Sunday, September 8, 2024

Isu pensijilan halal, PDRM siasat Teresa Kok ikut SOP 3R

bharian.com.my
Oleh Nor Azizah Mokhtar 
bhnews@bh.com.my
- September 8, 2024 
Tan Sri Razarudin Husain (kiri), dan Teresa Kok

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, membabitkan isu pensijilan halal yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu dibuat susulan lima laporan diterima PDRM setakat ini.

"Setakat ini, pihak PDRM menerima lima laporan di seluruh negara dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"SOP siasatan 3R akan dijalankan setelah laporan polis diterima dan semua saksi-saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan," katanya kepada BH, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan kes akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Kita akan memanggil Teresa dan saksi lain dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau menegaskan, walaupun kebebasan memberi pendapat dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan, ia masih mempunyai batasan.

Razaruddin menasihatkan rakyat Malaysia tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum.

"Kenyataan bersifat sedemikian adalah kesalahan yang termaktub dalam Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam," katanya.

Kelmarin, Teresa dalam satu kenyataan di media sosial dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

itu tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), malah hanya mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-