Thursday, September 19, 2024

MOU: Baru terima draf dah diriuhkan di luar, kata Saifuddin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 19, 2024 9:35 AM
Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, hari ini menceritakan kembali bagaimana gabungan itu - semasa menjadi pembangkang - berjaya memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan yang diketuai Ismail Sabri Yaakob ketika itu.

Kata Saifuddin proses tersebut berlangsung dengan tertib walaupun wujud beberapa perkara yang memerlukan perbincangan lanjut sebelum dipersetujui bersama.

Terlibat secara langsung dalam proses berkenaan, Saifuddin berkata, PH turut diwakili Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan timbalan pengerusi kebangsaan parti itu, Gobind Singh Deo.

Tidak ketinggalan ialah Allahyarham Salahuddin Ayob selaku Timbalan Presiden Amanah.

Di pihak kerajaan, tambah Saifuddin, diwakili Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ketika itu berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri, selain Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin (Menteri Dalam Negeri) dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

"Pertamanya pihak kerajaan kemuka draf. PH berbincang dalam Majlis Presiden PH, kemudian PH memberi maklumbalas.

"Pihak kerajaan meneliti maklumbalas PH dan kami duduk berunding mencapai titik temu.

Proses ini ada tertibnya. Perundingan berlangsung beberapa pusingan sehinggalah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi MOU," katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan tak sama

Ia dibuat Saifuddin ketika PN menolak draf MOU yang dikemukakan Putrajaya kepada pembangkang dalam usaha mencari persefahaman mengenai pelbagai perkara, termasuk peruntukan kepada ahli parlimen.

Ia mula menjadi perhatian ramai apabila Takiyuddin mendakwa draf berkenaan "pelik sedikit" dan tidak seperti yang diharapkan PN.

Dia yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen PN berkata antara aspek yang ditekankan oleh pihak kerajaan kepada pembangkang ialah pengisytiharan harta.

Pendirian berkenaan didedahkan Takiyuddin kepada media pada 2 Sept lalu.

Ekoran kenyataan dibuat pembangkang, kerajaan bertindak mendedahkan kandungan draf berkanaan untuk dinilai orang ramai.
Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, yang bertanggungjawab menangani MOU tersebut berkata pendedahan berkenaan akan membolehkan rakyat tahu bahawa dakwaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya draf awal MOU berkenaan menekankan peranan ahli parlimen pembangkang dalam memastikan semak dan imbang, menawarkan alternatif dasar yang berwibawa, serta memupuk perpaduan nasional.

Untuk rekod ketika PN berada dalam kerajaan, Putrajaya menandatangani MOU dengan PH selaku pembangkang pada 13 Sept 2021 yang merangkumi enam perkara.

Detik bersejarah itu menyaksikan pentadbiran negara beroperasi secara stabil dan bebas daripada sebarang usaha menjatuhkan kerajaan seperti yang berlaku sebelumnya.

Menurut Saifuddin untuk memeterai persefahaman dengan pembangkang kali ini keadaan adalah jauh berbeza berbanding tiga tahun lalu.

Kali ini, kata Menteri Dalam Negeri itu lagi, keadaan sudah diriuhkan kepada umum sedangkan draf baru saja diterima.

"Betullah kata TPM Fadilah, kalau pilih nak bercakap dengan media tak perlulah nak berunding!" katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-