Showing posts with label JAKIM. Show all posts
Showing posts with label JAKIM. Show all posts

Thursday, February 20, 2025

Jangan normalisasi budaya songsang ke dalam negara

harakahdaily.net
February 20, 2025

Fesyen di karpet merah AJL39
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius terhadap isu lelaki yang berpakaian seperti wanita dalam acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) sehingga menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, berfesyen dibenarkan dalam Islam, namun ianya mestilah selari dengan hukum syarak, menutup aurat, dan mencerminkan adab dan kesopanan.

“Lelaki dan wanita perlu berpakaian serta berperilaku mengikut jantina asal yang ditetapkan Allah SWT. Berpakaian atau berfesyen menyerupai jantina berlawanan adalah haram dan berdosa besar di sisi Islam.

“Malah, Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Begitu juga jelasnya, dengan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan larangan terhadap pemberian kandungan jelik.

Namun begitu katanya, sejauh mana undang-undang tersebut dikuatkuasa untuk membendung anasir-anasir songsang ini yang bertentangan dengan agama dan adat budaya negara kita.

Dalam pada itu beliau berkata, Pemuda PAS Malaysia menyambut baik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memanggil semua individu tersebut untuk mendapatkan penjelasan dan mengadakan sesi perbincangan tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.

“Walaupun TV3 telah memohon maaf atas insiden tersebut, Pemuda PAS menegaskan agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi dan menggesa Kementerian Komunikasi dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menormalisasi budaya songsang ini,” katanya. 

HARAKAHDAILY 20/2/2025

Wednesday, September 11, 2024

GISBH: Kami berdoa fitnah ini dinoktahkan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 11, 2024 6:46 PM
Global Ikhwan Services and Business Berhad Holdings (GISBH) berdoa agar apa yang disifatkannya sebagai fitnah dan tohmahan terhadap mereka dapat dinoktahkan.

GISBH hari ini mengeluarkan kenyataan bagi menafikan dakwaan yang pihaknya mengeksploitasi kanak-kanak dengan menjadikan mereka sebagai tenaga kerja.

“Kami menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan kami sekali-kali tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya dalam melibatkan kanak-kanak sebagai pekerja.

“Isu tersebut merupakan satu prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH.

“Kami berdoa kepada Allah agar segala fitnah, tohmahan, buruk sangka dan kebencian ini dapat dinoktahkan, mudah-mudahan kita semua dapat hidup berkasih sayang, bertolak ansur dan saling membantu dalam membina masyarakat Madani seperti yang dicita-citakan oleh pimpinan negara yang tercinta ini,” kata GISBH.

GISBH ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan.

Namun, syarikat itu sebelum ini beberapa kali menafikan sebarang perkaitan dengan kumpulan itu.

Pada Sabtu lalu, polis mengesahkan menerima empat laporan berkaitan eksploitasi kanak-kanak.

“Laporan tersebut dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk pungut dana, derma dan sebagainya, mungkin ada lain (laporan) yang sedang dikumpulkan,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay seperti dipetik Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim) juga diarahkan mengadakan pertemuan dengan GISBH susulan dakwaan itu serta satu lagi dakwaan, iaitu berkenaan ajaran sesat.

Mengulas lanjut, GISBH menegaskan dakwaan itu satu prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap mereka.

“Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara,” katanya lagi, sambil menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berwajib.

Hari ini pula, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis menyerbu premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas menerima laporan berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik syarikat itu.

Razarudin berkata, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan manakala 171 suspek ditahan.

Dia juga mendakwa, berdasarkan risikan dan keterangan, kanak-kanak tersebut diajar meliwat, serta menjadi mangsa liwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Kenyataan GISBH bagaimanapun tidak menyentuh berkenaan kenyataan Razarudin hari ini.

Dakwa JK Harmoni agenda pluralisme agama tak benar - Menteri perpaduan:

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Sep 11, 2024 8:57 AM
Tohmahan dibuat Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard yang menyatakan penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) sebagai agenda pluralisme agama di bawah kerajaan, adalah keterlaluan dan tidak benar sama sekali.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kerajaan terdahulu melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2020, bersetuju dengan penubuhan JK HARMONI sebagai platform merapatkan jurang antara badan agama Islam dan selain Islam, serta berkongsi pandangan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Dua fungsi utama jawatankuasa ini termasuk mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi yang bersesuaian serta berteraskan nilai murni keagamaan, demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama.

“Ia juga berfungsi untuk melaksanakan aktiviti kesedaran dan keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ia sebagai maklum balas kepada kenyataan Che'gu Bard semalam yang mendakwa JK HARMONI tidak harus diwujudkan, selain membuat tuduhan palsu bahawa kehadiran anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke rumah ibadat selain Islam (RISI) melalui Program Harmoni MADANI, melibatkan aktiviti ritual dengan tujuan untuk menyamaratakan agama lain dengan Islam.

Bagaimanapun Aaron menekankan pelaksanaan Program Jejak Harmoni iaitu salah satu program di bawah Inisiatif Harmoni MADANI, tidak langsung menyentuh tentang akidah atau amalan ritual mana-mana agama.

“Program ini bertujuan untuk menyebarkan semangat kebersamaan, saling memahami, mengangkat nilai sejagat antara agama, sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan Inisiatif Harmoni MADANI mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu ‘Faham, Hormat dan Terima’ bagi memastikan budaya keharmonian antara masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Aaron berkata pengurusan isu dan cabaran menyentuh konteks perpaduan, memerlukan pendekatan dan inisiatif berterusan bagi memastikan keadaan perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Sehubungan itu, KPN dengan kerjasama JAKIM telah menjadikan keharmonian antara penganut agama sebagai agenda utama, dalam meningkatkan keharmonian rakyat di negara ini,” katanya.

- Bernama

Tuesday, September 10, 2024

Teresa pertimbang ambil tindakan undang-undang terhadap Dr Muhamad Akmal

bharian.com.my
Oleh Ilah Hafiz Aziz 
illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
- September 10, 2024 @ 6:00pm
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO itu berkait isu pensijilan halal, termasuk mahu 'logo tidak halal' ditampal pada dahi pemimpin DAP berkenaan.

Teresa yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada barisan peguamnya berhubung perkara terbabit.

"Saya akan berbincang dengan peguam saya (sekali lagi) selepas sesi ini," katanya kepada pemberita setelah memberi keterangan di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal dipetik menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa bahawa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan, hanya menambah beban terhadap peniaga.

Dr Muhamad Akmal dilapor menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak serta babi tetapi turut merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.

"Saya nak beritahu... sijil halal dulu berbulan nak dapat. Hari ini, kita sudah pendekkan hingga 23 hari saja sudah dapat sijil halal.

"Jadi, apa masalah kamu dengan sijil halal ini. Kalau kamu tidak suka, ia tidak membabitkan kamu pun," kata Dr Muhamad Akmal melalui TikTok beliau, Sabtu lalu.

Media sebelum ini melaporkan Teresa mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Selain itu, Teresa mendakwa, ia juga bertentangan semangat kepelbagaian budaya, malah mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan untuk memiliki sijil halal.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilapor menegaskan kenyataan Teresa dalam isu pensijilan halal itu tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), selain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Sunday, September 8, 2024

Sijil halal: Sikap ekstrem DAP terhadap Islam

harakahdaily.com
September 8, 2024
Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi melihat kenyataan pemimpin DAP berhubung sijil halal adalah satu contoh sikap ekstrem dan melampau parti itu terhadap Islam.

“Kita tak nafi ada kelemahan dalam proses pensijilan halal yang wajar dimurni dan diperkasakan untuk kemudahan rakyat,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Sepatutnya, kata beliau rakyat Malaysia berbangga kerana sijil Halal Malaysia antara yang terbaik di dunia dan diiktiraf negara-negara lain.

“Tapi itulah sikap DAP, mereka tuduh orang lain ekstrem padahal mereka yang sebenarnya ekstrem, lagi-lagi benda berkait Islam,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu.

menyatakan demikian susulan kenyataan Teresa Kok mengenai sijil halal.

Kelmarin, Naib Presiden DAP itu berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Teresa juga mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Khamis lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal kecuali restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol. 

Akmal: Saya minta kerajaan sediakan logo non-halal, tampal pada dahi Teresa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2024 1:46 PM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyelar Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok kerana mempersoal cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Menyifatkan ahli parlimen Seputeh itu sebagai 'nyonya tua', Akmal berkata Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensjilan halal.

“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi, tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia (peniaga) nak sediakan (makanan), bagaimana sumber (perniagaan) tu dapat.

“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat. Hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.

“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di TikTok.

Kelmarin, Teresa berkata cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, Khamis lalu yang memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan itu.
Teresa berkata, langkah itu juga bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pensijilan halal sepatutnya bersifat sukarela dan membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.

Pandangan Teresa bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno dan Amanh yang meminta dia menarik balik kenyataan itu.

‘Diam lebih elok’

Mengulas lanjut, Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut menyangkal dakwaan Teresa bahawa langkah mewajibkan pensijilan halal sebagai memalukan negara.

Sebaliknya, dakwa Akmal, Teresa yang sebenarnya telah memalukan negara ini dengan tidak berhenti mengganggu-gugat keharmonian.

“Kalau kamu tak suka, dia tak melibatkan kamu pun dan yang sebenarnya yang memalukan negara ini adalah ada ahli parlimen seperti kamu wahai nyonya tua yang tak habis-habis mengganggu gugat keharmonian negara.

“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” tambahnya.

Saturday, September 7, 2024

'Kalau kamu tak tahu agama kami, jangan cakap, kamu diam lebih elok'

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
Muhamad Akmal Saleh (kiri) dan Teresa Kok.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menempelak tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Dr Muhamad Akmal menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak dan babi tetapi merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.

"Saya nak beritahu... sijil halal dulu berbulan nak dapat. Hari ini, kita sudah pendekkan sehingga 23 hari saja, sudah dapat sijil halal.

"Jadi, apa masalah kamu dengan sijil halal ini. Kalau kamu tidak suka, ia tidak membabitkan kamu pun," kata beliau melalui TikToknya, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Naib Pengerusi DAP itu mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil, selain bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, kelmarin yang JAKIM mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Dr Muhamad Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mendakwa tindakan Teresa itu yang sebenarnya memalukan negara, yang disifatkan beliau sering mengganggu gugat keharmonian.

"Kalau kamu tak tahu mengenai agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok," katanya.

Industri halal Malaysia teratas di dunia, bukan memalukan negara

harakahdaily.net
September 7, 2024
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai ‘bila mulut lebih laju dari otak’.

Tempelakan Hanif itu ekoran kenyataan pemimpin DAP tersebut bahawa ‘mewajibkan sijil halal akan tambah beban peniaga, memalukan negara’ seperti laporan media, semalam.

Hanif berkata, mencari yang halal adalah wajib bagi setiap orang Islam dan ia adalah perintah Allah kepada semua orang Islam.

“Begitu juga orang yang terlibat dalam proses menyediakan makanan kepada orang Islam juga wajib atau mesti memastikan makanannya halal.

“Ia tiada kena mengena dengan orang bukan Islam. Mengapa mesti melenting,” persoal beliau dalam satu hantaran di media sosial miliknya.
Muhammad Hanif Jamaluddin
Mengulas berkenaan ‘tambah beban peniaga’, beliau berkata, sepanjang tahun 2023, sebanyak 15,605 jumlah permohonan direkodkan dan sebanyak 8,509 permohonan diluluskan manakala sebanyak 132,106 pelbagai produk telah diberikan sijil halal.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Adakah yang dibimbangkan ialah peniaga-peniaga bukan Islam yang cuba mengaburi pelanggan Islam tanpa berusaha untuk mendapatkan sijil halal?” persoal beliau.

Manakala berkenaan ‘memalukan negara’, beliau memaklumkan bahawa industri halal Malaysia berada di tempat pertama daripada 81 buah negara selama 10 tahun berturut-turut.

Berdasarkan laporan dikeluarkan State of Global Islamic Economy (SGIE) oleh Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023.

Hanif berkata, industri halal antarabangsa yang bernilai USD2 trilion dijangka akan meningkat sehingga USD4.96 trilion pada tahun 2030.

“Industri halal terbukti menjadi salah satu sektor paling kompetitif dan pantas di dunia.

“Pasaran halal berkembang dengan pesat disebabkan saiz pasaran pengguna di seluruh dunia yang besar,” terang beliau.

Beliau berkata, dianggarkan sebanyak 25 peratus penduduk dunia adalah beragama Islam manakala 42 peratus penduduk di Asia Tenggara adalah beragama Islam.

“So, adakah pasaran halal ini akan memalukan negara? Nah boleh baca link dari MKN ini berkaitan peranan industri halal yang sangat besar. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/06/26/peranan-industri-halal/

“Jangan malas membaca, nanti bebal,” kata beliau. 

Tarik balik kenyataan sijil halal dan mohon maaf, kata Pemuda Bersatu

suaramerdeka
 7 September 2024

PEMUDA Bersatu meminta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya mengenai pensijilan halal untuk semua premis makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.

Ketua sayap pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut mengancam untuk membuat laporan polis terhadap pemimpin DAP itu kerana didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama dan royalti.

Kenyataan Teresa yang membantah pensijilan halal mandatori kerana mendakwa akan membebankan peniaga kecil, menunjukkan pemahaman yang cetek mengenai isu itu, kata Wan Fayhsal, yang merupakan ahli parlimen Machang.

“Mencari yang halal adalah kewajipan asas bagi umat Islam. Tidak ada yang memalukan untuk mewajibkan semua perniagaan yang berurusan dengan orang Islam mematuhi piawaian ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari pula berkata DAP harus mengelak daripada mengulas mengenai pensijilan halal, dengan mengatakan ia hanya akan menguatkan persepsi bahawa parti itu anti Islam.

“Sekiranya mereka mesti ingin menanganinya, mereka harus melakukannya melalui pihak lain dalam kerajaan.

“Mereka boleh berunding dengan PKR, Amanah, atau Umno melalui presidennya untuk bercakap bagi pihak DAP,” kata Fadhli.

Awal semalam, Teresa yang juga naib pengerusi DAP menyuarakan bantahan terhadap cadangan untuk mewajidkan semua premis perniagaan yang menjual makanan halal untuk umat Islam mendapatkan sijil halal yang mana ia sedang dikaji oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Na’im Mokhtar berkata, Jakim sedang mempertimbangkan cadangan itu kerana pensijilan halal pada masa ini secara sukarela untuk pengusaha makanan.

Teresa berkata langkah itu boleh membebankan perniagaan kecil, menyekat kebebasan pengguna, dan mungkin bertembung dengan kepelbagaian budaya Malaysia. 

SM

Tuesday, September 3, 2024

Menteri agama jumpa wakil MCCBCHST Jumaat

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-03 Sep 2024, 08:00 PM

Pertemuan itu bagi membincangkan isu penempatan pegawai Jakim di jabatan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata pertemuan dengan wakil MCCBCHST akan berlangsung 3 petang, Jumaat ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) Jumaat ini.

Beliau berkata, pertemuan itu bagi membincangkan isu penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di jabatan kerajaan yang dibantah organisasi berkenaan.

Saya cadang untuk berbincang dengan MCCBCHST Jumaat ini, mungkin sekitar 3 petang, katanya kepada FMT.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perpaduan Negara dan Na’im berbincang dengan MCCBCHST bagi mengelakkan salah faham isu penempatan pegawai Jakim.

Semalam, MCCBCHST dalam kenyataan membantah cadangan menempatkan pegawai Jakim di jabatan kerajaan yang didakwa berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel disiarkan Daily Express yang memetik dakwaan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) David Ong berhubung perkara terbabit.

Bagaimanapun, Na’im menjelaskan tujuan pegawai Jakim ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan.

Fahmi berkata, isu penempatan pegawai Jakim di semua jabatan kerajaan sudah dijawab Jakim pada 7 Ogos lalu, namun berlaku salah faham apabila MCCBCHST mengeluarkan kenyataan baharu.

Monday, September 2, 2024

MCCBCHST bantah penempatan 'pegawai Jakim di jabatan kerajaan'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 2, 2024 12:30 PM
Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan.

Memetik laporan Daily Express, mereka membangkitkan kebimbangan berhubung laporan akhbar dari Sabah itu bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.
“Sebelum ini terdapat pelbagai pengumuman untuk memperluaskan peranan Jakim, contohnya oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jun 2023.

“MCCBCHST prihatin dengan tindakan yang (dilaporkan) menempatkan pegawai Jakim di setiap jabatan dan kementerian…

“Tindakan ini berpotensi menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan MCCBCHST ditandatangani bersama oleh presidennya Tan Hoe Chieow, dan naib-naib presidennya, Julian Leow, Chuan Yuan, Ganesh Babu Rao serta Sardar Jagir Singh.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Jakim berhubung laporan yang memetik Naib Presiden LDP David Ong sebagai berkata demikian.
Mohd Na’im Mokhtar

Kumpulan berbilang agama itu menyebut bahawa Perkara 4(1) memperuntukkan “perlembagaan adalah undang-undang tertinggi Persekutuan….”

“Ini bermakna sebarang undang-undang yang diisytiharkan atau dasar yang diputuskan mestilah selaras dan intra virus perlembagaan.

“Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “Islam adalahn agama persekutuan… yang telah ditafsirkan oleh mahkamah tertinggi sebagai ‘ritual dan upacara’ Islam.

“Penglibatan Jakim dalam penggubalan dasar kerajaan untuk memastikan ia sejajar dengan prinsip Islam adalah dalam ruang awam yang ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

“Selanjutnya, pencerobohan dalam ruang awam ini mungkin tidak berperlembagaan kerana ia boleh menjejaskan hak asasi yang dijamin kepada semua rakyat Malaysia. Kedudukan ini telah diselesaikan dengan baik dalam undang-undang,” tambah kumpulan itu.

Ia memetik keputusan Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya pada 1988.

"Mahkamah Agung apabila memutuskan Perkara 3(1) berpegang bahawa istilah 'Islam' atau 'agama Islam' dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dalam konteks hanya bermaksud perbuatan yang berkaitan dengan ritual, upacara keagamaan dan adat resam."

"Mahkamah Agung (keputusan sebulat suara oleh lima Hakim) selanjutnya menyatakan bahawa Islam bukan sekadar himpunan dogma dan ritual semata-mata tetapi ia adalah cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia," tambahnya.

Majlis pelbagai agama itu berkata bahawa Mahkamah Agung kemudiannya membuat kesimpulan bahawa bahawa "penggubal perlembagaan memahami maksud perkataan Islam dalam konteks Perkara 3 dan jika ia adalah sebaliknya akan ada peruntukan lain yang akan mempunyai kesan bahawa mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan perintah Islam akan terbatal.

“Jauh daripada membuat peruntukan sedemikian, Perkara 162, sebaliknya, dengan sengaja memelihara kesinambungan undang-undang sekular sebelum perlembagaan, melainkan jika undang-undang tersebut bertentangan dengannya,” kata MCCBCHST.

Menurut mereka lagi, penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Bin Che Soh itu kemudiannya telah diluluskan dan diikuti dengan tiga keputusan Mahkamah Persekutuan berikut:-

Indira Gandhi A/P Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan dua yang lain.

Iki Putra Mubarak lawan kerajaan negeri Selangor dan Anor (2021).

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid Anor lawan kerajaan negeri Kelantan (2024).

Saturday, April 29, 2023

Mengapa sekolah Cina dapat dana 2 kali ganda berbanding sekolah agama, soal Pemuda UMNO

satuberita.my
By SatuBerita
-April 29, 2023
PEMUDA UMNO mempersoalkan pengumuman kerajaan baru-baru ini berhubung peruntukan berjumlah RM15.7 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina yang akan menerima bantuan dua kali ganda berbanding jumlah diperuntukkan untuk institusi agama.

Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh turut menggesa sekolah Cina yang berdepan masalah kewangan supaya diserap masuk ke dalam sistem pendidikan negara sambil meminta kerajaan menjelaskan bagaimana jumlah peruntukan itu diperoleh.

Beliau membandingkan peruntukan RM15.7 juta, yang diumumkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke baru-baru ini, dengan RM150 juta untuk sekolah tahfiz dan pondok seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kongres PKR bulan lepas.

Beliau berkata, 1,276 institusi agama yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masing-masing akan menerima RM117,500, berbanding RM250,000 yang akan diperoleh setiap sekolah persendirian Cina.

“Apakah kriteria penentuan jumlah peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan sekolah menengah persendirian Cina dan berdasarkan kriteria apakah jumlahnya ditentukan?

“Jika penentuan peruntukan oleh kerajaan adalah mengikut purata bilangan sekolah, Pemuda UMNO menggesa agar kerajaan menyemak semula kadar peruntukan purata SMPC untuk diseragamkan dengan peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan bakinya perlu diberikan kepada sekolah menengah aliran kebangsaan yang secara jelas untuk semua kaum dan berpaksikan silibus kebangsaan,” katanya lapor Malaysianow.

Akmal berkata jika sekolah persendirian Cina kekurangan dana, ia perlu diserap ke aliran kebangsaan.

“Saya percaya lebih banyak sekolah aliran kebangsaan yang daif dan lebih memerlukan bantuan dana dari sekolah persendirian Cina yang kita semua sedia maklum dibiayai secara persendirian oleh pihak swasta tanpa memerlukan dukungan kerajaan,” tambahnya.

Sunday, January 3, 2021

Miss Plus World tetap diadakan meskipun dibantah

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan Hari ini 8:52 am

Meskipun dibantah pelbagai pihak, penganjuran Miss Plus World Malaysia 2020 (MPWM 2020) tetap diadakan malam tadi di sebuah hotel di ibu negara.

Penganjuran pertandingan ratu cantik MPWM 2020 yang diadakan dengan objektif membina kesedaran terhadap perlecehan fizikal (body shaming) dan buli ini juga berlangsung dengan meriah.

Ini dapat dilihat apabila hadirin menyanyi dan bersorak dari awal sesi pembukaan majlis yang menampilkan kesemua barisan finalis MPWM 2020.

Acara yang bermula jam 7 petang itu menyaksikan Melissa Mohan Tyndall dinobatkan sebagai pemenang, menewaskan 13 peserta lain.

Guru tadika dan usahawan berusia 38 tahun, Shakti Chhabra pula diumumkan sebagai Miss Plus Intercontinental Malaysia 2020.

Manakala seorang lagi finalis beragama Islam, Jastina Mohd Junus memenangi gelaran Duta Kemanusiaan Miss Plus World.

Pertandingan itu juga kelihatan seperti satu pertandingan peragaan biasa berbanding pertandingan ratu cantik seperti Miss Universe yang memerlukan setiap pesertanya berbikini serta berpakaian seksi.

Para pesertanya tampil memperagakan busana tradisional negeri masing-masing selain koleksi pakaian penaja.

Hadirin juga mengenakan pakaian formal dan kasual serta di tempatkan di hadapan sebuah pentas sambil menikmati makanan dan minuman yang dihidangkan.
Walaupun majlis boleh dikatakan berlangsung secara aman, namun turut kelihatan beberapa anggota keselamatan sebaik sahaja pertandingan bermula.

Bagaimanapun, difahamkan kehadiran anggota keselamatan itu sekadar membuat tinjauan.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama MPWM 2020 diadakan di negara ini.

Seramai 24 finalis layak mara ke peringkat akhir dengan 10 daripada jumlah tersebut terdiri daripada peserta Muslim.

Dua daripada finalis menarik diri atas sebab-sebab tertentu.

MPWM 2020 dalam satu kenyataan sebelum ini berkata acara berkenaan adalah untuk meraikan, menggalakkan dan mengangkat kecantikan, kebijaksanaan dan keyakinan wanita bersaiz besar.

Penganjur juga berkata acara itu tidak menampilkan pertunjukan bikini atau pakaian renang.

Terdahulu, PAS dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah penganjuran program tersebut kerana disifatkan sebagai program tidak bermanfaat dan berunsur kemaksiatan.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan semalam menegaskan penganjur perlu mematuhi janji sepertimana yang telah dipersetujui.

Nasrudin berkata, Jabatan Agama Islam (Jakim) telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur pada 31 Disember lalu, sebelum mencapai beberapa kata sepakat.

Antara keputusan yang dicapai ialah penganjur tidak akan melibatkan peserta Muslim.

Friday, January 17, 2020

Mujahid gesa tindakan tegas ke atas pekeliling ‘haram’ Ponggal di sekolah

Predeep Nambiar
-January 17, 2020 8:47 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sistem pengajian atas talian e-RPH untuk sekolah agama di Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini

NIBONG TEBAL: Menteri berhubung hal ehwal Islam Mujahid Yusof Rawa hari ini berkata, tindakan tegas mesti diambil terhadap pegawai pendidikan yang mengeluarkan pekeliling yang mendakwa perayaan Ponggal adalah haram dalam Islam seperti dinasihatkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, ini kerana Jakim tidak pernah mengatakan adalah “haram” untuk menghadiri perayaan menuai masyarakat Tamil itu, tetapi sebaliknya berkata, orang Islam dibenarkan mengambil bahagian dalam perayaan itu selagi akhlak Islam dipatuhi.

“Isteri saya guru di sebuah sekolah di Nibong Tebal dengan ramai pelajar Tamil. Sekolahnya mengambil bahagian dalam Ponggal dan pada waktu sama mematuhi akhlak Islam sejak beberapa tahun,” katanya di luar satu acara di Institut Perindustrian Arumugam Pillai di sini hari ini.

Mujahid mempersoal tindakan pegawai dari Kementerian Pendidikan kerana memutarbelitkan kandungan surat berkenaan.

“Anda (pegawai terbabit) menggunakan perkataan seperti ‘terpaksa’ dan ‘haram’. Come on lah. Kita kata Ponggal diharuskan selagi akhlak Islam dipatuhi.

“Kami mendesak tindakan tegas diambil ke atas individu yang menulis surat tersebut dan kemudian menyalahkan Jakim kerana membuat keputusan itu. Kasihanilah saya dan Jakim.”

Surat yang dirujuk oleh Mujahid merupakan pekeliling Kementerian Pendidikan kepada semua pengetua sekolah yang dikeluarkan menjelang sambutan perayaan Ponggal.

Pekeliling bertarikh 13 Jan itu menyebut bahawa Jakim mengisytiharkan mengambil bahagian dalam ritus Ponggal adalah “haram”, terutamanya perbuatan mendidihkan susu, yang merupakan acara utama perayaan menuai masyarakat Tamil itu.

Ia ditulis oleh penolong pendaftar institusi pendidikan dan guru Adzman Talib.

Dalam perkembangan lain, Mujahid membidas G25, kumpulan bekas pegawai tinggi awam, kerana mempersoalkan keabsahan Jakim dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwak Islam (MKI).

Beliau berkata, langkah G25 mempersoal status Jakim dan MKI adalah seumpama mempersoalkan industri pensijilan “halal”, yang menyaksikan Malaysia menguasai sebahagian besar industri “halal” dunia yang bernilai AS$2 trilion.

Mujahid berkata, sekiranya kenyataan G25 itu benar, maka 30,000 guru sekolah agama dan kira-kira 1 juta pelajar di bawah mereka menerima gaji daripada sebuah badan haram.

Katanya, kumpulan itu sepatutnya mengehadkan dapatan kajiannya untuk dibahaskan dalam forum akademik, bukan mendedahkannya secara terbuka kerana ia akan mengelirukan orang ramai.

“Kesan kenyataan mereka tidak kena masa, terutama pada saat wujudnya ketegangan kaum dan agama. Apakah tujuan mereka? Anda memburukkan lagi keadaan.”

Terdahulu Mujahid melancarkan program e-RPH untuk sekolah agama, termasuk aplikasi telefon bimbit untuk guru bagi membantu mereka menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

Beliau berkata, kerajaan merancang untuk menaikkan elaun semasa RM1,000 kepada guru sekolah agama sebanyak RM100 bergantung kepada kelulusan.

Friday, February 1, 2019

Kritik Yadim: Zamihan terima surat tunjuk sebab

Haspaizi Zain 
Diterbitkan Hari ini 12:01 tengahari


Pendakwah kontroversi Dr Zamihan Mat Zin menjadi menerima surat tunjuk sebab kerana mengkritik lantikan politik dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Menurut sumber, Zamihan diberikan surat tunjuk dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Zamihan adalah kakitangan Jakim yang sebelum ini dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewaktu pentadbiran BN.

"Zamihan sudah diberikan surat tunjuk sebab oleh JAKIM kerana tindakannya mengkritik pelantikan majoriti pemimpin politik dalam Yadim.

"Beliau diberi masa selama tujuh hari untuk menjawabnya, ia susulan 'amaran' Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

"Ia jelas bercanggah dengan prinsip rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam) apabila tidak boleh mengkritik apa yang dilihat 'tidak kena'," katanya kepada Malaysiakini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof kelmarin dilapor memberi amaran kepada pihak yang terus memperkai lantikan anggota dewan undangan negeri (Adun) Paloh Sheikh Omar Ali sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (Alpa), Yadim.

Lantikan Alpa dikritik susulan Sheikh Omar daripada parti DAP dan kerana Alpa diisi oleh ramai ahli-ahli politik kerajaan.

Sebelum ini Zamihan atas kapasitinya sebagai presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak 'melacurkan' institusi agama Islam demi kepentingan politik.

Katanya, Yadim menjadi mangsa kerakusan pemimpin politik PH dan agensi dakwah itu telah dijadikan alat politik.

Sementara itu sumber berkata, Zamihan dikenakan surat tunjuk sebab kerana dianggap sebagai penjawat awam yang mempertikai dasar kerajaan.

"Secara asasnya, surat berkenaan walaupun dikeluarkan oleh Jakim, namun secara tidak langsung ada kaitan dengan 'arahan' pihak atasan," katanya.

Zamihan ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Malaysiakini juga sedang berusaha mendapatkan komen Jakim.

Wednesday, January 16, 2019

Tiada arahan larang hiasan babi sempena Tahun Baru Cina

Adam Abu Bakar
-January 16, 2019 3:44 PM

(Gambar AFP)

PETALING JAYA: Tiada larangan ke atas hiasan babi sempena Tahun Baru Cina di Wilayah Persekutuan, kata Menteri Khalid Samad, selepas ketiadaan gambar anjing dan babi dalam sambutan tahun lepas menjadi perbualan internet.

“Adakah lukisan babi juga haram?” katanya kepada FMT.

Tinjauan FMT di sekitar KL mendapati haiwan itu tidak kelihatan dalam hiasan Tahun Baru Cina, yang akan disambut 3 minggu dari sekarang iaitu pada 5 Februari.

Takwim Cina dibahagikan kepada kitaran 12 tahun dan setiap tahun bertemakan 12 haiwan terpilih, bermula dengan tikus dan berakhir dengan babi. Sambutan kali ini menandakan tahun terakhir dalam kitaran itu.

Tahun lalu, langkah sebuah pasaraya menjual baju kemeja T zodiak Cina menjadi perbualan pengguna media sosial kerana ia menggantikan gambar anjing dan babi dengan aksara.

Tidak diketahui kenapa 2 haiwan itu tiada dalam rekaan baju itu, tetapi pihak berkuasa sebelum ini pernah melarang atau mengehadkan produk yang dikaitkan dengan anjing dan babi.

Pada 1995, Malaysia mengharamkan filem komedi “Babe” kerana menonjolkan seekor babi sebagai watak utama, walaupun penerbitan DVD diluluskan beberapa tahun kemudian. Pada 2016, watak seekor babi dikeluarkan daripada poster promosi untuk filem Hong Kong “The Monkey King 2”.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata lambang haiwan dalam takwim Cina tidak perlu dijadikan isu, selaras dengan “fiqh ta’ayush” atau kebersamaan dalam masyarakat majmuk.

Tuesday, January 15, 2019

Lantik Eric Paulsen langkah sumbang – Reezal Merican



Pelantikan Eric Paulsen sebagai wakil baharu Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) disifatkan sebagai langkah yang sumbang dan merupakan satu kesilapan.

Perkara itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut menyifatkan Pengarah Undang-Undang Fortify Liberty itu sebagai seorang yang sangat kontroversi selain mempunyai perspektif dan pandangan sangat liberal.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak menafikan latar belakang pendidikan Eric yang baik serta kebolehan dan merit beliau sebagai seorang pengamal undang-undang, tetapi banyak penjelasan perlu diberikan berikutan sikap serta pendiriannya selama ini.

“Apakah mereka yang terlibat dalam pemilihan jawatan strategik ini tidak melihat pendirian Eric sebelum-sebelum ini?

“Antara perkara yang pernah dibangkitkan beliau ialah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mempromosi ekstremisme; Jakim dan para ulama tidak ubah seperti kasta paderi eropah; Mufti Johor dianggap sebagai Taliban dan kebanyakkan mufti serta ulama tidak siuman,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tambah Reezal Merican pandangan Eric itu walaupun disuarakan dalam media sosial, namun tetap membayangkan akar fikiran beliau yang terlalu kontroversi dan kasar.

Sehubungan itu, Reezal Merican meminta Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersikap telus dan memberitahu kepada rakyat nama-nama yang telah disenarai pendek untuk lantikan itu sebelum Eric dipilih.

“Siapa anggota pemilih? Apakah tidak ada tokoh-tokoh lain yang kurang kontroversi boleh diketengahkan?

“Pelantikan ini mendatangkan kekhuatiran dalam kalangan majoriti rakyat kerana sikapnya yang terlalu melindungi kumpulan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender). Apakah ini sahaja aspek `hak asasi’ yang mahu diperjuangkan di peringkat ASEAN?” soal beliau.

Reezal Merican dalam pada itu cukup yakin ada nama-nama lain boleh dipertimbangkan pihak kerajaan termasuklah dalam kalangan anggota jawatankuasa baharu Majlis Peguam yang tidak kurang kredibilit mereka.

Begitu juga, kata beliau, dalam kalangan aktivis Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

“Kita punya ramai bakat lain yang boleh diketengahkan berbanding seorang individu yang penuh kontroversi,” tegas beliau. 

UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/lantik-eric-paulsen-langkah-sumbang-reezal-merican-1.822553#ixzz5cdrcwjmC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, December 3, 2018

ICERD ‘laksana daging lembu import tidak disembelih’, kata Hadi

Diterbitkan pada 03 December 2018
Oleh Aliff Fikri Aziz

Datuk Seri Abdul Hadi Awang menentang keras pengiktirafan ICERD yang dibandingkan dengan ‘daging lembu yang tidak disembelih’.Foto oleh Farhan Najib

KUALA LUMPUR, 3 DisKonvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) umpama “daging lembu yang tidak disembelih”, dakwa presiden PAS.

Dalam kenyataannya pagi ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata daging lembu import itu tidak mengikut syarat “halal” yang boleh diterima penganut Islam.

“Maka ICERD, laksana daging lembu yang tidak disembelih yang diimport, maka pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mestilah berhati-hati meletakkan jenama halal...,” coretnya di Facebook.

PAS dan Umno merancang mengadakan perhimpunan besar membantah konvensyen tersebut Sabtu ini di Dataran Merdeka di sini walau kerajaan membuat keputusan tidak menyokong ICERD.

Abdul Hadi, ahli parlimen Marang, mendakwa konsep diskriminasi dalam dokumen tersebut “tidak menghormati perbezaan agama dan bangsa” yang tersurat dalam Islam.

“Kalau [Malaysia] menerimanya dengan mudah, bermakna ke arah membolehkan tuntutan pihak tertentu mendapat lesen sehingga melanggar sempadan agama dan hak bumiputera yang wajib dipertahankan, bersama hak yang adil terhadap semua kaum,” katanya.

Beliau memberi contoh Perjanjian Pangkor 1874, yang memberi kuasa kepada residen Inggeris mengurus hal-ehwal Perak kecuali Islam, sebagai permulaan campur tangan negara luar.

“ICERD secara halusnya laksana menerima Perjanjian Pangkor yang bersejarah, lalu menempah campur tangan asing terhadap kedaulatan negara dan bangsa yang terpaksa kita memikul kesannya sehingga kini,” katanya.

“Walaupun jenamanya lembu, namun kita tidak boleh memaksa penganut agama lain yang menghalalkannya tanpa sembelih dan juga tidak boleh memaksa penganut agama yang percaya bahawa lembu adalah binatang yang kudus yang tidak boleh dimakan sekali-kali,” katanya.

Bulan lepas Abdul Hadi dalam kenyataannya menyifatkan konvensyen itu “agenda Freemason yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.”

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Malaysia tidak akan mengiktiraf ICERD dengan alasan kerajaan akan terus mempertahan perlembagaan negara sebagai asas kontrak sosial.

Tuesday, October 23, 2018

Jangan hukum bencana puncanya LGBT - Mujahid

MyMetro
Mutakhir
Rohaniza Idris
roha@nstp.com.my

Mujahid semasa sesi soal jawab berkaitan LGBT di Dewan Rakyat hari ini.

“KITA jangan terlalu mudah menghukum satu-satu bencana itu termasuk yang berlaku di Palu, Indonesia sebagai bala berkaitan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, gejala berkenaan di negara ini masih terkawal hasil pelbagai program pemulihan yang diwujudkan untuk golongan itu.

Katanya lagi, dalam menangani isu berkaitan LGBT, semua pihak mempunyai tanggungjawab menangani.

“Dalam keadaan kita hari ini, isu LGBT walaupun ia satu permasalahan tapi masih di bawah kawalan. Saya tidak rasa kita terlalu mudah menghukum bala itu hanya dengan membuat satu-satu contoh, maka akan tiba satu bala.

“Yang perlu kita buat dan bincang ialah bagaimana menanganinya sebagai tanggungjawab kita menjaga supaya perkara ini tidak berleluasa,” katanya menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH PKR-Setiawangsa) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Nik Nazmi meminta penjelasan dari segi agama tindakan menghukum satu-satu peristiwa sebagai bala tanpa asas agama yang betul.

Mujahid berkata, orang Islam perlu menerima bahawa tidak ada sesuatu bala yang menimpa tanpa izin Allah tetapi menjatuhkan hukum sesuatu bencana akibat perbuatan tertentu tanpa asas adalah tidak wajar.

“Sebagai seorang Islam, sudah tentu kita kena percaya seperti firman Allah tidak ada sesuatu bala yang menimpa tanpa izin Allah dan kepada Allah orang-orang yang beriman bertawakal bahawa semuanya datang daripadanya.

“Kalau kita mengkaji kisah kaum-kaum yang dihancurkan dan mungkin di sini dirujuk kepada kaum Luth. Perbuatan mereka itu terlalu terserlah. Dalam kata lain mereka tidak segan silu melakukannya secara terbuka dan kerana itulah maka diturunkan bala,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi(BN-UMNO Bagan Datuk) dalam soalan tambahannya mengaitkan kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu, Indonesia sebagai bala Allah kerana mendakwa ada kira-kira 1,000 golongan LGBT di kawasan berkenaan.

“Kita lihat situasi di Malaysia turut membimbangkan yang mana kita tahu kejadian gempa bumi dan tsunami di Palu baru-baru ini dikhabarkan terdapat lebih kurang 1,000 mereka yang terbabit dalam aktiviti berkenaan (LGBT). Akibatnya seluruh kawasan itu diranapkan. Ini adalah hukuman Allah,” katanya.

Menjawab soalan Ahmad Zahid mengenai keberkesanan Program Mukhayyam yang dijalankan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) bagi membantu golongan LGBT, Mujahid berkata, peserta program itu ada yang sudah menukar penampilan mereka kepada fitrah asal.

“Ada kelompok dalam LGBT ini masih ada penampilan berbeza dengan fitrah asal sedang berusaha meninggalkan perbuatan songsang mereka dan mengakui kini mereka dapat mengingati semula perkara asas dalam agama seperti ibadat solat.

“Ada satu lagi kumpulan ini mereka sedang mujahadah berusaha meninggalkan perbuatan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 4:16 PM

Monday, August 13, 2018

Mujahid mohon maaf

MyMetro
Utama
HM Digital

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (dua dari kanan) bersama wakil transgender Nisya Ayub (kanan) ketika sidang media, Jumaat lalu.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, hari ini, memohon maaf dan menarik semula kenyataan yang kurang sesuai yang dibuat ketika sidang media selepas pertemuan dengan wakil transgender, Nisha Ayub pada Jumaat lalu.

Mujahid dalam satu kenyataan berkata, kenyataan terbabit dibuat secara spontan dan ia bukanlah kenyataan muktamad mahupun arahan.

“Ingin saya tegaskan, tiada arahan atau keizinan daripada saya untuk transgender berkongsi tandas awam dengan wanita, sebaliknya hanyalah “maybe..” dan “if… kerana ia boleh membabitkan pelbagai bentuk situasi dan keadaan,” katanya.

Mujahid berkata, beliau sentiasa terbuka untuk membincangkan isu yang sensitif termasuk isu LGBT.

“Saya berpandangan kita boleh dekati isu LGBT dengan dua cara pendekatan iaitu sama ada secara 'engagement' atau 'confrontational’.

“Kedua-dua bentuk pendekatan itu bagaimanapun mempunyai manfaat dan mudaratnya yang tersendiri, namun sebagai menteri dan mewakili institusi agama bagi kerajaan persekutuan, pada hemat saya pendekatan secara ‘engagement’ yang lebih lunak dan lembut lebih sesuai dan ‘rahmah’, malah ia bukan satu perkara baru dalam teknik-teknik berdakwah yang boleh berubah dengan penilaian situasi, tempat dan masa,” katanya.

Mujahid turut menegaskan, pendekatan ‘engagement’ bukan bermakna beliau atau kerajaan menyokong perlakuan LGBT.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa pendirian saya selaku menteri, kekal bahawa kita langsung tidak bersetuju tindakan yang dilakukan golongan transgender merangkumi lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, penukaran jantina, perlakuan menyerupai wanita dan yang sebaliknya dan juga kecenderungan seks sama jenis.

“Tiada sama sekali pengiktirafan atau berkenan untuk mempromosi terhadap semua perlakuan tersebut,” katanya.

Menurut Mujahid, berdasarkan kajian dan kesimpulan yang dibuat Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sejak lapan lalu mendapati, golongan transgender merasa dipinggirkan berikutan golongan itu sukar mendapat pekerjaan disebabkan peraturan oleh majikan, serta adat dan budaya sehingga mendorong mereka untuk menjadi pekerja seks.

“ Kita tidak boleh menafikan hak asas pelaku selaku manusia untuk didekati, dibimbing, mendapat pekerjaan yang sesuai, mendapat pelanggan bagi perniagaan, rawatan apabila sakit, bantuan apabila memerlukan, tidak dihina dan dikutuk ketika ingin mendapatkan hak asas yang disebut di atas hingga akhirnya terus membenci agama dan manusia lain. Itulah hak asas yang wajar dinikmati oleh seluruh warganegara.

“Apapun, semua hal tersebut sesuai dibicarakan lanjut kelak oleh pihak mufti sebagai keputusan terbaik,” katanya.

Kenyataan Mujahid pada sidang media terbabit menimbulkan keraguan dan mendapat kecaman daripada netizen apabila beliau dianggap bersetuju jika golongan transgender berkongsi tandas dengan wanita.

Rata-rata netizen terutamanya wanita, tidak bersetuju dan bimbang berkongsi tandas dengan golongan terbabit yang bukan mahram mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 9:55 AM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-