Sunday, October 27, 2024

Polis buka kertas siasatan perhimpunan kibar Jalur Gemilang di Menara Condong

bharian.com.my
Oleh Muhamad Lokman Khairi
bhnews@bh.com.my
Oktober 27, 2024
Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria (baju putih) berucap di hadapan lebih 300 peserta yang berhimpun sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong Teluk Intan, petang semalam. - Foto NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

IPOH: Polis membuka kertas siasatan perhimpunan kibar Jalur Gemilang yang disertai lebih 300 individu di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, semalam kerana tiada notis dihantar penganjur bagi acara itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata himpunan itu anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) serta dihadiri pimpinan PAS Perak dan penduduk setempat.

Siasatan awal mendapati Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan kumpulan itu.

Kira-kira 200 bendera Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan oleh peserta dengan diiringi lagu-lagu patriotik.

"Hasil semakan mendapati, penganjur perhimpunan terbabit tidak menghantar pemakluman kepada polis bagi mengadakan perhimpunan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu penganjur hendaklah memberi notis mengadakan perhimpunan kepada polis antara 10 hari hingga 30 hari sebelum perhimpunan.

"Arahan perintah untuk menyiasat (OTI) akan dipohon bagi menjalankan siasatan lanjut pihak yang terbabit akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azizi berkata, aduan dibuat anggota polis yang bertugas jaga aman di Menara Condong Teluk Intan pada jam 6 petang, semalam.

Terdahulu, media melaporkan lebih 300 individu membanjiri Dataran Menara Condong Teluk Intan, petang semalam bermula jam 5 petang sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Kehadiran peserta itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap insiden bendera China dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia di lokasi sama, Khamis lalu.

Justeru, Azizi memberi amaran dan menasihati orang ramai agar tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kacau ganggu serta menggugat ketenteraman awam.

"Mana-mana individu yang didapati bersalah jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 mengikut peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-