Wednesday, September 25, 2024

Kes saman SRC: 'Nampaknya, Nik Faisal mungkin mempermainkan kedua-dua belah pihak...' - Najib

bharian.com.my
Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
 - September 25, 2024
Nik Faisal Ariff Kamil (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menafikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil adalah penghubung di antara beliau dan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Bekas Perdana Menteri yang memberi keterangan dalam kes saman SRC terhadapnya di Mahkamah Tinggi hari ini, menegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Ini kerana, katanya, ia bukan cara syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), tidak terkecuali SRC.

Sebelum ini, bekas Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Suboh Md Yassin turut mendakwa, setiap keputusan lembaga pengarah syarikat perlu diluluskan oleh Najib dan arahan akan diberikan melalui Nik Faisal.

Menurut Najib, dalam mesyuarat terhadnya dengan Nik Faisal, bekas CEO itu menyatakan lembaga pengarah sudah membuat keputusan berhubung pelaburan SRC.
Foto fail Datuk Seri Najib Razak ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, minggu lalu. - NSTP/FAIL

Keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan yang perlu dan melaksanakan usaha wajar melalui perunding dan penasihat luar.

Bekas Perdana Menteri menegaskan, beliau pasti tidak mengarahkan lembaga pengarah dalam apa cara sekalipun berhubung perkara itu dan tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk menguruskan mana-mana syarikat MKD, termasuk SRC secara mikro.

"Tambahan pula, SRC International hanyalah satu daripada banyak syarikat MKD yang terbabit dalam projek berkaitan kepentingan negara pada masa itu. Tiada sebab untuk saya mengarah Lembaga Pengarah SRC melalui Nik Faisal.

"Nampaknya, Nik Faisal mungkin mempermainkan kedua-dua belah pihak. Kepada saya, dia menyatakan ia diputuskan lembaga pengarah dan kepada lembaga pengarah, dia menyatakan saya memberi arahan.

"Apa yang membingungkan saya ialah mengapa Pengarah SRC yang lain, termasuk Tan Sri Ismee tidak peduli untuk mengesahkan perkara itu dengan saya secara langsung.

"Sebaliknya hanya menerima kata-kata Nik Faisal. Ini terutamanya berkaitan dengan dana syarikat," katanya.

Najib berkata, Ismee ahli korporat yang berpengalaman dan mempunyai pengalaman yang luar biasa dalam cara syarikat berkaitan kerajaaan (GLC) dikendalikan.

Walaupun mempunyai nombor telefon peribadinya dan mereka telah bertemu beberapa kali, katanya, beliau tidak pernah ditanya mengenai perkara yang Ismee katakan, iaitu Nik Faisal mewakili lembaga pengarah.

Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Dalam kes saman terbabit, Suboh dan Ismee dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama bekas pengarah lain, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana itu.

Ia memohon perisytiharan, semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sedang berlangsung.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-