N Faizal Ghazali & Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 13, 2024 3:48 PM
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa parti-parti dalam kerajaan perpaduan dipergunakan DAP untuk mencapai matlamat Deklarasi Setapak.
Mengkritik perjuangan parti-parti kerajaan perpaduan yang tiada hala tuju katanya, DAP memperlihatkan kejayaan menguasai kerajaan.
“Kita tahu perjuangan DAP ini apa dia, apa yang diisytiharkan dalam Deklarasi Setapak.
“Apa yang dinyatakan jelas, terang, nyata, dan sedang dicapai selangkah demi selangkah menggunakan parti-parti lain,” katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Muslimat PAS ke-64, di Dewan Al-Makmur, Temerloh, hari ini.
DAP paling untung
Deklarasi Setapak diwujudkan pada 1967 yang menyebut antaranya:
“Dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip ini pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang”.
Tambah pengarah pilihan raya PAS itu, perlu diakui perkara berkenaan dan semua komponen kerajaan perpaduan harus sedar hakikat bahawa rakyat Malaysia sedang menyaksikan yang paling berjaya adalah DAP.
“Yang paling berjaya, paling untung yang paling dominan dalam politik di negara ini dalam kerajaan adalah DAP.
“Walaupun dia tak cakap banyak, tapi semua parti lain bercakap bagi pihak DAP. Perhatilah betul-betul, sebab itu saya kata kena sambungkan puzzle, jangan tengok puzzle satu-satu.
“Sambung daripada sejarah yang panjang itu. Kita akan dapat saksikan yang paling beruntung dalam kerajaan perpaduan ini adalah DAP,” dakwanya lagi.
Bahtera Umno makin karam
Dalam ucapannya, Sanusi turut menyifatkan bahtera Umno ‘semakin karam’ apabila perjuangannya kini bukan lagi untuk mempertahankan Melayu dan Islam, sebaliknya untuk menyelamatkan individu tertentu.
Malah dia turut menegaskan betapa parti itu akan kehilangan banyak kerusi pada PRU ke-16 nanti.
“Umno kini (macam) sebuah badan yang dipergunakan untuk menyelamatkan individu tertentu saja.
“Mereka dah tiada prinsip, langgar habis semua. (Malah) laungan ‘Hidup Melayu’ pada perhimpunan agung (PAU) pun mereka tak berani sebut lagi.
“Dulu mereka ada banyak kerusi, PRU15 tinggal 26, insya-Allah, sekali lagi pilihan raya tinggal enam kerusi Parlimen,” katanya.
Menteri naik lembu juga jadi sasaran
Sanusi turut mengkritik Amanah yang digambarkannya sebagai tiada perjuangan yang jelas.
“Yang lemas sangat ini adalah PAN (Amanah), tidak tahu jadi apa. Tidak nampak apa, boleh la presiden dia jadi menteri naik lembu.
“Tidak ada agenda perjuangan, mereka ikut sahaja DAP, itu parti Amanah” katanya sambil menambah parti-parti itu membentuk kerajaan perpaduan hanya kerana masing-masing ingin merasakan pengalaman memegang tampuk pemerintahan negara.
“Yang tubuh kerajaan (pusat) sekarang ini tak perolehi kerusi banyak pun. Tetapi bergabung dengan ‘bewak’ (biawak), ‘boya’ (buaya) dan ‘pokka’ (sesumpah).
“Tidoq (tidur) guna selimut dan bantal lain-lain, tetapi bergabung demi kuasa, sebab nak jadi kerajaan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Sanusi juga menyarankan agar Dewan Muslimat terus mengorak langkah ke hadapan mendepani isu-isu semasa terutama berkaitan wanita.
“Muslimat banyak menyumbang dalam pilihan raya, kerja-kerja kempen dan lain-lain, jumpa pengundi, program kemasyarakatan, ziarah dan santuni rakyat.
“Semua usaha ini dilakukan bersungguh-sungguh,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.