Saturday, September 28, 2024

Pengundi Dun Mahkota pilih wakil rakyat hari ini

hmetro.com.my
BERNAMA
Petugas SPR dilihat membawa peti undi bagi PRK Dun Mahkota ketika tinjauan di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana hari ini. FOTO Bernama

Kluang: Seramai 61,274 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, bagi memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota.

Tepat 8 pagi ini, 20 pusat mengundi membabitkan 109 saluran akan dibuka untuk proses pengundian sebelum semuanya ditutup serentak pada 6 petang.

Undi awal bagi PRK itu telah berlangsung pada Selasa (24 September) membabitkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, serta polis di tiga pusat mengundi awal, selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mengeluarkan 607 undi pos pada 15 September.

Secara keseluruhannya terdapat 66,318 pengundi bagi DUN Mahkota dengan majoritinya pengundi Melayu iaitu 56 peratus disusuli pengundi Cina (34 peratus), pengundi India (lapan peratus) dan bakinya lain-lain.

PRK Dun Mahkota membabitkan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Kedua-dua calon juga akan mengundi iaitu Syed Hussien, 40, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, manakala Mohamad Haizan, 61, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.

PRK Dun Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang, diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022 menyaksikan Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK keempat tahun ini, selepas PRK Dun Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang dan PRK Dun Nenggiri di Kelantan.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-