Tuesday, September 17, 2024

Jika MP PN tanda tangan MoU, sama seperti jual maruah’

harakahdaily.net
September 17, 2024
Ku Abdul Rahman Ku Ismail

KLUANG: “Sekiranya ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan, ia sama seperti mereka menjual maruah sendiri.”

Ahli Parlimen (MP) Kubang Pasu, Datuk Wira Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, ia adalah kerana mereka akan hilang hak untuk menyuarakan masalah rakyat sekiranya menandatangani perjanjian itu.

Menurut beliau, syarat-syarat yang ditetapkan seperti perlu menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat kerajaan disifatkan sebagai tidak menghormati hak seseorang Ahli Parlimen untuk membawa suara sebenar rakyat.

“Biarlah kita hidup sebagai Ahli Parlimen yang bermaruah daripada kita menjual maruah kita sehingga tidak boleh berucap untuk membawa isu-isu yang berkaitan kepentingan rakyat yang mengundi kita.

“Sudah dekat dua tahun kita macam ini. Kita hidup dengan cara tanpa peruntukan daripada terpaksa mengikut sahaja kata Kerajaan Persekutuan,” katanya

Ku Abdul Rahman berkata demikian sewaktu ditemui wartawan usai program Ceramah Kempen PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset, di sini, malam tadi.

Tambah beliau, setakat ini rakyat tidak merungut dan mereka faham dengan apa yang berlaku di mana Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL akan cuba membantu sekadar yang termampu berdasarkan masalah yang dihadapi rakyat.

Menurut Ku Abdul Rahman lagi, keputusan yang diumumkan oleh Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL itu dibincangkan secara terperinci dan diputuskan secara konsensus bersama Ahli-ahli Parlimen mereka.

“Kita buat keputusan tak boleh terima sebab syarat itu membawa banyak kekangan kepada Ahli Parlimen macam kita. Seolah-olah kita ni bukan wakil rakyat. Dengar kata sajalah. Nak cakap apa pun tak boleh termasuk syarat-syarat 3R dan sebagainya.

“Kalau nak bagi, bagilah. Kenapa nak bagi syarat macam itu?.

“Seolah tidak menghormati kedudukan Ahli Parlimen sebagai seorang individu yang menang pilihan raya yang dipilih oleh rakyat yang begitu ramai,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, sama ada akan ada lagi rundingan untuk mendapatkan peruntukan selepas rundingan itu, perkara tersebut terserah kepada pucuk pimpinan PN.

“Tetapi saya yakin dan percaya kalau syarat itu tak berubah, macam tu juga, kita tak boleh terima,” ujarnya.

Katanya lagi, gejala meletakkan syarat untuk mendapat peruntukan Ahli Parlimen itu boleh menjurus kepada perbuatan seolah-olah wakil rakyat boleh dibeli dengan wang dan itu adalah sesuatu yang merbahaya kepada negara.

Beliau turut mengambil contoh bagaimana wakil-wakil rakyat PAS yang semenjak merdeka menjadi wakil rakyat pembangkang yang selama itu tidak pernah diberi peruntukan.

“Wakil-wakil rakyat PAS sebelum ini dan selama ini pun tidak mendapat peruntukan tetapi rakyat tetap memberi sokongan kepada mereka. Mereka tetap boleh menang banyak penggal.

“Rakyat yang mengundi PAS ini juga tidak ada masalah apabila wakil rakyat mereka tidak ada peruntukan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-