Friday, October 18, 2024

Bajet 2025 dijangka paling besar dalam sejarah

harakahdaily.net
October 17, 2024
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Bajet 2025 dijangka akan menjadi bajet yang paling besar di dalam sejarah, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, ia akan bersifat ‘ekspansif’ meskipun kerajaan berusaha mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada 2025 berbanding anggaran 4.3 peratus pada 2024.

Beliau berkata, jumlah perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat sebanyak 1.5 hingga 1.7 peratus kepada sekitar RM405 bilion pada 2025.

“Peningkatan ini didorong oleh perbelanjaan operasi (OPEX) yang dijangka mencapai RM325 bilion, sebahagiannya disebabkan oleh kenaikan gaji kakitangan awam, antara 16.8 hingga 42.7 peratus, penyesuaian pencen untuk pesara, serta bantuan tunai bersasar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu menambah, lebih mencabar lagi ialah ekonomi Malaysia yang masih sangat bergantung kepada hasil minyak dan gas melalui syarikat Petronas, yang menyumbang sebahagian besar pendapatan negara.

Katanya, jika dirujuk Laporan Ketua Audit Negara yang baru dibentang, tahun 2023 mencatatkan sumbangan Petronas menurun hampir RM10 bilion iaitu berjumlah RM40 bilion, berbanding RM50 bilion pada tahun sebelumnya.

“Kita menjangkakan dividen Petronas ini mungkin akan semakin mengecil pada tahun-tahun berikutnya apabila Petronas tidak lagi menjadi pemain tunggal utama bagi aktiviti cari gali minyak dan gas, terutama di perairan Sarawak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu dan meluaskan skop cukai sedia ada bagi menampung penurunan hasil berkaitan minyak.

Katanya lagi, antara langkah yang dijangka ialah Cukai Barangan Bernilai Tinggi (High-Value Goods Tax) dengan kadar 5 hingga 10 peratus, Cukai Minimum Global sebanyak 15 peratus selaras dengan peraturan OECD yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2025.

Selain itu, ujar beliau Cukai Minuman Bergula (Sugar-Sweetened Beverage Tax) baharu selepas peningkatan cukai sebanyak 10 sen kepada 50 sen seliter dalam Bajet 2024.

Di samping itu, kata beliau cukai dosa atau duti eksais lebih tinggi untuk rokok, e-rokok, dan vape bagi menyokong kesihatan awam.

“Dan jangan bimbang, Bajet 2025 masih lagi bersifat pra gula-gula kerana gula-gula sebenar hanya akan muncul di dalam bajet 2026 dan kadar gulanya akan lebih tinggi di dalam Bajet 2027 nanti.

“Sama-samalah kita nantikan esok,” katanya lagi. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-