Friday, September 27, 2024

Penafian SPRM tak cukup, Anwar mesti saman Bloomberg - Peguam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 27, 2024 9:20 PM
Peguam Haniff Khatri Abdulla meminta Anwar Ibrahim supaya memfailkan saman terhadap media antarabangsa, Bloomberg yang melaporkan Perdana Menteri itu campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam itu merujuk laporan Bloomberg di mana SPRM didakwa menerima arahan Anwar untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat.

"Sebagai seorang pengamal undang-undang dan rakyat Malaysia, saya berpendapat bahawa perdana menteri sebagai jawatan tertinggi urus tadbir negara perlu pada setiap masa mengambil langkah-langkah yang dibenarkan di bawah undang-undang untuk mengukuhkan nama baik kerusi perdana menteri dan negara ini.

"Sekiranya ada media antarabangsa seperti Bloomberg berani membuat satu laporan palsu tanpa usul periksa, maka langkah sebaiknya adalah tindakan undang-undang fitnah -defamation yang wajar perlu diambil dalam kes ini," kata Haniff dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya petang ini.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini menafikan laporan media tersebut dan menyifatkannya sebagai tohmahan liar.

Meskipun tidak menamakan mana-mana individu, suruhanjaya itu jelas merujuk kepada laporan MalaysiaNow yang memetik artikel daripada Bloomberg.
Haniff bagaimanapun berkata penafian SPRM sahaja tidak memadai untuk memastikan jawatan perdana menteri tidak disalahgunakan.

“Penafian baik tetapi tidak cukup sebab bukan sahaja nama peribadi perdana menteri itu ditohmahkan, tetapi yang lebih penting bagi rakyat Malaysia, kerusi perdana menteri dicampuradukkan sebagai kerusi yang menyeleweng atau kononnya menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan kepada SPRM," jelasnya.

Tambahnya, Anwar pada 27 Mac lalu turut dipetik berkata bahawa dia sendiri akan menyemak mengenai isu itu dengan kementerian kewangan.

Kata Haniff, hari ini genap enam bulan tetapi masih tiada kenyataan lengkap dikeluarkan oleh perdana menteri.

Farhash pada Mac lalu dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam Heitech Padu Berhad yang memperoleh kontrak RM190 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penyelenggaraan dan sokongan teknikal Infrastruktur ICT termasuk MySikap di pusat data dan pejabat JPJ.

Bagaimanapun HeiTech Padu dalam makluman kepada Bursa Malaysia kemudiannya berkata Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam syarikat berkenaan.

Pada 19 Mac, Farhash menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pada April lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa HeiTech Padu menang tender JPJ secara tender terbuka tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan bahawa Anwar mengeluarkan arahan kepada SPRM dan ketua pesuruhjayanya Azam Baki untuk tidak menyiasat pemilikan saham berkenaan.

Di sebalik penafian PMO, ketua penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari malam tadi mencabar Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg sekiranya laporan tersebut tidak benar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-