Wednesday, September 25, 2024

Zahid yang ‘bunuh’ Muafakat Nasional, bukan PAS

harakahdaily.net
September 25, 2024
Annuar Musa dalam ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, Kluang Johor. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abdul Aziz Yunos)

KLUANG: “Bukan PAS tetapi sebaliknya Presiden Umno, Dato’ Seri Zahid Hamidi yang sebenarnya membunuh Muafakat Nasional (MN) yang sebelum itu berjaya menyatukan orang Melayu dari kedua-dua parti itu.”

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau yang ketika itu adalah Setiausaha Agung Umno menjadi saksi terhadap apa yang sebenarnya berlaku pada masa itu.

Menurut beliau, pada ketika itu MN sudah menjadi kuat setelah memenangi beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum itu telah menghantar surat rasmi mengajak parti Peribumi Bersatu (Bersatu) untuk menyertai MN.

“Bersatu bersetuju masuk Muafakat Nasional pada 15 Ogos 2020, Bersatu secara rasmi buat keputusan masuk mengganggotai Muafakat Nasional. Dah cantik.

“Tiba-tiba Zahid Hamidi pecahkan Muafakat Nasional, lepas tu dia fitnahkan PAS.

“Dia kata Muafakat Nasional mati kerana PAS yang rosakkan Muafakat Nasional. Bohong!” katanya.

Menurut Annuar, beliau menjadi saksi bahawa Bersatu telah membalas surat rasmi menyatakan persetujuan untuk menyertai MN.

“Saya menjadi saksi. Setelah Bersatu setuju perkuatkan Muafakat Nasional, jawab secara bersurat. Zahid Hamidi yang mengarahkan saya supaya tidak meneruskan Muafakat Nasional.

“Yang bunuh Muafakat Nasional adalah Zahid Hamidi!” tegasnya.

Tambahnya, beliau tidak pernah bergaduh secara peribadi dengan Presiden Umno itu, namun prinsipnya tidak goyang.

“Meninggalkan Bersatu, meninggalkan PAS, pergi kepada DAP adalah kedurjanaan politik bagi saya dan saya kena ‘call a spade a spade’.

“Suka tak suka soal lain. Dan sekarang apa yang saya harap tidak berlaku kepada Umno sudah berlaku,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan, akibat daripada sikapnya yang mempertahankan penyatuan parti Umno, PAS dan Bersatu dalam MN itulah beliau diketepikan sebagai calon Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tak apa tolak saya tak jadi calon di Ketereh.

“Waktu tsunami besar (PRU14), saya masih jadi calon, saya masih menang hampir 5,000 undi. Buang saya, letak calon baru, saya sokong. Tetapi calon baharu itu kalah (undi majoriti) 23,000.

“Tak pernah di Ketereh yang saya bangunkan daripada kawasan tak kuat Umno menjadi kawasan kuat Umno, waktu merudum PRU14, kawan-kawan seluruh negara banyak kalah, saya masih boleh bertahan di Ketereh dengan majoriti hampir 4,000 undi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Riduan Mohamad Nor; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Dato’ Azman Nasrudin; Pengerusi Proklamasi Melayu Negeri Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid; dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Sungai Petani, Azhar Zakaria.

Dalam pada itu Annuar menyatakan bahawa beliau tidak mahu melihat Umno dirosakkan akibat terpaksa mengikut sesetengah pemimpin yang hanya mempunyai kepentingan peribadi dan mereka merosakkan parti dan orang Melayu.

Sewajarnya, ujar beliau, dalam situasi genting seperti ini Umno, PAS dan Bersatu menggabungkan saki baki kekuatan yang mereka ada untuk memperkuatkan orang Melayu.

“Jadi, sekarang apabila kerajaan yang dibina ini yang DAP berada di dalamnya, DAP bijak dalam berpolitik.

“Dia gunakan Umno untuk menyerang sesama Melayu Islam.

“Hari ini kita dengar orang Umno yang balun ulama.

“Sedangkan orang Umno yang balun ulama tu baca Al-Fatihah pun rasa belum betul lagi. Entah baca qunut betul ke tidak pun tak tahu.

“Tetapi ada hati nak menghina alim ulama. Yang jelas jauh lebih baik dari orang yang menghina,” katanya.

Dalam PRK Mahkota ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, Coach Haizan.

Tarikh 28 September ini ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula berlangsung semalam melibatkan tiga pusat mengundi. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-