aku,” katanya.

Sunday, August 11, 2024

PRN DUN Nenggiri: PN Kini Dahului Di Hadapan – Syahir

mediaislam.net
MI August 11, 2024
PERIKATAN NASIONAL (PN) sedang mendahului di hadapan berbanding Barisan Nasional (BN) dalam PRK N.43 DUN Nenggiri selepas seminggu tempoh kempen, demikian pandangan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Menurut beliau yang turut turun bersama jentera kempen di lapangan, pada pemerhatiannya secara umum, walaupun kedua pihak bermula dengan peluang 50-50, namun memasuki separuh masa kedua keadaan kelihatan tenang di atas, tetapi semakin sengit di bawah.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu mengakui, disebabkan pertembungan satu lawan satu, beliau tidak menafikan bahawa BN yang berada di pihak Kerajaan Persekutuan mempunyai kelebihan terutama daripada aspek 3M iaitu jentera, kewangan dan juga media.

“Di mana dari segi ‘machinery’ (jentera) jelas kelebihan di pihak BN apabila jentera-jentera kerajaan, agensi-agensi kerajaan, Menteri-menteri turun, ibaratnya bertanding di antara pihak kerajaan melawan parti. Bukannya pertandingan di antara parti dengan parti.

“Ini yang kita dapat lihat di (PRK DUN) Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap khususnya. Bukan pertandingan antara parti dengan parti tetapi pertandingan antara kerajaan dengan parti. Jadi kelebihan kepada pihak BN jelas dalam aspek ‘machinery’.

“Dalam aspek ‘money’ (wang), taburan wang itu pastinya lebih memihak kepada mereka dan kelebihan media khususnya media massa,” ujar beliau menjelaskan gemblengan dilakukan BN untuk kembali merampas kerusi itu.

Pun begitu kemuka Syahir, di pihak PN khususnya dalam aspek jentera, jelas nampak satu kesepaduan gerak kerja di mana kepimpinan PAS, BERSATU dan GERAKAN termasuklah rakan-rakan NGO dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Terang beliau, semua mereka tersebut turun bersilih ganti melibatkan para pemimpin tertinggi antaranya Timbalan-timbalan Presiden iaitu Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu.

Juga katanya, dalam kalangan Naib-naib Presiden seperti Datuk Ustaz Idris Ahmad, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan Ustaz Idris Ahmad serta kepimpinan sayap-sayap.

“Pemuda, Muslimat, Armada, DHPP dan termasuklah Presiden GERAKAN (Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan rakan-rakan turut turun berkempen, malah lebih meriahnya rakan-rakan NGO ada Chegu Bard, Tun Faisal dan turut membantu.

“Bukan sekadar turun berceramah tapi kita turun ziarah, turun santai anak muda, turun berkampung dengan Orang Asal. Jadi ini satu kesepaduan gerak kerja di mana di pihak BN agak lompanglah memang tidak ada terlibat DAP, PKR, PAN pun boleh dikira dihitung dengan jari.

“Malah kalau kita singgah di kedai-kedai kopi, mereka bergurau (persoal) mana ‘Raja Formula’ mana Menteri-menteri pemimpin-pemimpin DAP? Mereka berguraulah kerana mereka lihat yang datang kedai kopi ini pimpinan BERSATU, pimpinan PAS,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Menurut Syahir juga, kehadiran rakan-rakan NGO dan bukan-Muslim terutama DHPP turut membantu memberi impak momentum di mana kelebihan kepada PN bahkan terlihat daripada reaksi atau sambutan para penduduk tempatan di Nenggiri itu sendiri.

Terang beliau, pendekatan bersemuka digunakan di sini lebih efektif berbanding pendekatan media sosial sepertimana di Sungai Bakap, sesuai dengan isu-isu tempatan di Nenggiri di mana pelbagai acara dan aktiviti juga lebih santai.

“Juga lebih informal, lebih dekat, lebih bersentuhan, lebih bersemuka. Ini memang digerakkan secara agresiflah di peringkat gelombang pertama ini dan pastinya memasuki separuh masa kedua gelombang baki tujuh hari ini akan lebih dipertingkatkan.

“Saya pun berjumpa dengan calon saudara Mohd Rizwadi (Ismail) memang alhamdulillah nampak ada ketokohan ada sambutan di pihak anak muda khususnya dan juga orang-orang kampung yang sudah biasa dengan wajah beliau sebagai Pengelola Halaqat.

“Rizwadi sudah dikenali dengan aktiviti-aktiviti kebajikan dan dakwah di sini. Jadi saya tinggalkan pesanan kepada jentera untuk teruskan melangkah, tingkatkan momentum dan kita rapatkan saf insya-Allah undi bulan,” ujarnya optimis.

Syahir turut memaklumkan, sebagaimana kelaziman PRK sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah memberikan komitmen untuk turun berkempen dan berucap pada ceramah kemuncak (grand finale) dijadualkan pada Khamis, 15 Ogos ini.

Kafir harbi: Tiga pemimpin Melayu DAP buat laporan polis

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 11, 2024 4:36 PM
Tiga ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP yang beragama Islam tampil membuat laporan polis terhadap dua individu yang melabel parti itu sebagai ‘kafir harbi’.

Ketiga-tiga mereka - Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan, dan Young Syefura Othman - hadir di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini bagi memebuat laporan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita, Young Syefura berkata laporan itu dibuat berdasarkan video daripada ucapan yang disampaikan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri.

“Ini (kafir harbi) adalah kenyataan terang-terangan yang jelas membahayakan keselamatan kita, dan merosakkan reputasi kita sebagai pemimpin Islam DAP,” kata Ahli Parlimen Bentong itu.

Selain daripada video pertama, dia memetik satu lagi video Adun Rembia Jailani Khamis yang juga membuat dakwaan yang sama terhadap DAP.

“Disebabkan kenyataan sedemikian mungkin jika saya keluar bersendiri di suatu tempat, seseorang boleh membuat keputusan untuk bertindak terhadap saya.

“Jadi itu bahaya. Walaupun ia dibuat dalam ceramah politik, mereka tetap perlu bertanggungjawab,”katanya.

Menghuraikan definisi ‘kafir harbi’, Sheikh Umar berkata dari segi sejarah ia merujuk kepada kerajaan bukan Islam yang menentang orang Islam yang tinggal di kawasan yang sama atau kawasan lain.

“Mereka (bukan Islam) berpotensi mengancam nyawa orang Islam, atau mengisytihar perang.

“Maka ketika itulah ulama Islam muncul dengan perbezaan ‘kafir harbi’ dan lain-lain,” katanya.

Tetapi dalam konteks semasa di Malaysia tambahnya, kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang diterima oleh semua termasuk semua parti politik.

“Jadi label ‘kafir harbi’ adalah keji, sangat berbahaya dan boleh menyemai benih kebencian,” tegas bekas Adun Paloh itu.

Semalam, Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Annuar Musa mengesahkan seorang ahli PAS dari Bachok, yang membuat ucapan berkenaan, telah "digantung" daripada berkempen selama tiga hari.

Dia bagaimanapun menegaskan PAS tidak perlu memohon maaf kepada DAP.

Dalam kenyataan berasingan, gabungan reformasi pilihan raya, Bersih berkata ucapan sedemikian boleh dilihat sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954.

“Bersih mengingatkan semua pihak, khususnya yang berada di Nenggiri, supaya bersederhana dalam kempen politik mereka,” kata Bersih.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-