Showing posts with label PRK DUN Mahkota. Show all posts
Showing posts with label PRK DUN Mahkota. Show all posts

Sunday, September 29, 2024

Kekalahan PN boleh gugat hubungan Bersatu-PAS, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif
-29 Sep 2024

Penganalisis berkata kekalahan di PRK Mahkota itu juga membuktikan kelemahan Perikatan Nasional di kerusi campuran.
Perikatan Nasional yang diwakili Haizan Jaafar tewas pada PRK Mahkota selepas Barisan Nasional mengekalkan kerusi itu menerusi calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah dengan 27,995 undi.

PETALING JAYA: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam PRK Mahkota berisiko menggugat hubungan Bersatu dan PAS, kata penganalisis.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kekalahan Haizan Jaafar daripada Bersatu di Mahkota, yang mempunyai pola sokongan pengundi yang sama di PRK Kuala Kubu Baharu membuktikan kelemahan mereka di kerusi campuran.

“Sebenarnya kekalahan ini, lebih spesifik adalah kekalahan Bersatu. Kebanyakan kerusi besar Perikatan Nasional (PN) menang sebab PAS. Jadi, PAS sepatutnya menjadi ‘abang besar’ (dalam pimpinan PN).

Tapi selepas semua keputusan ini, PAS masih jadi nombor dua dengan Muhyiddin Yassin masih pengerusi PN, dalam erti kata lain memang (kekalahan) ini akan merenggangkan hubungan Bersatu – PAS, katanya.

Manakala Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, sokongan akar umbi PN di Johor dilihat masih terhad apabila calonnya hanya mampu meraih 7,347 undi.

Menurutnya, selain faktor peratusan mengundi yang kurang daripada 50%, ia sememangnya mustahil untuk PN menembusi DUN Mahkota kerana ia merupakan kubu kuat Umno.

Perikatan Nasional belum lagi sampai di Johor, katanya sambil menambah bahawa pengundi bukan Melayu masih tidak memilih PN sebagai alternatif walaupun berlaku konflik antara pemimpin Umno dan DAP.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan DUN Mahkota dengan bergaya apabila memperoleh majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar berbanding PRN 2022 iaitu 5,166 undi.

Calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah mendapat 27,995 undi manakala Haizan hanya memperoleh 7,347 undi.

Sharifah Azizah Syed Zain daripada BN memenangi kerusi itu pada PRN Mac 2022, menewaskan calon Pakatan Harapan, PN dan Warisan dengan majoriti 5,166 undi.

Saturday, September 28, 2024

BN sapu Mahkota, rampas undi PN tapi sokongan Cina merosot

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 28, 2024 9:43 PM
Gabungan Madani memenangi pilihan raya kecil (PRK) Mahkota dengan kemenangan besar, dengan BN mengutip hampir 28,000 undi dan menang di semua daerah mengundi.

Keputusan itu juga menunjukkan bahawa gabungan Madani berjaya mempengaruhi sebilangan pengundi Melayu PN pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 untuk mengalihkan undi.

Bagaimanapun, kemenangan itu berlatarbelakangkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya 54 peratus dan turut menyaksikan penurunan ketara dalam sokongan pengundi Cina.

Analisis ini membandingkan data daripada PRK kali ini dengan PRU ke-15 apabila pengundi Mahkota membuang undi untuk kerusi Parlimen Kluang, dan pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022.

Data peringkat daerah mengundi yang dipaparkan BN semasa pengiraan undi menunjukkan gabungan gabungan Madani berjaya memenangi semula tiga daerah mengundi - Kampung Melayu I, Kampung Melayu II dan Sri Tengah - yang dimenangi PN sebelum ini semasa PRU15.

BN juga menghapus kelebihan PN di Kampung Baru, sebuah daerah yang banyak diberi perhatian oleh pembangkang semasa PRK.

Prestasi keseluruhan PN juga merosot berbanding dua kali pengundi Mahkota pergi ke peti undi.
Tanpa mengambil kira undi pos dalam semua senario, bahagian undi PN di Mahkota menurun kepada 20.8 peratus (7,222 undi) berbanding 30.5 peratus (10,575 undi) pada PRU15 dan 21.3 peratus (7,296 undi) pada pilihan raya negeri.

Bahagian undi awalnya - yang datang dari kem tentera Mahkota - juga merosot kepada 25.9 peratus (1,088 undi) berbanding 58 peratus (1,825 undi) pada PRU15 dan 42 peratus (1,022 undi) pada pilihan raya negeri.

Pencapaian itu menandakan kesinambungan peningkatan sokongan orang Melayu terhadap gabungan Madani, yang turut diperhatikan semasa PRK Nenggiri.

Sementara itu, meski undi BN dan PH digabungkan untuk calon BN meraih 79 peratus undi, ini nampaknya telah dicapai dengan sokongan kaum Cina yang lebih rendah.

Di Bandar Tengah, daerah yang mempunyai pengundi Cina paling ramai di Mahkota dengan hampir 80 peratus penduduknya adalah Cina, hanya 1,335 undi dibuang - dengan 1,212 undi diraih gabungan Madani.

Sebagai perbandingan, 1,925 undi telah dibuang di Bandar Tengah semasa PRU15, dengan PH memperoleh 1,442 undi dan BN, 349 undi ketika itu.
Keputusan hari ini mirip pilihan raya negeri, dengan 1,418 undi dibuang di Bandar Tengah, di mana 1,042 mengundi PH dan 299 mengundi BN.

Pilihan raya negeri, seperti hari ini, juga mengalami peratusan keluar mengundi yang rendah.

Tahap sokongan PN di Bandar Tengah secara relatifnya tidak berubah, daripada 95 pada pilihan raya negeri, 129 pada PRU15, dan 123 hari ini.

Daerah pengundian majoriti bukan Melayu lain yang peratusan keluar mengundi lebih rendah hari ini berbanding PRU15 termasuk Taman Lian Seng dan Indah Jaya.

Walaupun bukan boikot sepenuhnya, angka itu menunjukkan bahawa sejumlah besar pengundi Cina tidak mengambil bahagian dalam PRK Mahkota.

Terdapat rasa tidak puas hati yang meluas di kalangan pengundi Cina sebelum PRK, antara lain dikaitkan dengan serangan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung isu sijil halal. Kok dilihat sebagai mempertahankan hak bukan Melayu.

Rasa tidak senang itu bertambah buruk apabila Timbalan Pengerusi BN Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan pengundi Cina sebagai oportunistik dan membayangkan bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah bermakna mereka tidak mahu mengundi calon bukan Cina.

Ini adalah PRK kedua yang mencatatkan penurunan ketara dalam peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina selepas PRK Sungai Bakap.

Pengundi Dun Mahkota pilih wakil rakyat hari ini

hmetro.com.my
BERNAMA
Petugas SPR dilihat membawa peti undi bagi PRK Dun Mahkota ketika tinjauan di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana hari ini. FOTO Bernama

Kluang: Seramai 61,274 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, bagi memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota.

Tepat 8 pagi ini, 20 pusat mengundi membabitkan 109 saluran akan dibuka untuk proses pengundian sebelum semuanya ditutup serentak pada 6 petang.

Undi awal bagi PRK itu telah berlangsung pada Selasa (24 September) membabitkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, serta polis di tiga pusat mengundi awal, selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mengeluarkan 607 undi pos pada 15 September.

Secara keseluruhannya terdapat 66,318 pengundi bagi DUN Mahkota dengan majoritinya pengundi Melayu iaitu 56 peratus disusuli pengundi Cina (34 peratus), pengundi India (lapan peratus) dan bakinya lain-lain.

PRK Dun Mahkota membabitkan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Kedua-dua calon juga akan mengundi iaitu Syed Hussien, 40, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, manakala Mohamad Haizan, 61, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.

PRK Dun Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang, diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022 menyaksikan Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Ini adalah PRK keempat tahun ini, selepas PRK Dun Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang dan PRK Dun Nenggiri di Kelantan.

BERNAMA

Wednesday, September 25, 2024

Ajar Umno di Mahkota, jangan undi Syed Hussein, kata Ramasamy

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 25, 2024
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mahu pengundi bukan Melayu menghantar mesej yang jelas kepada Umno pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota Sabtu ini.

Katanya, ini adalah peluang keemasan untuk membentangkan detik penting khususnya buat masyarakat Cina dan India, meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Umno selama ini.
P Ramasamy
“Pilihan raya ini menawarkan peluang keemasan kepada pengundi untuk menentang parti yang selama ini dianggap sebagai punca perpecahan.

“Jika pengundi Cina dan India beramai-ramai mengundi menentang calon Umno, Syed Hussein Syed Abdullah, mereka boleh mencipta sejarah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini timbul ura-ura bahawa kemungkinan pengundi Cina yang membentuk kira-kira 35 peratus daripada 66,318 pengundi Mahkota tidak akan keluar kerana “kelakuan ekstrem” Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Sallah dalam beberapa isu sejak kebelakangan ini.

Terbaru, dia menempelak Naib Pengerusi DAP Teresa Kok yang menyuarakan kebimbangan masyarakat bukan Islam berhubung cadangan Jakim mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.
Susulan itu Akmal melabelkan Kok sebagai "nyonya tua" dan memberi amaran supaya pemimpin DAP itu tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam.

Dia juga secara sinis meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk “ditampal di dahi” pemimpin DAP itu.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga adalah bekas pemimpin DAP yang kini menjadi presiden Urimai berkata, undi menentang BN akan mewakili satu langkah penting bagi masyarakat bukan Melayu menyuarakan rasa tidak puas hati dan menghukum Umno.

“Retorik berapi-api Akmal terhadap masyarakat bukan Melayu bukanlah satu insiden terpencil. Ia mencerminkan fenomena ideologi yang berakar umbi dalam Umno.

“Kerelevanan parti itu telah lama terikat dengan strategi memburuk-burukkan bukan Melayu. Terdapat kepercayaan bahawa lebih ramai pemimpin Umno memperlekehkan bukan Melayu, lebih banyak sokongan yang akan mereka peroleh daripada pengundi Melayu.
“Bagaimanapun, populariti pembangkang PN yang semakin meningkat di kalangan orang Melayu mempersoalkan strategi ini,” katanya.

Ramasamy berkata, meskipun PRK Mahkota mungkin tidak menggambarkan sepenuhnya sentimen pengundi di seluruh negara, namun ia tetap memberi peluang kepada pengundi Cina dan India untuk mengembalikan maruah mereka dengan enggan menyokong calon Umno.

Pada PRK Mahkota, Syed Hussien yang juga ketua Pemuda Umno Kluang dan bekas pelajar sekolah vernakular Cina berhadapan dengan calon PN Mohamad Haizan Jaafar, dalam pertandingan satu lawan satu.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi juga merayu kepada pengundi Cina supaya tidak "menghukum" dirinya berhubung isu di peringkat persekutuan.

Monday, September 16, 2024

Kempen skala kecil tampak PRK Mahkota suram

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
16 Sep 2024, 03:04 PM

Kempen skala kecil bersama komuniti setempat lebih bermakna kerana beri ruang pengundi lebih kenal calon.
Perang bendera dan poster pada PRK Mahkota masih ‘suam-suam kuku’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perang bendera dan poster PRK Mahkota masih lagi suram walaupun waktu berkempen sudah memasuki hari ketiga.

Tinjauan beberapa lokasi sekitar DUN Mahkota mendapati, perang bendera parti bertanding masih suam-suam kuku, walaupun terdapat bendera dinaikkan di beberapa lokasi terutamanya di pusat daerah mengundi (PDM).

Walaupun kelihatan kurang meriah jika dibandingkan dengan beberapa PRK sebelum ini, penduduk di sekitar DUN Mahkota berkata mereka lebih selesa dengan pendekatan kempen skala kecil, berbanding kempen secara besar-besaran.

Pesara kerajaan Mohd Ali Mansor, 62 berkata kempen skala kecil bersama komuniti setempat lebih bermakna buat penduduk berbanding ceramah mega kerana ia memberi ruang kepada pengundi untuk lebih mengenali calon.

Lebih baik berkempen secara kecil tetapi padat pengisiannya. Kalau dilaksanakan ceramah mega sekalipun, kosnya tinggi dan ada masanya yang hadir lebih ramai penyokong luar. Kami tidak berpeluang menyuarakan isi hati terus kepada calon, jadi lebih mesra begini (skala kecil), katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Tani Kampung Melayu, di Kluang.

Turut bersetuju ialah penjawat awam, Alif Abdul Aziz, 34, yang berpandangan kempen berskala kecil lebih aman dan kurang menganggu kehidupan seharian penduduk seperti kesesakan trafik atau bunyi bising, mengambil kira kempen juga berlangsung pada hari bekerja.

Tambahan pula sekarang sudah banyak platform media sosial. Pengundi boleh mengikuti akaun calon jika mahu mengikuti perkembangan kempen di mana-mana dalam situasi lebih selesa, katanya.

Peniaga Tiam Hock, 43, bagaimanapun berbeza pandangan kerana berharap perang bendera atau poster lebih meriah bagi menimbulkan suasana pilihan raya dan berharap situasi itu berubah apabila masuk minggu kedua berkempen.

Ada masanya parti yang bertanding akan menonjolkan kreativiti semasa berkempen dan ini menarik untuk diperhatikan. Ketiadaan bendera, poster menyebabkan suasana PRK ini tidak begitu dirasakan, sedangkan ia hanya berlangsung untuk tempoh dua minggu, katanya.

Setakat ini, dua calon bertanding dari Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, dilihat memilih pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka sama ada berkunjung dari rumah ke rumah atau hadir ke kawasan tumpuan.

PN sebagai contoh turut menggunakan platform ceramah pada sebelah malam, namun ia juga berlangsung dalam skala kecil iaitu ceramah kelompok, selain kedua-dua calon juga memanfaatkan media sosial bagi menambat hati pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Mahkota diadakan pada 28 Sept, manakala 24 Sept adalah hari undi awal.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Saturday, September 14, 2024

PRK Mahkota: Laungan 'Hussien' bergema

bharian.com.my
Oleh Alias Abd Rani 
bhnews@bh.com.my
- September 14, 2024 @ 9:39am
Penyokong BN mengiringi Syed Hussien ke pusat penamaan calon - NSTP/ALIAS ABD RANI

KLUANG: Laungan 'Hussien! Hussien! Hussien!' bergema ketika penyokong Barisan Nasional (BN) mengiringi Syed Hussien Syed Abdullah ke pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, pagi ini.

Syed Hussien, 40, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menjadi taruhan BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dijadualkan berlangsung 28 September ini

Terdahulu, beliau tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi anggaran kira-kira 5,000 penyokong BN bersama kepimpinan parti itu serta Pakatan Harapan (PH).

Antara yang kelihatan ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Selain itu, turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengarah PRK DUN Mahkota, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketika melangkah ke pusat penamaan calon, Syed Hussien dilihat mengaminkan doa.

Beliau turut menyebut 'doakan saya' beberapa kali sambil melemparkan senyuman kepada penyokong BN.

PRK Mahkota: Calon, penyokong PN berarak sambil berselawat ke pusat penamaan calon

bharian.com.my
Oleh Mohamad Fahd Rahmat 
bhnews@bh.com.my
- September 14, 2024 @ 9:10am
Penyokong PN hadir di sekitar pusat penamaan calon bagi memberi sokongan kepada calon dinamakan parti itu untuk bertanding PRK DUN Mahkota, pagi ini. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

KLUANG: Ratusan penyokong berarak mengiringi calon dinamakan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, sambil berselawat sejauh kira-kira satu kilometer dari Jalan Besar ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, pagi ini.

Mereka mula berarak dari tempat parkir di Taman Tasik, Jalan Besar, kira-kira jam 8.20 pagi sebelum Mohamad Haizan yang juga dikenali sebagai 'Coach Haizan', 61, dibawa masuk ke dewan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi urusan penyerahan borang penamaan calon.

Antara yang hadir memberi sokongan ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; serta Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Selain itu, Pengarah PRK DUN Mahkota merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, turut hadir.

Cuaca redup di lokasi dengan penyokong sudah berkumpul seawal jam 7 pagi tadi dengan dikawal oleh anggota polis bertugas di sepanjang laluan.

Pusat penamaan calon dibuka

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 14, 2024 9:13 AM
PRK MAHKOTA | Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di Kluang dibuka 9 pagi ini.

Setiap parti dan individu yang berhasrat bertanding akan diberikan masa sejam bermula 9 hingga 10 pagi bagi mengemukakan borang pencalonan, sebelum calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang pada 2 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Sharifah Azizah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala pengundian awal pada 24 Sept.

Kerusi DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, tentera dan pasangan (4,510), 401 polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

DUN berkenaan mula dipertandingkan pada 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya yang menyaksikan empat daripadanya dimenangi BN, dan kali terakhir dimenangi Sharifah Azizah.

- Bernama

Sunday, September 8, 2024

BN dijangka menang besar PRK Mahkota - Annuar Musa

bharian.com.my
Oleh Mahani Ishak 
mahani@bh.com.my
- September 8, 2024 @ 3:55pm
Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) dijangka menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK)

Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, mengulangi kejayaan diperoleh di Nenggiri bulan lalu.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, berkata keyakinan itu hasil keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada November tahun lalu yang menunjukkan BN memperoleh lebih 16,000 undi sementara Pakatan Harapan (PH) memperoleh lebih 11,000 undi.

"Hasil keputusan itu menjadikan Mahkota kubu terkuat BN, PH MADANI di Johor.

"Apalagi dalam PRK (Mahkota) dengan segala jentera kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang sudah pun dikerahkan bekerja untuk pasukan Perpaduan MADANI.

"Dijangkakan, BN dengan mudah menambah undi mereka seperti di Nenggiri. Mungkin melebihi 30,000 undi," katanya menerusi catatan Facebook hari ini.

Semalam, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota.

Syed Hussien sebelum ini adalah antara dua nama yang disenarai pendek sebagai calon BN.

Seorang lagi adalah Naib Ketua Wanita UMNO Kluang, Zainani Jamaluddin.

Annuar berkata, sebaliknya Perikatan Nasional (PN) bermodalkan hanya 7,000 undi pada PRN lalu.

"Ini menunjukkan lebih 20,000 undi lebih rendah daripada undi diperoleh BN-PH.

"Majoriti BN dalam PRK kali ini pastinya melebihi 20,000 undi dan ia manifestasi kejayaan jajaran baharu mereka bersama 'Kerajaan Perpaduan'," katanya.

Thursday, September 5, 2024

PAS Johor akur Bersatu tanding PRK Mahkota, akan bantu calon menang

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin-05 Sep 2024, 10:00 AM

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata pihaknya tidak akan merayu terhadap keputusan pucuk pimpinan membenarkan Bersatu bertanding pada PRK Mahkota.
Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata tidak timbul soal boikot kerana siapa saja calonnya, mereka tetap dari Perikatan Nasional. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PAS Johor menegaskan tidak timbul soal boikot kerana mereka akur dengan keputusan pucuk pimpinan membenarkan Bersatu bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK Mahkota 28 Sept ini.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata PAS Johor tidak akan merayu terhadap keputusan muktamad pucuk pimpinan itu.

Kita dari awal sudah putuskan kita serah kepada pusat buat keputusan akhir dan bila pusat buat keputusan, sudah pasti telah mengambil kira pelbagai faktor, jadi kita terima, kata Abdullah yang juga naib pengerusi PN Johor kepada FMT.

Kita akan bantu menangkan calon PN di PRK Mahkota, tak berbangkit soal boikot ke apa sebab beberapa pilihan raya kita guna lambang PN, jadi siapa saja calon, mereka tetap dari PN.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, PN memutuskan Bersatu akan bertanding pada PRK Mahkota selepas mengambil kira kerusi itu milik Bersatu sebelum ini.

Menurutnya, pengumuman calon dijangka dibuat seminggu sebelum hari penamaan calon pada 14 Sept ini.

PRK Mahkota akan diadakan 28 Sept ini susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah yang juga ketua Wanita Umno Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri itu daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 5,166 undi pada PRN Mac 2022.

Wednesday, September 4, 2024

Umno pilih calon boleh menang untuk PRK Mahkota

malaysiakini.com
NS Ramli
Diterbitkan: Sep 4, 2024 11:33 AM

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa calon yang akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota adalah calon yang boleh menang.

Selain itu, katanya, calon berkenaan juga seorang yang boleh diterima pengundi dan memenuhi kriteria ditetapkan parti.

Dia bagaimanapun memaklumkan setakat ini perbincangan teliti berkaitan calon untuk PRK Mahkota belum diadakan.

"Calon... mestilah calon yang boleh menang, yang boleh diterima oleh pengundi.

"Sama ada Pemuda (atau) Wanita, belum dibincangkan lagi... ia akan diputuskan presiden," katanya ketika ditemui media di Kuantan, Pahang hari ini.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lalu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang hadir pada majlis penyerahan ambulans kelas A kepada hospital di Pahang.

Ditanya sama ada semangat kemenangan BN pada PRK Nenggiri bulan lalu akan dibawa ke PRK Mahkota, dia berkata perkara itu sudah menjadi satu kemestian.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy turut meluahkan rasa bangga apabila Adun Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menggunakan tagline 'Tiada Janji, Lihat Bukti' - yang sudah digunakan Wan Rosdy sejak 2018 - dalam menjalankan kerja sebagai Adun kawasan itu.

"Baguslah... benda yang elok itu, eloklah diikuti.

"Kita pun rasa banggalah, seolah-olah satu pengiktirafan... ini cakap-cakap tapi buat tak.. tak 'deliver' pun, marah orang," katanya.

Dalam PRK Nenggiri pada 17 Ogos lalu, Mohd Azmawi Fikri, 38, memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi.

Tuesday, August 13, 2024

BN tanding Mahkota, Zahid beri amaran ‘parti lain jangan kacau’

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
13 Aug 2024

Pengerusi BN berkata menerusi persefahaman kerajaan perpaduan ‘kerusi diwakili mana-mana parti harus diserahkan dan ditandingi semula parti berkenaan’.
Pengerusi BN Zahid Hamidi memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi yang diperuntukkan kepada sesuatu parti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan bertanding PRK DUN Mahkota 28 Sept ini, kata Zahid Hamidi.

Justeru, pengerusi BN memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi yang diperuntukkan kepada sesuatu parti.

Saya tak mahu kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin besar atau kecil yang menuntut mana-mana kerusi diperuntukkan untuk dituntut atau keluar kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi sebaliknya, katanya pada sidang media selepas mesyuarat sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Platinum Sentral.

Pada 5 Ogos lalu Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain, dilaporkan mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN memberikan laluan kepada calonnya bertanding PRK Mahkota yang pernah dimenangi parti itu pada PRU14.

Menyusul desakan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menegur ahli partinya kerana menggunakan media untuk melobi DUN tersebut, sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan terhadap kempen PRK Nenggiri pada 17 Ogos yang ditandingi Umno untuk merebut semula kerusi berkenaan daripada Bersatu.

Pada 8 Ogos lalu Zahid berkata parti dalam kerajaan perpaduan tidak wajar menuntut kerusi bukan milik mereka dan ia perlu dihormati.

Sila hormati kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaan, bukan menuntut itu dan ini, kata timbalan perdana menteri.

Sementara itu, Zahid berkata bagi menghadapi PRK Mahkota, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno seterusnya membawa keputusan tersebut dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan, menerusi persefahaman dalam kerajaan perpaduan ‘kerusi diwakili oleh mana-mana parti harus diserahkan dan ditandingi semula oleh parti berkenaan’.

DUN Mahkota adalah DUN di kawasan agak berpotensi untuk kita menang dan tentunya kita mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Mahkota pada 28 Sept dengan penamaan calon dan undi awal masing-masing 14 serta 24 Sept.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Syarifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah menang kerusi DUN Mahkota mewakili BN dengan 16,611 undi dan majoriti 5,166.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-