Tuesday, September 17, 2024

Najib hadir ke mahkamah dengan kerusi roda

bharian.com.my
Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
NAJIB Razak. FOTO Arkib NSTP.

Kuala Lumpur:
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini mengalami sakit lutut kanan yang teruk, hadir perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini dengan berkerusi roda.

Selasa lalu, Najib diberikan sijil cuti sakit (MC) selama dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami keradangan lutut kanan dan menerima rawatan ubat tahan sakit.

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Najib diiringi pegawai penjara dengan dibawa menaiki kerusi roda ke bilik mahkamah.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu yang kini berusia 71 tahun, bagaimanapun berjalan perlahan menggunakan tongkat ketika berada dalam mahkamah.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya Najib dibenarkan duduk di luar kandang tertuduh bagi membolehkannya meregangkan kaki.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah dimaklumkan oleh Perunding Ortopedik Kanan di Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HKL Dr Siti Hawa Tahir bahawa Najib mengalami masalah lutut kanan dengan menerima rawatan ubat penahan sakit.

Menurut pegawai perubatan itu, Najib menerima rawatan ubat penahan sakit dikenali sebagai analgesik yang sangat kuat.

Katanya, keradangan akut pada lutut kanan Najib akan mengambil masa untuk sembuh dan boleh mengambil masa selama berhari-hari bahkan berminggu.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Lawrence Sequerah bersambung petang.

Disiarkan pada: September 17, 2024 @ 2:51pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-