Monday, September 2, 2024

MCCBCHST bantah penempatan 'pegawai Jakim di jabatan kerajaan'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 2, 2024 12:30 PM
Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan.

Memetik laporan Daily Express, mereka membangkitkan kebimbangan berhubung laporan akhbar dari Sabah itu bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.
“Sebelum ini terdapat pelbagai pengumuman untuk memperluaskan peranan Jakim, contohnya oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jun 2023.

“MCCBCHST prihatin dengan tindakan yang (dilaporkan) menempatkan pegawai Jakim di setiap jabatan dan kementerian…

“Tindakan ini berpotensi menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan MCCBCHST ditandatangani bersama oleh presidennya Tan Hoe Chieow, dan naib-naib presidennya, Julian Leow, Chuan Yuan, Ganesh Babu Rao serta Sardar Jagir Singh.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Jakim berhubung laporan yang memetik Naib Presiden LDP David Ong sebagai berkata demikian.
Mohd Na’im Mokhtar

Kumpulan berbilang agama itu menyebut bahawa Perkara 4(1) memperuntukkan “perlembagaan adalah undang-undang tertinggi Persekutuan….”

“Ini bermakna sebarang undang-undang yang diisytiharkan atau dasar yang diputuskan mestilah selaras dan intra virus perlembagaan.

“Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “Islam adalahn agama persekutuan… yang telah ditafsirkan oleh mahkamah tertinggi sebagai ‘ritual dan upacara’ Islam.

“Penglibatan Jakim dalam penggubalan dasar kerajaan untuk memastikan ia sejajar dengan prinsip Islam adalah dalam ruang awam yang ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

“Selanjutnya, pencerobohan dalam ruang awam ini mungkin tidak berperlembagaan kerana ia boleh menjejaskan hak asasi yang dijamin kepada semua rakyat Malaysia. Kedudukan ini telah diselesaikan dengan baik dalam undang-undang,” tambah kumpulan itu.

Ia memetik keputusan Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya pada 1988.

"Mahkamah Agung apabila memutuskan Perkara 3(1) berpegang bahawa istilah 'Islam' atau 'agama Islam' dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dalam konteks hanya bermaksud perbuatan yang berkaitan dengan ritual, upacara keagamaan dan adat resam."

"Mahkamah Agung (keputusan sebulat suara oleh lima Hakim) selanjutnya menyatakan bahawa Islam bukan sekadar himpunan dogma dan ritual semata-mata tetapi ia adalah cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia," tambahnya.

Majlis pelbagai agama itu berkata bahawa Mahkamah Agung kemudiannya membuat kesimpulan bahawa bahawa "penggubal perlembagaan memahami maksud perkataan Islam dalam konteks Perkara 3 dan jika ia adalah sebaliknya akan ada peruntukan lain yang akan mempunyai kesan bahawa mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan perintah Islam akan terbatal.

“Jauh daripada membuat peruntukan sedemikian, Perkara 162, sebaliknya, dengan sengaja memelihara kesinambungan undang-undang sekular sebelum perlembagaan, melainkan jika undang-undang tersebut bertentangan dengannya,” kata MCCBCHST.

Menurut mereka lagi, penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Bin Che Soh itu kemudiannya telah diluluskan dan diikuti dengan tiga keputusan Mahkamah Persekutuan berikut:-

Indira Gandhi A/P Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan dua yang lain.

Iki Putra Mubarak lawan kerajaan negeri Selangor dan Anor (2021).

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid Anor lawan kerajaan negeri Kelantan (2024).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-