Friday, October 25, 2024

Dunia Anaqi hanya di hospital

bharian.com.my
Oleh Hazira Ahmad Zaidi
bhnews@bh.com.my
 Oktober 25, 2024 
Sejak dilahirkan lima bulan lalu, Muhammad Fahri Anaqi Fakrul Aizat hanya membesar di hospital dan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan. - Foto Ihsan Keluarga

KUALA KRAI: Sejak dilahirkan lima bulan lalu, Muhammad Fahri Anaqi Fakrul Aizat hanya membesar di hospital dan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan.

Ibunya, Siti Nordiana Shamidisham, 23, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang ketika berusia dua bulan selepas dilahirkan pramatang dengan berat 950 gram pada usia kandungan 20 minggu.

Katanya, anaknya itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai sejak dilahirkan pada 19 Mei lalu sehingga sekarang dan tidak pernah dibawa balik ke rumah atau berjumpa dengan adik-beradiknya yang lain.

"Muhammad Fahri Anaqi tidak boleh dibawa pulang ke rumah berikutan perlu bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan disebabkan dia tidak boleh bernafas dengan sendiri akibat keadaan jantungnya yang berlubang.

"Setiap hari saya akan berulang alik dari rumah yang terletak di Kampung Batu Jong ke HSIP Kuala Krai untuk menjenguk keadaan Muhammad Fahri Anaqi," katanya ketika dihubungi.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, sebagai seorang ibu, dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang masih kecil perlu memakai alat bantuan pernafasan bagi mengurangkan beban pada jantungnya.

"Pada masa sama, Muhammad Fahri Anaqi juga tidak dapat menyusu seperti bayi normal kerana terpaksa menggunakan tiub saluran dan keadaan itu menyebabkan saya sedih setiap kali melihat raut wajahnya yang masih belum mengerti apa-apa.

"Namun saya percaya ada hikmah di sebalik ujian ini dan berharap kami suami isteri kuat untuk membesarkan Muhammad Fahri Anaqi," katanya.

Katanya, doktor memaklumkan peluang Muhammad Fahri Anaqi untuk sembuh dan membesar seperti bayi lain adalah cerah melalui pembedahan yang akan dijalankan dalam masa terdekat ini.

"Saya juga tidak putus berdoa kepada Allah SWT agar Muhammad Fahri Anaqi dapat sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti bayi lain," katanya.

Katanya, sejak Muhammad Fahri Anaqi dilahirkan dia yang sebelum ini bekerja di kedai makan kerap mengambil cuti disebabkan perlu berulang-alik ke hospital selain memberi perhatian kepada anaknya itu.

"Pendapatan suami, Fakrul Aizat Oni Sofea, 27, yang bekerja sebagai buruh tidak menentu menyebabkan kami sekeluarga perlu berjimat cermat kerana dalam masa sama perlu menyara tiga lagi anak yang berusia setahun tiga bulan hingga enam tahun," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Nordiana Shamidisham di talian 016-9028610.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-