Thursday, August 18, 2022

UMNO mula serang, hina badan kehakiman negara, kata peguam

agendaily.com
18/08/2022
Peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi, Muhammad Rafique Rashid Ali.
- Gambar Bernama

Seorang peguam bela dan peguam cara berpendapat tindakan dan kenyataan yang dibuat pemimpin UMNO berhubung rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan sekarang ini, adalah serangan dan penghinaan terhadap badan kehakiman.

Muhammad Rafique Rashid Ali seorang peguam Mahkamah Tinggi berkata propaganda UMNO bermula setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib memasukkan bukti baharu dan menangguhkan perbicaraan rayuan akhirnya.

“Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu pada Selasa lepas, tiada sebarang komen diberikan oleh UMNO. Malah ada juga desas-desus menyatakan UMNO terpaku kerana ‘raja media sosial/FB’ mereka gagal dalam langkah terakhirnya.

“Namun, semalam propaganda UMNO telah bermula. Kepimpinan tertinggi UMNO melalui Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda telah membuat kenyataan-kenyataan yang boleh dianggap mempersoal keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut,” katanya.

Muhammad Rafique mengingatkan bahawa Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah tertinggi negara dengan panel lima hakim itu pula bukannya calang-calang apabila diketuai sendiri Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata UMNO dan pimpinannya perlu sedar bahawa mahkamah dan badan kehakiman menjalankan tugas mengikut Perlembagaan Negara dan tidak berkiblatkan mana-mana parti atau personaliti politik, sebaliknya ia berasaskan undang-undang.

“Ianya tidak partisan. Dalam menjamin “Kedaulatan Undang-Undang”, mahkamah hanya membuat keputusan berdasarkan kepada fakta, keterangan dan peruntukan undang-undang yang ditampilkan di hadapannya.

“Ketiga-tiga pemimpin UMNO yang memberi kenyataan tersebut tiada latar belakang perundangan. Persoalannya: adakah mereka faham skop keputusan Mahkamah Persekutuan tempoh hari?

“Tanpa melihat jauh, cukuplah sekadar kita merujuk kepada dua alasan penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa. Kelima-lima hakim tersebut dengan jelas menyatakan merit sebenar rayuan masih belum diputuskan. Maknanya keputusan pada Selasa itu hanya berkaitan kononnya keterangan baharu serta penangguhan pendengaran rayuan,” katanya lagi.

Katanya pertuduhan terhadap Najib membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram dan di situlah rasional Mahkamah Persekutuan menolak permohonan pengemukaan bukti baharu tersebut.

“Sekiranya UMNO mudah lupa, sukacita diingatkan bahawa Najib adalah antara tertuduh yang memfailkan pelbagai permohonan paling banyak dalam sejarah undang-undang di Malaysia.

“Dalam tempoh empat tahun, Najib tidak pernah dihalang di pelbagai peringkat mahkamah untuk perkara tersebut. Penyembunyian fakta apa lagi yang wujud jika segala ruang dan peluang telah diberikan kepada Najib selama ini.

“Bukan itu sahaja, kalaulah UMNO tiba-tiba mendabik dada menyatakan perlu ada kesamarataan dan keadilan, wajarkah sehingga kini tertuduh-tertuduh lain dilihat tidak mempunyai keistimewaan sepertimana Najib perolehi selama ini sepanjang proses mahkamah?

“UMNO tidak perlu mempersoalkan integriti badan kehakiman yang menjadi tunjang kepercayaan rakyat. Kenyataan-kenyataan pimpinan UMNO boleh terjumlah kepada penghinaan kepada badan kehakiman dan juga kepada sistem semak imbang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-