Wednesday, September 18, 2024

Kabinet kekal dasar sedia ada, Sijil Pengesahan Halal secara sukarela

cosmo.com.my
Oleh MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
18 September 2024, 9:22 pm
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada iaitu permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah bersifat sukarela.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar sedia ada itu kekal dan ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.

“Melalui SPHM yang diperolehi tersebut, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.

Terdahulu, Kabinet membuat pertimbangan itu selepas Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membentangkan isu berkaitan pensijilan Halal Malaysia dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Susulan itu, Jakim menggesa pemain industri agar memohon SPHM memandangkan ianya boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis berkenaan.

“Bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi pembimbing usahawan di peringkat persekutuan, negeri dan swasta telah menawarkan pelbagai insentif dan inisiatif.

“Ia ditawarkan dalam bentuk latihan dan bimbingan serta geran kepada pihak industri untuk memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dipersijilkan halal,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pada masa sama, Jakim turut memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia untuk mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari.

“Statistik menunjukkan di antara Januari hingga Julai 2024, sebanyak 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam
tempoh 30 hari tersebut.

“Usaha proaktif ini berupaya menjadi salah satu tarikan kepada pihak industri untuk memohon SPHM,” jelasnya. 

KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-