Showing posts with label Kementerian Dalam Negeri (KDN). Show all posts
Showing posts with label Kementerian Dalam Negeri (KDN). Show all posts

Thursday, February 20, 2025

SOSMA: Dulu PH kata zalim, sekarang mahu perkukuh

harakahdaily.net
February 20, 2025
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan terhadap hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambahbaik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, dahulu Pakatan Harapan (PH) menganggap SOSMA sebagai sebuah akta yang lebih zalim selain mendesak agar ianya dimansuhkan.

Bagaimanapun kata beliau lagi, nada pimpinan PH juga bukan sahaja semakin lembut mengenai SOSMA setelah menjadi kerajaan di Putrajaya, malah berhasrat memperkukuhkan akta itu.

“Saya ucap terima kasih penerangan menteri semalam mengenai perincian SOSMA semalam, hasrat kerajaan ini saya ingin mendapat penjelasan sejelas-sejelasnya mengenai dasar kerajaan sekarang.

“Saya merujuk kepada kenyataan dikeluarkan pada masa itu Tambun, Ketua Umum PKR, SOSMA lebih teruk berbanding ISA, kerajaan PH 1.0 akan mansuhkan seperti dijanjikan oleh kerajaan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Saifudin Nasution pada sesi penggulungan perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, Saifudin Nasution dalam jawapannya seolah-olah tidak mahu menjawab soalan itu berkata, kerajaan akan membuat semakan semula terhadap akta tersebut. 

HARAKAHDAILY 20/2/2025

Monday, February 17, 2025

Rayer hampa KPN, KDN belum beri maklum balas berkait ‘larangan’ ke atas Zakir Naik

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
17 Feb 2025, 07:12 PM

Ahli Parlimen Jelutong juga tanya apakah Mufti Asri Zainul Abidin akan meminta maaf berhubung kenyataan berkaitan ‘vibuthi’.
Ahli Parlimen RSN Rayer minta KPN dan KDN menjelaskan sama ada larangan berucap di khalayak ramai ke atas Zakir Naik masih berkuat kuasa.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong kecewa polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menjawab pertanyaan sama ada larangan berucap di khalayak ramai ke atas penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik, masih berkuat kuasa.

RSN Rayer berkata beliau masih belum terima maklum balas daripada ketua polis negara atau KDN selepas mengajukan pertanyaan itu pada 5 Feb lalu.

“Saya dukacita dan amat hampa kerana sehingga hari ini saya tidak menerima sebarang respons daripada KPN dan juga belum sebarang maklum balas daripada KDN,” kata pemimpin DAP itu pada sidang akhbar di Parlimen.

Pada Ogos 2019, media melaporkan polis melarang Naik daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum.

Bagaimanapun, pada Dis 2021, penceramah dari India itu menafikan perkara itu, dan berkata tiada arahan sedemikian disampaikan kepadanya oleh polis.

Rayer meminta KPN dan KDN menjelaskan perkara ini selepas Naik diundang ke Konvensyen Sunnah Antarabangsa di Perlis sebagai speaker.

Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan semak perkara tersebut, dua minggu lalu.

Rayer turut menjawab kritikan Mufti Perlis Asri Zainul Abidin berhubung pertanyaan beliau itu, mengatakan sidang akhbarnya sebelum ini tidak berniat untuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam atau konvensyen itu.

“Saya tidak melontarkan apa-apa tuduhan terhadap mufti Perlis. Saya juga tidak melontarkan apa-apa tuduhan terhadap Naik, dan soalan saya hanya tertumpu kepada isu larangan sama ada larangan itu berkuat kuasa ataupun tidak,” katanya.

Rayer juga berkata reaksi Asri membuatkan beliau tertanya-tanya.

Asri dalam satu video di YouTube mengingatkan Rayer bahawa beliau tidak perlu memasuki urusan yang bukan urusannya.

Mufti Perlis itu berkata Rayer tidak perlu bertanya siapa yang diundang ke Perlis untuk menyampaikan penyampaian, “sepertimana saya tidak bertanya apa bahan yang beliau gunakan untuk menyapu dahinya”, merujuk kepada ‘vibuthi’ (abu suci) pada dahi Rayer, seorang penganut Hindu.

“Saya amat hampa dan amat dukacita kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Asri ini, dan saya tertanya-tanya kenapa Asri respons begitu kerana soalan saya adalah lain, respons daripada Asri adalah lain,” katanya, dan bertanya apakah Asri akan meminta maaf kerana mengeluarkan kenyataan begitu.

Sementara itu, Asri nafi menghina agama Hindu dan berkata beliau hanya mengingatkan semua pihak jangan masuk campur urusan agama pihak lain.

Mufti Perlis itu memberitahu FMT bahawa rakan-rakannya yang beragama Hindu juga ada yang menyokong kenyataannya dan menganggap Rayer sudah melampaui batas, dan tidak akan meminta maaf atas kenyataannya berkaitan ‘vibuthi’ itu.

Saturday, February 15, 2025

UMMAH desak tarik kewarganegaraan MP Raub

harakahdaily.net
February 15, 2025

Jangka panjang tukar jadi negara republik, hilangkan Raja-raja Melayu

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menarik kewarganegaraan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, desak Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa.

Menurut beliau, Chow tidak memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan, kerana seorang yang faham akan perlembagaan, akur untuk menjadi warganegara dalam negara ini.

“Dia mesti faham dan dia tidak (sepatutnya) membuat cadangan-cadangan yang bercanggah sebagai seorang ahli warganegara,” katanya susulan cadangan Chow supaya diwujudkan portfolio hal ehwal agama bukan-Islam di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama Negara (SKAN), Ustaz Masridzi Sat selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan lain-lain.

Mohd Zai turut menyeru Ahli Parlimen lain untuk mengambil tindakan terhadap Chow kerana cadangannya bercanggah dengan sumpah sebagai Ahli Parlimen dan sebagai seorang warganegara Malaysia yang sepatutnya taat kepada Perlembagaan.

Gesaan laporan polis

Beliau bersama Masrizi, mengajak semua pemimpin masyarakat Islam di negara ini untuk membuat laporan polis terhadap Chow kerana cadangan itu bertentangan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kita menyeru semua pemimpin-pemimpin masyarakat umat Islam di negara ini bersama-sama membuat laporan polis di seluruh negara kerana perbuatan Ahli Parlimen Raub ini Chow Yu Hui ini adalah merupakan satu kesalahan yang besar,” ujar Mohd Zai.

Menurutnya, cadangan Chow bertujuan menyamakan agama lain dengan Islam, sedangkan Perlembagaan hanya membenarkan agama lain diamalkan secara aman tanpa mengganggu kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Mohd Zai turut menegaskan bahawa cadangan Chow menggugat kuasa Majlis Raja-raja Melayu, yang menjadi benteng utama dalam mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Pengerusi atau benteng kepada Perkara 3(1) adalah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan ini jelas mengganggu gugat kuasa mereka,” katanya.

Agenda DAP

Beliau turut berkata bahawa cadangan itu merupakan sebahagian daripada agenda DAP yang bertujuan menyamakan kedudukan agama dan kaum dalam negara.

“Maka mereka nak melaksanakan agenda DAP dalam kerajaan dan inilah agenda yang paling utama iaitu ‘Malaysian Malaysia’ sama rata. Mereka sama rata, sama hak, sama rasa, sama kuasa.

“Dan Majlis Raja-raja Melayu kita harapkan sedar perkara ini dan agenda seterusnya mereka adalah nak merepublikan negara ini dan mereka akan menukar Majlis Raja-raja Melayu ini, menghilangkan Raja-raja Melayu dan mereka nak gantikan dengan Presiden.

“Dan mereka nak gantikan di negeri-negeri dengan apa namapun kita tak tahu. Jadi sebenarnya cadangan (MP Raub) ini adalah cadangan jangka panjang jangka jauh mereka nak menukarkan negara ini daripada negara Tanah Melayu kepada Malaysia.

“Malaysia akhirnya esok jadi republik dan menghilangkan raja-raja Melayu dan juga Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

HARAKAHDAILY 15/2/2025

Sunday, January 26, 2025

Pamer bendera asing tanda luntur patriotik, cabar kedaulatan negara

bharian.com.my
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman 
wananwar@bh.com.my
- Januari 26, 2025 @ 9:00am
Bendera China terpampang pada replika naga ketika perarakan kebudayaan di bandar Muar, pada 18 Januari lalu. - Foto tular

MENGIKUT Seksyen 3, Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), ia memperuntukkan tiada seorang pun boleh mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan, termasuk bendera negara asing di tempat awam atau premis kerajaan.

Namun, terdapat pengecualian kepada mana-mana orang ditauliahkan sebagai wakil diplomatik atau wakil konsular kuasa asing ke Malaysia mengikut Seksyen 4 akta berkenaan. Seksyen 5 akta itu pula memberi kuasa kepada menteri memberikan pengecualian atau permit.

Jika diimbas kembali, perbuatan mempamerkan lambang atau bendera negara asing di tempat awam di negara ini acap kali berlaku. Baru-baru ini, polis menyiasat perbuatan mempamer bendera China di Muar, Johor menerusi perarakan naga.

Sebelum itu, polis turut membuka kertas siasatan terhadap laporan mempamer bendera China pada roket di Tangkak, juga di Johor. Oktober tahun lalu, polis turut menyiasat penganjur perarakan di Dataran Teluk Intan, Perak mempamerkan bendera China.

Mempamerkan bendera China dalam acara tertentu di Malaysia sebenarnya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia, walaupun pihak berkuasa berusaha meredakan kes ini bagi mengurangkan ketegangan dalam masyarakat.

Namun, perkara pokok yang tidak boleh dikompromi dalam isu ini adalah perbuatan mempamerkan bendera negara asing sebenarnya mencabar kedaulatan negara secara terbuka, menggambarkan masih ada rakyat tidak memiliki semangat patriotik terhadap negara.

Ia memberi gambaran seolah-olah kemasukan pengaruh luar ke negara ini cuba dinormalisasikan, sekali gus menjejaskan semangat kebangsaan yang seharusnya berteraskan identiti nasional Malaysia.

Isu mempamerkan bendera China atau bendera negara lain tanpa alasan munasabah juga mencabar sensitiviti politik Malaysia, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, apatah lagi ia seperti menghalalkan usaha mempromosi fahaman komunis di negara ini.

Dalam konteks ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memainkan peranan penting memastikan perkara boleh mencetuskan ketegangan antara kaum ini patut dielakkan.

KDN seharusnya lebih peka terhadap tanda atau elemen boleh menggugat keharmonian negara dan mengambil langkah proaktif mengawal perkara boleh menjejaskan kestabilan sosial. Jika ada pihak beranggapan isu ini sebagai masalah terpencil, ia mendedahkan betapa nipis semangat patriotik pada negara ini.

Bendera China atau sebarang simbol negara asing, jika digunakan dalam konteks tidak sesuai, boleh mencabar semangat kebangsaan Malaysia, terutama dalam kalangan masyarakat.

Walaupun hubungan antara Malaysia dan China adalah baik dari segi diplomatik, penting untuk memastikan identiti kebangsaan dan kedaulatan Malaysia tetap dihormati.

Sebagai negara berbilang kaum, Malaysia perlu mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara etnik melalui pemahaman dan pengurusan sensitiviti bijaksana, supaya semangat kebangsaan terus kekal utuh.

Sikap 'senyap' parti nasionalisme

Antara aspek menimbulkan persoalan dalam isu ini adalah sikap 'senyap' ditunjukkan parti mendakwa memperjuangkan semangat nasionalisme, termaktub dalam Perlembagaan khususnya dalam mempertahan dan melindungi perkara teras iaitu agama, bangsa dan bahasa.

Jika sebelum ini, parti nasionalisme seperti UMNO pantas bertindak dan lantang bersuara menolak kemasukan elemen asing dalam negara, termasuk penggunaan bendera negara luar tanpa sebab, kini tiada lagi suara penentangan itu kedengaran.

Parti lain seperti BERSATU atau berteraskan Melayu dan Islam seperti PAS kurang menyengat daripada membangkitkan persoalan ini, seolah-olah reda dengan apa yang berlaku atau menganggap ia bukan satu isu penting perlu diambil berat untuk diuruskan.

Bagi ramai pihak, terutama mereka berpegang teguh kepada prinsip menjaga dan membela kedaulatan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan, kehadiran simbol negara asing seperti bendera China boleh dilihat sebagai ancaman terhadap kedudukan semangat kebangsaan Malaysia.

Ketiadaan tindak balas ketara daripada parti nasionalis seperti UMNO menimbulkan tanda tanya mengenai bagaimana parti ini mengimbangi kepentingan politiknya, terutama hubungan dengan parti lain dalam kerajaan dengan kewajipan melindungi kepentingan negara secara keseluruhan.

Isu mempamerkan bendera China dalam negara ini yang bukan program rasmi sebenarnya mencabar kedaulatan negara serta sensitiviti politik serta sosial. Hal ini perlu ditangani berhati-hati bagi memastikan sensitiviti masyarakat Malaysia dijaga, dan sebarang pengaruh luar boleh menjejaskan keharmonian negara dikawal dengan bijak.

Semangat kebangsaan Malaysia berasaskan perpaduan antara kaum dan agama harus menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan diambil. Permasalahan ini bukan menyentuh soal prejudis dan subjudis, tetapi terarah memelihara kedaulatan negara.

Hakikat tidak boleh dinafikan, Malaysia dan China mempunyai hubungan diplomatik kukuh, terutama dalam bidang perdagangan dan ekonomi. Walaupun hubungan ini memberi manfaat besar kepada Malaysia, isu sensitif yang timbul seperti isu bendera tetap memberi kesan kepada identiti kebangsaan Malaysia.

Sebarang simbol atau tanda dikaitkan dengan negara asing, seperti bendera China dalam konteks tidak sesuai, misalnya dalam perhimpunan tidak relevan dengan konteks kebangsaan Malaysia, dianggap sebagai ancaman terhadap kedaulatan selain memberi isyarat salah tahap kesetiaan mereka pada negara.

Bagi memastikan semangat kebangsaan dan cintakan Malaysia terus terpelihara, penting untuk semua pihak mengelakkan penggunaan simbol asing yang boleh mencabar identiti kebangsaan atau menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat.

Malaysia perlu terus mengutamakan nilai kebangsaan menghormati semua kaum dan menjaga kesejahteraan bersama, tanpa mengorbankan hak serta kedudukan mana-mana bangsa.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita (Rencana) BH

Monday, October 7, 2024

Rampasan jam berunsur LGBT: Fadhli mohon maaf

harakahdaily.net
October 7, 2024
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini memohon maaf kepada Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Kerajaan Malaysia kerana telah mengucapkan tahniah di Dewan Rakyat pada 13 Jun 2023 ekoran tindakan KDN merampas jam yang mempunyai unsur-unsur promosi LGBT.

Rampasan itu bagaimanapun disahkan kemudiannya oleh Saifuddin bahawa ia berdasarkan kepada unsur-unsur yang jelas mempromosikan terhadap budaya songsang yang dilarang di dalam agama dan undang-undang negara ini.

“Walau bagaimanapun, saya terpaksa memohon maaf kerana tersalah mengucapkan tahniah itu ekoran pendirian terbaru Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam satu wawancara baru-baru ini bahawa beliau tidak bersetuju dengan rampasan itu.

“Jadi, jika seorang Perdana Menteri tidak setuju dengan tindakan agensi di bawah kerajaan, tindakan itu tidak ada merit lagi dari sudut punca kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Justeru, beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menarik balik ucapan tahniah tersebut pada sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadualkan bermula pada 14 Oktober ini.

“Saya mohon maaf sekali lagi kerana mengucapkan tahniah atas rampasan itu. Jika perlu, saya sedia menarik balik ucapan tahniah itu di dalam Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Anwar dalam wawancaranya baru-baru ini menyatakan ketidaksetujuannya terhadap rampasan jam tangan bertemakan ‘Rainbow Pride’ yang mempunyai unsur LGBT oleh KDN.

Menurut beliau (Anwar), keputusan untuk melakukan rampasan itu diambil oleh jabatan tertentu dan merupakan satu tindakan yang keterlaluan kerana tiada arahan yang dikeluarkannya untuk berbuat demikian. 

Wednesday, August 14, 2024

Pembatalan perintah larangan komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' terburu-buru - Veteran ATM

hmetro.com.my
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Kuala Lumpur: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang diwartakan pada 2019 sebagai tindakan terburu-buru tanpa mempedulikan sensitiviti rakyat terutama anggota pasukan keselamatan.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar berkata, ketika komik yang mempunyai kandungan penerbitan antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme diharamkan pada 2019, semua rakyat sudah menyambut baik keputusan kerajaan waktu itu.

Beliau berkata, KDN sepatutnya perlu sangat berhati-hati membuat keputusan isu sensitif kepada rakyat terutama peristiwa hitam keganasan komunis yang mencacatkan kemakmuran negara.

"Sebagai veteran ATM memperjuangkan negara dan terbabit sepenuhnya dalam kempen darurat kedua yang dihuru-harakan komunis, keputusan KDN dilihat tidak bijaksana dan kurang cermat dalam membuat keputusan.

"Ini kerana ia sudah dibatalkan pada 2019 dan pada masa itu diterima rakyat keseluruhannya. Saya kurang pasti sama ada KDN sudah berbincang dengan pasukan keselamatan di bawah kementerian itu khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau sebaliknya,

"Jika pun tak panggil atau tidak berbincang dengan angkatan tentera atau veteran tentera tetapi sekurang-kurangnya berbincanglah dengan pihak polis," katanya.

Sharuddin berkata, beliau berpandangan perkhidmatan polis juga tidak bersetuju keputusan KDN kerana ketika komunis membuat huru-hara ramai antara anggota polis terbabit memerangi komunis ketika itu khususnya VAT69, pasukan komando Pasukan Polis Hutan (PPH) sekarang dikenali Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, beliau juga percaya ramai tidak boleh melupakan peristiwa menyayat hati Ketua Polis Negara ketiga, Tan Sri Abdul Rahman Hashim ditembak mati oleh anasir komunis di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974.

"Kami di pihak veteran mengatakan keputusan itu tidak wajar ketika mana sekarang ini rakyat sudah mula cuba melupakan peristiwa hitam berkenaan (keganasan komunis).

"Dengan wujudnya penerbitan itu dibenarkan menyebabkan rakyat akan merasakan bahawa kerajaan mula mengiktiraf perjuangan komunis dan secara tak langsung menafikan perjuangan pasukan keselamatan.

"Saya mewakili semua veteran mohon supaya pihak KDN membuat semakan semula keputusan itu dengan mengambil kira sensitiviti tidak sahaja membabitkan politik tetapi yang lebih penting sensitiviti rakyat secara keseluruhan.

"Jangan terlalu memikirkan mengenai kepentingan politik, sensitiviti rakyat perlulah menjadi keutamaan," katanya.

Semalam, media melaporkan KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama', yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 6 Ogos lalu.

Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa, iaitu versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism' dan bahasa Cina.

Disiarkan pada: Ogos 14, 2024 @ 6:21pm

Komik Hew: Umno wajib bantah keputusan KDN batal larangan, kata Puad

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
14 Aug 2024, 08:42 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata kerajaan wajar mencari jalan supaya larangan berkenaan diteruskan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata rakyat kecewa dengan keputusan KDN yang menarik semula larangan mencetak dan mengedar komik kontroversi itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno menggesa parti itu terus membantah keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik semula larangan mencetak dan mengedar komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

Komik itu ditulis bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata rakyat kecewa dengan keputusan KDN itu dan kerajaan wajar mencari jalan supaya larangan berkenaan diteruskan.

Umno wajib membantah keras, katanya di Facebook, sambil menambah komik itu jelas mengagungkan Chin Peng, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya.

“Ia jarum halus sebar komunisme. Ramai anggota keselamatan (menjadi) korban perjuangan bersenjatanya.

Selepas negara merdeka, dia (Chin Peng) terus berjuang dalam hutan menentang kerajaan yang sah dan dipilih rakyat. Ideologi komunis menolak Raja Raja Melayu. Ia ancam kestabilan, katanya.

Perintah larangan terhadap penerbitan komik kontroversi itu diwartakan pada 2019, namun ia ditarik balik.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pada 6 Ogos.

Bagaimanapun, Pemuda Umno semalam menggesa kerajaan pertimbang untuk memohon semakan terhadap keputusan mahkamah itu.

Mahkamah Rayuan pada 26 Julai 2022 memutuskan komik berkenaan tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sebelum itu pada 25 Mei, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Hew untuk membatalkan larangan ke atas komik itu.

Perintah larangan diwartakan pada 2019, apabila kerajaan mendakwa ia mempunyai kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan, serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Ia dikatakan cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan menggelirukan mengenai komunis, serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis, antara lain.

Pada 8 Dis 2022, kerajaan dilapor gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan larangan ke atas penerbitan komik berkenaan.

Sunday, July 21, 2024

'Qunut Nazilah ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza kenapa ada yang terasa' - Wan Ahmad Fayhsal

bharian.com.my
Oleh Essa Abu Yamin 
essabuyamin@bh.com.my
Julai 21, 2024 @ 1:57pm
Reaksi Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika mendengar usul tentang penggantungan beliau daripada sidang Parlimen selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 1 Julai lalu di Bangunan Parlimen, pada 18 Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, menafikan Qunut Nazilah yang dibacakan oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, ditujukan kepada pemimpin kerajaan.

Sebaliknya beliau berkata, doa yang dibacakan itu ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza, Palestin seperti syarikat BlackRock.

"Saya ada di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, membacakan Doa Qunut Nazilah.

"Beliau tidak tujukan kepada kerajaan Perpaduan, apatah lagi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul atau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilaporkan memandang serius mengenai bacaan Qunut Nazilah oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, doa itu adalah bersifat umum dan tidak khusus kepada seteru politik seperti didakwa menteri berkenaan dan turut mempersoalkan mengapa menteri terbabit terasa dengan doa yang dibacakan berkenaan.

"Ingat prinsip usul fiqh dalam membuat penghakiman: al-hukm 'ala shay' far'un 'an tasawwurihi (membuat hukum ke atas sesuatu perkara mestilah dibuat selepas mendapat gambaran penuh tentang perkara itu.

"Nampaknya Menteri Dalam Negeri ini cepat bersangka buruk dalam soal ini. Jangan risau kami bukan Khawarij seperti yang kamu cuba momokkan!", katanya.

Kelmarin, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR menyifatkan bacaan doa itu sebagai satu dasar politik yang melampau dan harus ditolak biar pun terdapat perbezaan fahaman politik antara kerajaan dan pembangkang.

Katanya, perbuatan membaca Qunut Nazilah terhadap musuh politik juga tidak menggambarkan akhlak politik Islam.

"Semalam (Khamis lalu) Ahli Parlimen Jasin (Zulkifli) membaca Qunut Nazilah terhadap lawan politiknya. Ini bukannya akhlak politik Islam, jauh sekali hendak kata ini ajaran Islam.

"Dibacakan dalam Dewan Rakyat, jelas beliau (Zulkifli) cuba berselindung di sebalik imuniti Parlimen," katanya ketika sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelmarin.

Khamis lalu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua ARMADA BERSATU digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan, dengan diiringi bacaan qunut nazilah oleh sebahagian Ahli Parlimen pembangkang lain.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) dalam satu kenyataan menasihatkan masyarakat supaya mengelak membaca qunut nazilah ke atas mana-mana orang Islam kerana ia dikhuatiri akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama.

Katanya, ia kerana bacaan doa itu ke atas orang Islam, sama ada musuh atau lawan sesama muslim tidak dibolehkan dalam apa-apa juga keadaan.

Selain itu, katanya, perbuatan sama tidak dibolehkan sekiranya Qunut Nazilah dibacakan ke atas orang Islam semata-mata kerana perselisihan faham atau pandangan yang biasa berlaku dalam politik dan seumpamanya.

Tuesday, May 16, 2023

Kalimah Allah: Bekas menteri agama tuntut penjelasan KDN

malaysiakini.com
Diterbitkan: May 15, 2023 
Bekas menteri agama Zulkifli Mohamad menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah.

Zulkifli berkata rayuan yang dibuat ketika dia menjadi menteri agama pada 2021 adalah bagi menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan demikian.

"Keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah Sultan Johor dan Sultan Selangor yang menitahkan kerajaan persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan mahkamah tinggi.

"Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para mufti serta jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik," katanya di Facebook, hari ini.

"Saya amat berharap kerajaan madani melalui KDN ada jawapannya. Ini kerana Saifuddin selaku menteri dalam negeri memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu kepentingan umat Islam ini," kata Zulkifli lagi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menarik balik rayuan dalam kes yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.

Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.

KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

Susulan keputusan hari ini, Saifuddin berkata KDN membuat pendirian itu kepada kabinet beberapa bulan lalu dan penjelasan lanjut akan diberikan pada sidang media akan datang.
Lukman Sheriff Alias
Sementara itu, Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa) menyatakan kekecewaan berhubung keputusan kerajaan tersebut.

Pengerusinya Lukman Sheriff Alias berkata isu berkenaan melibatkan kepentingan awam yang sangat sensitif dalam masyarakat Malaysia.

"Isu kalimah Allah adalah isu kepentingan awam yang sangat sensitif di kalangan rakyat Malaysia, sama ada Islam dan bukan Islam.

"Oleh itu, satu kejutan dan kekecewaan besar bahawa rayuan itu ditarik balik tanpa sebarang justifikasi.

"Macsa mengecam cara kes itu ditarik balik tanpa sebarang penjelasan," katanya dalam kenyataan.

Wednesday, March 8, 2023

‘Apa dah jadi dengan Umno, diheret pula menteri KDN’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 8, 2023 12:12 PM
“Apa dah jadi dgn Umno ni?” begitu soal bekas naib presiden yang digantung keanggotaan parti Hishammuddin Hussein.

Anggota parlimen Sembrong itu berkata demikian dalam komen terhadap status bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang telah dipecat, ketika mengulas pengecualian kepada Umno daripada diharamkan.

Dalam status video itu, Khairy berkata keputusan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sememangnya memutuskan keputusan Umno tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno sebagai tidak sah.

Sementara itu, Hishammuddin yang terpalit kontroversi memberikan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, berkata Umno kali ini mengheret menteri dalam negeri pula.
Saifuddin Nasution Ismail
“Sekarang diheret pula Menteri KDN.

“Inilah sebab kita dipecat dan digantung - just in case menteri tak bagi pengecualian!” katanya.

Hishammuddin selama ini disebut-sebut berkemungkinan bertanding jawatan tertinggi Umno bersama bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, walaupun tidak pernah mengisytiharkan secara terbuka.

Khairy pula memang telah menyatakan mahu mencabar Presiden Zahid Hamidi tetapi tidak dapat lagi berbuat demikian setelah dipecat daripada parti.

Semalam Saifuddin menggunakan kuasa budi bicaranya untuk mengecualikan Umno daripada dibatalkan pendaftaran.

Pada 20 Jan lalu, dua anggota Umno memfailkan notis bantahan kepada ROS berhubung ketetapan tidak mempertandingkan dua jawatan utama parti.

Tindakan itu didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Bagaimanapun ini bukan kali pertama dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

Saturday, May 28, 2022

KDN persoal tindakan UNHCR beri kad pelarian sewenangnya

ismaweb.net
azrulhakimie

Ia seolah-olah sah untuk mereka tinggal dalam negara ini


KAPAR, 27 Syawal 1443H, Sabtu – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) memberikan kad pengesahan pelarian kepada beberapa individu warga Indonesia.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata menerusi operasi penguatkuasaan, pihaknya berjaya mengesan beberapa warga Indonesia yang didapati mempunyai memiliki kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR.

“Macam mana UNCHR mengeluarkan kad sewenang-wenangnya, sehinggakan dengan ada kad ini, seolah-olah sah untuk mereka tinggal dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Besar Meru, dekat sini.

Operasi malam tadi menyaksikan daripada 704 warga asing yang diperiksa, 51 pendatang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

Sementara itu mengulas kegagalan sistem di Pejabat Imigresen Kelana Jaya yang dilaporkan sebuah portal hari ini, Hamzah berkata ia bukan sahaja berlaku di pejabat berkenaan tetapi juga di pejabat imigresen di tempat lain.

“Saya nak maklumkan kepada semua sebenarnya kita gunakan ini (dalam talian) adalah sistem yang lama. Maka sudah tentulah sistem lama dah terlampau ramai, dia ada ‘jammed’ sedikit. Sebab itu kita telah pun ‘award’ kepada satu syarikat sistem yang baharu dan mereka sedang jalan (proses itu) dan insya-Allah tahun 2024 siap semuanya, kita boleh guna sistem yang lebih canggih dan bagus,” katanya.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, April 19, 2020

Apakah bekas menteri kesihatan sudah nyanyuk?

COVID-19: Dzulkefly salahkan Muhyiddin kerana perhimpunan tabligh
19/04/2020

BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dengan beraninya menyalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri kerana penganjuran perhimpunan tabligh pada 26 Februari hingga 2 Mac 2020 yang menjadi punca kepada penularan COVID-19 di Malaysia.

Kata Datuk Seri Dr Dzulkefly: “Kalaulah ada menteri yang lebih memaklumi kedudukan perkara perhimpunan tabligh ini, pastinya beliau itu ialah Menteri Dalam Negeri, yang sekarang ini ialah Perdana Menteri kelapan. Datuk Seri Dr Adham Baba wajar bertanya Tan Sri Muhyiddin kalau ingin tahu letak duduk dakwaannya bahawa kerajaan PH gagal mengawal perhimpunan tabligh.”

Fakta-fakta mengenai pemberian kelulusan ke atas perhimpunan tabligh ini adalah seperti berikut:

(1) Permohonan untuk melangsungkan perhimpunan tabligh ini dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Penganjurnya, Dr Haji Mohmad Mustafa, melalui suratnya yang bertarikh 16 Januari 2020.

(2) Dalam sidang media pada 29 Januari 2020 yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiada halangan untuk perhimpunan besar diadakan di negara ini. Boleh rujuk di sini: https://malaysiadateline.com/coronavirus-tiada-halangan-ad…/

(3) Dalam kenyataan media pada 12 Februari 2020, Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai, memberi amaran kepada Malaysia supaya bersedia terhadap sebarang kemungkinan penyebaran wabak COVID-19 covid yang lebih meluas, termasuk untuk membuat keputusan menangguhkan perhimpunan awam bagi mengurangkan kebarangkalian virus ini merebak. Boleh rujuk di sini: https://www.sinarharian.com.my/…/Covid-19-WHO-beri-amaran-k…

(4) Dalam sidang media harian berhubung wabak COVID-19 pada 12 Februari 2020, Datuk Seri Dr Dzulkefly, ketika ditanya mengenai amaran WHO ini, menepisnya dengan berkata, Malaysia belum lagi sampai ke peringkat itu dan belum ada keperluan untuk kerajaan melaksanakan saranan WHO supaya menangguhkan perhimpunan awam. Boleh rujuk di sini: https://www.sinarharian.com.my/…/Kadar-jangkitan-Covid-19-k…

(5) Kelulusan untuk melangsungkan perhimpunan tabligh ini pun diberi oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supt Annas bin Sulaiman, melalui suratnya yang bertarikh 13 Februari 2020.

Apakah Datuk Seri Dr Dzulkefly sudah nyanyuk sehingga menyalahkan Tan Sri Muhyiddin kerana penganjuran perhimpunan tabligh sedangkan yang menyatakan perhimpunan seperti ini boleh dilakukan sehari sebelum kelulusan ke atasnya diberikan ialah beliau sendiri?

Rekod-rekod membuktikan bahawa Tan Sri Muhyiddin sentiasa konsisten di dalam usaha kerajaan untuk menangani wabak COVID-19 dengan memastikan agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mematuhi keputusan dan arahan jawatankuasa berkenaan.

Di dalam isu membendung kemasukan warga China ke negara ini umpamanya, seawal 31 Januari 2020 lagi Tan Sri Muhyiddin menegaskan bahawa KDN bersedia memperluas sekatan terhadap kemasukan warga China jika jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly memutuskan keperluan untuk berbuat demikian. Boleh rujuk di sini: https://www.bharian.com.my/…/kdn-bersedia-sekat-kemasukan-w…

Malangnya keputusan begini tidak pernah ada, malah Datuk Seri Dr Wan Azizah sendiri, dalam sidang media pada 21 Februari 2020 yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly, mengumumkan bahawa belum ada keperluan untuk mengadakan sekatan terhadap warga China setakat itu susulan penularan wabak COVID-19. Boleh rujuk di sini: https://www.bharian.com.my/…/kerajaan-belum-cadang-sekat-ke…

Bila sudah terbukti anda sendirilah yang buat silap, lagi mahu salahkan orang lainkah?

Dan ini sajakah tahap keamanahan pemimpin-pemimpin parti yang bernama AMANAH?

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net. Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Facebook penulis.

Sunday, October 20, 2019

Komik diedar ke sekolah perlu lalui saluran KDN, kata Maszlee

Mohamad Fadli
-October 20, 2019 12:24 PM

Menteri Pendidikan Maszlee Malik (tengah) pada sidang media di Sekolah Menengah Tanjung Kerang, Pontian hari ini.

PONTIAN: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, sebarang komik politik, buku politik atau apa-apa bahan bersifat “propaganda” yang mahu diedarkan di sekolah perlu mengikut saluran yang betul.

Beliau berkata, salurannya adalah melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebab negara mempunyai undang-undang.

“Jadi kita bertindak atas undang-undang, ‘rule of law’, atau landasan undang-undang.

“Apa-apa hal kena rujuk kepada KDN kerana bahan cetak ada akta dia sendiri,” katanya pada sidang media dalam satu majlis di Sekolah Menengah Tanjung Kerang di sini, hari ini, merujuk kepada pengedaran komik kontroversi bertajuk “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” ke sekolah menengah seluruh negara baru-baru ini.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, berdasarkan laporan awal Bahagian Keselamatan kementerian berkenaan. terdapat “perkara tidak betul” dalam komik berkenaan dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang menerbit dan mengedarnya.

Terdahulu Kementerian Pendidikan turut menafikan membenarkan komik tersebut disedarkan ke sekolah.

Maszlee berkata, kementerian akan bertindak atas nasihat KDN.

Laman Malaysiakini sebelum ini melaporkan 43 pemimpin akar umbi DAP, termasuk beberapa ahli Dewan Undangan Ngeri (Adun) parti itu membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah.

Kenyataan tersebut ditandatangani lima Adun iaitu Phoong Jin Zhe (Adun Luyang), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata), Chow Yu Hui (Adun Tras), Lee Chin Chen (Adun Bilut) dan Leong Yu Man (Adun Triang).

Komik “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” diterbitkan hasil kerjasama antara kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan Chong Po Ling.

Friday, October 18, 2019

KDN siasat komik didakwa berunsur propaganda



Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik didakwa berunsur propaganda yang dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan laporan awal oleh Bahagian Keselamatan KDN, terdapat perkara yang tidak betul dalam komik itu, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik itu.

Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti identiti pihak yang terbabit termasuk pengarangnya dan akan meminta Bahagian Keselamatan KDN untuk mengambil keterangan daripada pihak berkenaan.

“Kita tidak boleh ambil tindakan terburu-buru malah akan menyiasat secara terperinci bagaimana perkara itu berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di Pontian, hari ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah meminta supaya edaran komik berjudul ‘ Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ditarik balik.

Malah, KPM, semalam, dalam kenyataan, menegaskan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran atau kelulusan untuk pengedaran komik berkenaan.

Muhyiddin menjelaskan kandungan mana-mana bahan untuk edaran di institusi pendidikan tidak boleh boleh melampaui batas politik, soal negara asing mahupun kefahaman politik tanpa kebenaran kementerian.

“Kalau bahan itu cerita Upin Ipin tidak mengapa, tetapi kalau ceritanya melampaui soal batas politik, soal negara asing atau mengaitkan kefahaman politik, komunisme...tidak bolehlah,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan sekumpulan wakil lima badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi di pintu pagar Universiti Malaya hari ini bagi menzahirkan sokongan terhadap Naib Canselor universiti itu, Dr Abdul Rahim Hashim yang menurut mereka ‘ditekan’ pihak tertentu untuk meletakkan jawatan, Muhyiddin berkata ia terserah kepada kebijaksanaan pentadbiran universiti berkenaan untuk menyelesaikannya.

Ini susulan tindakan seorang graduan protes terhadap Abdul Rahim selepas menerima ijazah pada konvokesyen, baru-baru ini.

“Ikut aturan yang ada, kalau didapati dilakukan pelajar atau pegawai pun, maka pihak mereka (universiti) ada kuasa mengambil tindakan sesuai asalkan berlaku adil dan berikan peluang untuk didengar sebelum tindakan lanjut diambil.

“Saya diberitahu mereka sudah lapor polis. Yang penting universiti ada autonomi dan kuasa tertentu untuk mengawal pelajar termasuk disiplin dan apa pun pelajar tidak kira dia kaum Cina, Melayu, India, mesti bersikap tertib dan hormat, jangan buat tohmahan,” katanya.

- Bernama

Sunday, December 2, 2018

Polis siasat Waytha Moorthy, Ganabatirau

MyMetro

Muhyiddin beramah mesra bersama anggota polis yang bertugas semasa melawat Kuil Sri Mariamman, USJ 25. FOTO Sairien Nafis

BERNAMA

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy dan Exco Kerajaan Negeri Selangor V Ganabatirau.

Ia susulan kenyataan dikatakan berbaur hasutan dan perkauman yang dikeluarkan kedua-dua ahli politik berkenaan berhubung isu kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di sini, pada Isnin lepas.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis akan menyiasat sesiapa yang mengeluarkan kenyataan tidak benar.

“Jika dia ada keluar kenyataan, tengoklah sama ada benar ia berbaur perkauman dan seumpamanya.

“Kita tengok kenyataan itu betul atau tidak, kalau ada asas-asas yang kukuh maka polis boleh bertindak,” katanya kepada pemberita selepas melawat kuil berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai kemusykilan sesetengah pihak mengapa masih belum ada tindakan terhadap Waytha Moorthy dan Ganabatirau sedangkan polis telah menahan pengendali laman blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang semalam kerana membuat kenyataan berbaur perkauman dan hasutan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor memaklumkan telah membuka empat kertas siasatan dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung insiden yang berlaku di kuil berkenaan susulan laporan polis yang diterima mengenai penularan berita di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:06 PM

Monday, November 12, 2018

Cadangan haram tanam ketum ke Kabinet

MyMetro
Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my

FOTO hiasan Arkib NSTP

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet supaya penanaman pokok ketum di negara ini diharamkan sekali gus mengelak penyalahgunaan tanaman itu daripada terus berleluasa.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mendapati, penyalahgunaan ketum jelas membawa kesan bahaya kepada pengguna walaupun ia tidak dikategorikan sebagai dadah berbahaya.

Beliau berkata, kementerian tidak akan membiarkan penyalahgunaan ketum itu berleluasa memandangkan banyak tangkapan berkaitan penyeludupan ketum dilaporkan setakat ini.

“Mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, bahan mitragynine yang terkandung dalam pokok ketum adalah tersenarai dalam Jadual 3, Bahan Pskioterapik Akta Racun 1952. Malah, bahan berkenaan dikawal di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952 iaitu pengawal import, eksport, pembuatan, penjualan dan lain-lain.

“Kita sudah bincang panjang lebar perkara ini dan kita hendak mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet yang akan bersidang tidak lama lagi supaya penanaman pokok ketum itu diharamkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang (JPU) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedar rakyat di negeri-negeri di utara tanah air terkilan mengenai cadangan itu, namun ia langkah penting bagi mengelak situasi lebih canggih selain mengelak ketum diproses dalam bentuk yang membawa kesan bahaya.

Katanya, kementerian berharap tindakan pengharaman penanaman pokok ketum dapat diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet.

“Kami mendapati tanaman ketum tidak terkawal, malah ada kes pokok ketum kita dieksport ke Thailand sedangkan negara berkenaan sudah pun mengharamkan tanaman itu.

“Sekiranya cadangan ini diterima kelak, beberapa langkah akan dimasukkan bagi menentukan hukuman dan kawalan kepada mereka yang terbabit selain memasukkannya dalam Akta Racun atau Akta Dadah Berbahaya.

“Bagi tujuan perubatan pula, ia terserah kepada Kementerian Kesihatan. Kalau mereka kaji ada keperluan tertentu dari sudut perubatan, maka ia akan dibuat dalam bentuk yang terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihaknya juga akan mencadangkan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Bahan Khayal atau Inhalant 2018 ke Parlimen sebagai usaha mengawal isu hidu gam khususnya dalam kalangan remaja.

“RUU ini dicadangkan oleh AADK kerana berdasarkan jumlah laporan yang besar diterima berkaitan penghidu gam dalam kalangan remaja dan ia semakin membimbangkan.

“Hidu gam tidak dikategorikan dalam bahan dadah, malah ia terkeluar daripada rang undang-undang sedia ada. Justeru, kami mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet supaya ia dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan dan diluluskan.

“Kami berharap penghidu gam ini dapat dikawal dari sudut undang-undang dan mereka juga akan diberi bantuan pemulihan, nasihat dan pendidikan,” katanya.

Berhubung isu penggunaan ganja dalam perubatan, Muhyiddin berkata, kementerian bertegas ia tidak akan dilaksanakan di Malaysia, malah ia juga keputusan yang sudah dipersetujui bersama menerusi mesyuarat peringkat ASEAN di Hanoi, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 5:06 PM

Friday, April 27, 2018

Malaysiakini cabar Akta Antiberita Palsu di mahkamah

Hafiz Yatim

Portal berita Malaysiakini hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keperlembagaan Akta Antiberita Palsu 2018 yang diluluskan baru-baru ini.

Portal itu adalah yang pertama memfailkan cabaran terhadap undang-undang kontroversi yang dikritik pengamal undang-undang dan juga kumpulan hak asasi manusia.

Malaysiakini melalui syarikatnya MKINI Dotcom Sdn Bhd menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia sebagai responden

Permohonan itu difailkan oleh firma undang-undang Daim dan Gamany di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Portal itu memohon perisytiharan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar 2018 adalah melanggar Perkara 5 dan Perkara 10 (1), yang dibaca bersama Perkara 8 dan oleh itu melanggar perlembagaan, dan harus diisytiharkan batal dan tidak sah.

Perkara 5 berkaitan kebebasan individu manakala Artikel 10 (1) merangkumi kebebasan bersuara.

Ia juga memohon perintah mandamus untuk memaksa mahkamah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri membatalkan undang-undang yang diwartakan bertarikh 11 April tahun ini yang menjadikan rang undang-undang itu sebagai undang-undang.

[Berita penuh menyusul]

Thursday, July 27, 2017

Lebih 1.78 juta pekerja asing direkodkan - KDN


PARLIMEN l   Lebih 1.78 juta pekerja asing dari 13 negara telah sah direkodkan oleh Jabatan Imigresen untuk berada di negara ini sehingga 30 Jun lepas, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, berkata berdasarkan rekod Jabatan Imigresen, rakyat Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 728,870 orang, diikuti Nepal (405,898), Bangladesh (221,089) dan Myanmar (127,705).

Pekerja asing dari India pula seramai 114,455 orang, Pakistan (59,281), Filipina (56,153), Vietnam (29,039), China (15,399), Thailand (12,603), Sri Lanka (5,964), Kemboja (5,103) dan Laos (39), katanya dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) hari ini.

Teresa Kok bertanya mengenai senarai pecahan pekerja asing mengikut negara asal masing-masing.

Selain itu, menurut kementerian, kerajaan melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula (Program Rehiring) sejak 15 Feb 2016 sehingga 31 Dis ini untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari 15 negara sumber sedia ada.

Program itu memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia mendapat permit kerja yang sah untuk memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan selain sebagai inisiatif kerajaan bagi mengetahui jumlah PATI dalam negara untuk pemantauan dan memenuhi keperluan senario keselamatan.

- Bernama

Wednesday, April 12, 2017

Tak perlu lagakan saya dengan Zahid, pembangkang takkan berjaya hasut

Oleh NUR ASLINDA NASIR 
Foto RABBANI JAMIAN

     Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyambut baik pelantikan beliau sebagai Menteri dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

Katanya dalam sidang media, ia merupakan suatu penghormatan buat dirinya dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan sekaligus merasakan pelantikan tersebut merupakan peluang untuk dirinya bersama dengan Timbalan Perdana Menteri dalam mengagihkan tugas mengikut landskap baharu yang perlu dihadapi.
“Lantikan itu merupakan satu kepercayaan yang cukup saya hargai, insyaAllah amanah yang diletakkan kepada saya ini, yang juga dalam portfolio tambahan, saya akan pikul sedaya upaya.

“Apa yang diperlukan nanti saya akan bincang dengan Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan rasmi penasihat Raja Arab Saudi, Dr Muhammad Abdul Karem Al-Issa di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Hishammuddin turut berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba membuat spekulasi berikutan pelantikan tersebut.

Ini kerana katanya tidak sampai 24 jam lantikan pelbagai spekulasi timbul namun tegas Hishammuddin pelantikan ini adalah bagi meringankan beban Perdana Menteri.

“(Kita ada) banyak kerja.

“Contohnya hari ini dengan (lawatan) pegawai Raja Salman, ia tidak berkisar dengan Mindef (Kementerian Pertahanan) sahaja tetapi ia melibatkan KDN (Kementerian Dalam Negeri), Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Kami proaktif, work in progress dan kalau ada tugas dan keperluan baru yang perlu kita hadapi maka penyesuaian dari segi portfolio dan tanggungjawab boleh dilakukan atas budi bicara dan kuasa PM. Ini keputusan dia (PM) sendiri,” kata Hishammuddin.

Bagaimanapun, Hishammuddin meminta semua pihak tidak menjadikan pelantikan beliau sebagai cubaan untuk melaga-lagakannya dengan Timbalan Perdana Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jangan ada mana-mana pihak cuba gembar-gemburkan mencari perkara yang boleh melagakan kita pula, sebab Timbalan Perdana Menteri sendiri setuju dengan pelantikan ini dan saya terima sebagai satu amanah, itu yang penting dari nak melayan orang yang tak tahu pun sebenarnya apa yang kita buat.

“Biar orang ramai yang nilai, tapi bukan pihak berkepentingan yang menilai pelantikan jawatan hari ini,” ujarnya.

Beliau dalam masa yang sama turut mengulas ramalan Naib presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyatakan pelantikan tersebut bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Ahmad Zahid sambil menyifatkan Rafizi sebagai ‘kaki kipas’.

“Itu memang kerja Rafizi pun, bukan dia yang lantik saya, apa yang berlaku ni tak ada kena mengena dengan dia, Rafizi ni memang ketua mengipas dan melagakan.

“Saya nak beritahu yang dia takkan berjaya kerana saya anggap ia sebagai satu amanah untuk bentuk sesama pimpinan kita, saya akan bersungguh-sungguh pada amanah yang dipertanggungjawabkan, jadi tak ada benda yang boleh dia kipas lagi dah,” tambahnya.

Terdahulu, Rafizi meramalkan pelantikan Hishamuddin itu bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Ahmad Zahid.

Beliau melihat langkah itu sebagai restu langsung daripada Najib.

Manakala, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub menafsirkan pelantikan Hishammuddin sebagai petanda Najib akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi.

Awal hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Hishammuddin dilantik sebagai Menteri dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan ini akan membolehkan Hishammuddin menjalankan tugas selain tanggungjawabnya beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Perkara itu diumumkan Najib sendiri dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid dalam kenyataan medianya turut menyambut baik perlantikan tersebut dengan menjelaskan Hishammuddin mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan berikutan pelantikan sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas.

“Pelantikan ini sesuai dan saya yakin beliau (Hishammuddin) dapat membantu Perdana Menteri dalam misi dan tugas khas bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan juga tugas tertentu yang akan membawa kepada kelicinan pentadbiran kerajaan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thursday, November 3, 2016

Bersih, Baju Merah tak boleh adakan perhimpunan

Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR - Penganjur perhimpunan Bersih 5 dan kumpulan Baju Merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan, dan berdepan tindakan undang-undang jika berbuat demikian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan tidak mahu berlaku pertembungan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tempat perhimpunan yang dipohon penganjur Bersih atau kumpulan Baju Kuning, termasuk dalam senarai lokasi yang tidak diizinkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 walaupun notis mengadakan perhimpunan dipohon 10 hari sebelum acara berlangsung.

"Sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin (Abdul Aziz), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak mengizinkan ia digunakan kerana tidak digazetkan dalam Akta Perhimpunan Aman.

"Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia memutuskan keputusan DBKL itu harus dipatuhi dan saya nasihatkan kedua-dua kumpulan ini jangan buat sebarang perhimpunan sebagaimana yang telah saya nyatakan di Dewan Rakyat hari ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Perhimpunan kumpulan Baju Merah dirancang Sabtu ini di Dataran Merdeka manakala perhimpunan Bersih 5 pada 19 November.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada persidangan Dewan Rakyat, Ahmad Zahid berkata KDN tidak tidak mempunyai apa-apa hubungan atau menjanjikan sebarang perlindungan dengan mana-mana kumpulan baik Bersih atau Baju Merah.

Beliau menegaskan polis akan bertindak tegas terhadap kedua-dua kumpulan itu atas sebarang ketidakpatuhan undang-undang atau prosedur yang ditetapkan.

"Yang Berhormat Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin) dan Yang Berhormat Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh) ada bertanya kepada saya sama ada KDN ada hubungan dengan kumpulan Baju Merah dan meminta jaminan adakah kumpulan Baju Merah akan menghentikan aktiviti (perhimpunan) mereka jika Bersih juga berbuat demikian.

"Di sini saya ingin tegaskan bahawa KDN tiada apa-apa hubungan, perlindungan atau sebarang janji dengan mana-mana kumpulan sama ada Bersih atau kumpulan Baju Merah," katanya.

Ahmad Zahid berkata sehingga Oktober lalu, 175 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung penganjuran Bersih 5.0.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, beliau berkata siasatan dibuat berdasarkan kesalahan di bawah Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman atau undang-undang lain.

Ahmad Zahid berkata beberapa laporan lagi diterima mengenai ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos.

"Saya ingin menyatakan bahawa jika tidak ada kuning pasti tidak ada merah, jika tidak ada Maria Chin (pengerusi Bersih 2.0) pasti tidak ada Jamal Yunos.

"Jadi saya minta semua pihak merah atau kuning mencari platform terbaik untuk mencari penyelesaian berbanding mengadakan perhimpunan," katanya.

Dalam isu Bersih dan Baju Merah, beliau berkata KDN menggesa semua pihak menjunjung kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa ketika ini.

"Kita tidak seharusnya bersandarkan dasar memperjuangkan sesuatu demi kepentingan negara atau untuk menegakkan keadilan, tetapi dalam masa yang sama kita sendiri mengingkari dan membelakangkan undang-undang yang digubal oleh Parlimen," katanya.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-