Rozdan Mazalan
rozdan@bh.com.my
PENJAGAAN kesihatan kepada pesakit diabetes wajar diberi keutamaan bagi mengelak risiko jangkitan. - Gambar Hiasan
Peratusan pesakit diabetes atau kencing manis naik mendadak tahun demi tahun termasuk dalam kalangan golongan muda di seluruh dunia termasuk di negara ini.
Mengikut statistik, pesakit diabetes adalah seramai 425 juta orang, tahun ini dan dijangka meningkat kepada 522 juta orang, menjelang 2030.
Justeru, penjagaan kesihatan secara berkualiti perlu diberi keutamaan termasuk mengelak berlaku luka yang boleh menyebabkan risiko jangkitan.
Pelbagai pihak termasuk pekerja yang terbabit dalam industri perubatan juga wajar memainkan peranan lebih berkesan menerusi prosedur penjagaan lebih sempurna.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendedahkan 3.7 juta kematian atau 43 peratus dicatat membabitkan pesakit diabetes tahap dua dalam kalangan berusia 70 tahun ke bawah.
“Pesakit berdepan pelbagai masalah termasuk kos perubatan yang tinggi. Usaha menyebarkan ilmu dan kesedaran perlu dilakukan secara berterusan untuk mendidik masyarakat secara menyeluruh termasuk dalam kalangan pekerja kesihatan.
“Usaha mencegah lebih baik untuk pesakit, jika sebelum ini proses merawat luka perlukan masa yang panjang, namun dengan kecanggihan teknologi ia dapat mengurangkan tempoh pemulihan.
“Sejak 10 tahun lalu, dapat dilihat dari segi peningkatan tahap pendidikan, teknologi, kaedah rawatan terkini dan perkhidmatan terbaik dalam kalangan pengamal perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Masalah Anggota Diabetes dan Luka Peringkat Asia Pasific kali ke-16, di ibu negara baru-baru ini.
DR Lee Boon Chye mencuba Alat Perubatan LEGA di Klinik Kesihatan Gunung Rapat. LEGA adalah satu alat alternatif untuk mengeluarkan kahak pesakit. - Foto NSTP/Effendy Rashid
Pada majlis itu, Dr Boon Chye turut melancarkan buku Wound Care Made Easy dan 5th Compendium of Wound Care Dressing.Beliau berkata, tiada alasan pekerja kesihatan tidak mempunyai rujukan dalam bidang berkaitan kerana terdapat lebih 50 buku yang menyediakan panduan merawat pesakit di negara ini.
Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi Bertanggungjawab), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ahmad Hafiz Zulkifly, berkata kadar penyakit dan kematian tertinggi boleh di atasi dengan menerusi pendidikan awal berkaitan berbanding mengubati selepas menghidapi penyakit itu.
Ahmad Hafiz berkata, peratusan pesakit meningkat di negara ini melepasi unjuran WHO hanya sekitar 8.8 peratus (kajian pada 2016).
“Namun pada 2016, Malaysia mencatat peningkatan pesakit diabetes pada kadar 17.5 peratus yang amat tinggi berbanding jangkaan sebelum ini.
“Kira-kira tiga hingga lima peratus penghidap diabetes mengalami luka serius pada anggota badan dilaporkan meninggal dunia,” katanya.
Ahmad Hafiz berkata, pelbagai pihak harus memberi perhatian serius mengenai penyakit diabetes terutama apabila Malaysia dilaporkan berada pada kedudukan teratas penduduknya mempunyai kadar gula dalam darah tertinggi di negara ASEAN.
“Pilihan terbaik adalah dengan menjaga kesihatan. Pendidikan awal perlu dilakukan di peringkat Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) dengan memasukkan ia sebagai silibus hingga ke peringkat universiti. Sebenarnya sebelum ini kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sudah melakukan pelbagai inisiatif melaksanakan kempen kesedaran. Kempen itu dapat mengurangkan 30 peratus pesakit diabetes walaupun angka 17.5 peratus masih tinggi.
“Membudayakan’ gaya hidup sihat seharusnya dijadikan amalan terutama kepada generasi muda,” katanya.
Kebanyakannya pesakit kronik gagal disembuhkan apabila hanya mendapatkan rawatan pada saat akhir selepas gagal menggunakan kaedah alternatif.
“Pesakit datang mendapatkan rawatan selepas luka pada anggota badan sudah bernanah dan berulat. Jenis kuman yang menyerang sangat agresif jika tidak dicuci setiap hari.
“Darah pesakit diabetes tidak sama dengan orang biasa kerana saluran sudah sempit, imunisasi ketahanan badan tidak kuat memudahkan kuman menyerang.
“Biasanya kuman diabetes pelbagai jenis, kami sudah buat kajian dalam masa setahun bagi menentukan setiap jenis kuman. Kami dapati pesakit diserang lebih daripada dua jenis kuman yang mungkin memerlukan masa untuk sembuh,” katanya.
INFO:
* Pesakit diabetes berisiko terkena serangan jantung membabitkan individu berusia kurang 50 tahun.
* 30 peratus pesakit kencing manis mendapat kegagalan jantung sepanjang hayat mereka.
* 10 hingga 15 peratus penyakit koronari menyerang individu berusia kurang 40 tahun.
* 45 peratus : penyakit koronari ada kencing manis (seorang dalam dua).
* Kiraan Indeks Jisim Badan (BMI) > Berat (kg) / (Tinggi (m) x Tinggi (m)
- BMI 18.5 - 25 : Berat berpatutan
- BMI 25 - 30 : Lebih berat badan
- BMI 30 - 35 : Obesiti
- BMI > 35 : Sangat obesiti.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.