Saturday, September 21, 2024

Teresa-Akmal: Hanya sandiwara ‘wayang opera’

harakahdaily.net
September 21, 2024

KLUANG: Pertelingkahan yang berlaku antara Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh disifatkan sekadar sandiwara wayang opera.

Ahli Jawatakuasa Penerangan PERIKATAN NASIONAL, Badrul Hisham Shaharin berkata, ia hanya bertujuan meraih sokongan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota yang sedang berlangsung ketika ini.

“Saya dah cakap Akmal dan Teresa adalah ‘wayang opera Cina’ kepada DUN Mahkota. Teresa nak tarik undi Cina, Akmal nak tarik undi Melayu. Saudara ditipu! Umno dah tak ada maruah.

“Kerana itu BERSATU kena menang kali ini. BERSATU tidak boleh gagal. Kerana BERSATU dan PERIKATAN NASIONAL ialah payung terakhir orang Melayu dalam Malaysia,” katanya yang lebih dikenali sebagai Che’guBard.

Beliau berkata demikian dalam ceramah kempen bagi PRK Mahkota yang berlangsung di Bilik Gerakan PERIKATAN NASIONAL bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu Timor 2, di sini malam tadi.

“Persoalan ini saya nak bagi tahu ini, persoalan kepada sahabat-sahabat Umno. Umno hilang identiti. Selama ini (di bawah pentadbiran Umno dahulu) orang tak boleh usik Islam.

“Tetapi hari ini kalimah Allah dekat stoking, ingatkah tidak? Dekat stoking. Itu bukan logo kalimah Allah, itu akidah kita,” bidasnya yang juga Pengerusi Pembela Tanah Air (PETA).

Tambah Che’guBard, akibat daripada peristiwa stoking berlogo kalimah Allah itu Pemuda Umno kononnya bangkit menjadi hero dalam isu tersebut.

“Akhirnya bila orang boikot, Anwar Ibrahim bawa tauke KK-Mart pergi luar negara meniaga. Mana Pemuda Umno? Mana Akmal? Senyap! Senyap!

“Saya (pula yang) kena dakwa di mahkamah. Tetapi mana (Pemuda Umno)? Akhirnya diam. Ini sekarang isu halal (pula),” kata Badrul yang kini berdepan kes mahkamah isu itu.

Program ceramah tersebut menampilkan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penceramah utama.

Turut berceramah pada malam tadi ialah Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris serta Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Dalam PRK ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Haizan’.

Sementara Barisan Nasional (BN) pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon mereka.

Tarikh 28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi. 

HARAKAHDAILY 21/9/2024


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-