Sunday, January 26, 2025

AMANAH seru ahli perangi ekstremisme dibawa PAS

bharian.com.my
Oleh Norzamira Che Noh 
bhnews@bh.com.my
- Januari 26, 2025 @ 4:46pm
Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara di Hotel KSL Esplanade, Klang. - NSTP / FAIZ ANUAR

KLANG: Semua ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) digesa memerangi ekstremisme yang dicanang segelintir individu yang mendakwa diri mereka sebagai ulama di negara ini.

Merujuk kepada PAS, Ahli Jawatankuasa Pusat AMANAH, Ridzwan Abu Bakar, berkata parti itu perlu melahirkan tokoh yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat.

Katanya, ahli AMANAH perlu menegaskan bahawa keputusan parti itu 10 tahun lalu untuk meninggalkan PAS dan membina budaya baharu adalah keputusan tepat.

"Mereka menggunakan status ulama untuk bertindak sesuka hati dan inilah situasi yang sedang kita hadapi dalam tempoh 10 tahun ini atau lebih awal daripada itu.

"Institusi ulama ini telah dikhianati apabila mereka dengan mudahnya meletakkan sesiapa saja dalam kalangan mereka yang memakai jubah, memakai serban.

"Inilah yang sedang kita hadapi iaitu satu keadaan yang menjadi pemula kepada apa yang kita perjuangkan iaitu melawan ekstremisme atau pemikiran hudud," katanya dalam ucapannya semasa Konvensyen Nasional Amanah 2024, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad, berkata AMANAH memperjuangkan Islam wasatiyah dan tepat dengan kehendak Rasulullah SAW.

"Ini keyakinan kita bahawa Islam tidak eksklusif, sebab itu kita meninggalkan PAS apabila mereka mengambil sikap yang semakin eksklusif dan mengambil pendirian takfiri," katanya.

Semalam, Khalid berkata PAS adalah parti ekstremis yang jelas mengeluarkan fatwa mengelirukan, dengan mendakwa warna sebenar PAS menjadi semakin jelas dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-