Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Kuala Lumpur: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang diwartakan pada 2019 sebagai tindakan terburu-buru tanpa mempedulikan sensitiviti rakyat terutama anggota pasukan keselamatan.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar berkata, ketika komik yang mempunyai kandungan penerbitan antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme diharamkan pada 2019, semua rakyat sudah menyambut baik keputusan kerajaan waktu itu.
Beliau berkata, KDN sepatutnya perlu sangat berhati-hati membuat keputusan isu sensitif kepada rakyat terutama peristiwa hitam keganasan komunis yang mencacatkan kemakmuran negara.
"Sebagai veteran ATM memperjuangkan negara dan terbabit sepenuhnya dalam kempen darurat kedua yang dihuru-harakan komunis, keputusan KDN dilihat tidak bijaksana dan kurang cermat dalam membuat keputusan.
"Ini kerana ia sudah dibatalkan pada 2019 dan pada masa itu diterima rakyat keseluruhannya. Saya kurang pasti sama ada KDN sudah berbincang dengan pasukan keselamatan di bawah kementerian itu khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau sebaliknya,
"Jika pun tak panggil atau tidak berbincang dengan angkatan tentera atau veteran tentera tetapi sekurang-kurangnya berbincanglah dengan pihak polis," katanya.
Sharuddin berkata, beliau berpandangan perkhidmatan polis juga tidak bersetuju keputusan KDN kerana ketika komunis membuat huru-hara ramai antara anggota polis terbabit memerangi komunis ketika itu khususnya VAT69, pasukan komando Pasukan Polis Hutan (PPH) sekarang dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA).
Menurutnya, beliau juga percaya ramai tidak boleh melupakan peristiwa menyayat hati Ketua Polis Negara ketiga, Tan Sri Abdul Rahman Hashim ditembak mati oleh anasir komunis di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974.
"Kami di pihak veteran mengatakan keputusan itu tidak wajar ketika mana sekarang ini rakyat sudah mula cuba melupakan peristiwa hitam berkenaan (keganasan komunis).
"Dengan wujudnya penerbitan itu dibenarkan menyebabkan rakyat akan merasakan bahawa kerajaan mula mengiktiraf perjuangan komunis dan secara tak langsung menafikan perjuangan pasukan keselamatan.
"Saya mewakili semua veteran mohon supaya pihak KDN membuat semakan semula keputusan itu dengan mengambil kira sensitiviti tidak sahaja membabitkan politik tetapi yang lebih penting sensitiviti rakyat secara keseluruhan.
"Jangan terlalu memikirkan mengenai kepentingan politik, sensitiviti rakyat perlulah menjadi keutamaan," katanya.
Semalam, media melaporkan KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa, iaitu versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism' dan bahasa Cina.
Disiarkan pada: Ogos 14, 2024 @ 6:21pm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.