bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib zanariah_mutalib@bh.com.my
- September 2, 2024 @ 4:32pm
Ahmad Samsuri (dua kanan) bersama Mohamad Sanusi (dua dari kiri); Mohd Nassuruddin (kanan) dan Mohd Shukri (kiri) pada sidang media selepas Sidang Kemuncak SG4 di Bandar Baru Bangi. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
BANGI: Syarikat yang ditubuhkan empat negeri pembangkang, SG4 Group Sdn Bhd sudah menerima komitmen pelaburan daripada beberapa negara termasuk Korea Selatan dan Jepun.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagaimanapun berkata, jumlah pelaburan berkenaan masih belum boleh diumumkan, sehingga ia dapat direaliasasikan.
"Selain itu, ada juga yang sedang dalam perbincangan dengan China. Jumlah pelaburan itu, saya tak ingin sebut sebab masih pada peringkat awal, mungkin boleh jadi atau tidak jadi.
"Saya tidak mahu menjadi seperti sesetengah pihak, (pelaburan) yang berpotensi pun disebut dalam angka untuk diuar-uarkan.
"Bila direalisasikan, barulah kita sebut angka, jadi banyak lagi masih pada peringkat perbincangan ketika ini," katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak State Government 4 (SG4) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Terdahulu, Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama.
Syarikat berkenaan yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd, akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.
Mengenai sasaran pelaburan syarikat, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan ditentukan, namun ia mesti angka yang boleh dicapai.
"Kita akan bergerak dalam keadaan semasa yang ada dulu. Tentulah kita nak lihat dari segi angka yang munasabah bagi negeri SG4," katanya.
Mengulas potensi negeri SG4, Ahmad Samsuri menyifatkan ia amat besar, merangkumi bidang pembangunan baharu seperti sumber asli dan mineral kritikal, pertanian dan keterjaminan makanan, teknologi hijau dan kredit karbon, perdagangan dan ekopelancongan, industri halal dan teknologi kewangan syariah serta pendidikan.
"Pembangunan negeri Pantai Barat yang menuju ke arah saturasi dan kekangan sumber membuka ruang kepada negeri SG4 yang masih memiliki zon industri yang lebih luas dan kos yang lebih efektif untuk menarik pelaburan berpotensi tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.