Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
24.1.25
Jabatan Imigresen Malaysia (Jim) menyerbu 10 lokasi klinik doktor warga asing di sekitar Kuala Lumpur dan menahan 10 warga Bangladesh yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat warga Bangladesh. FOTO Ihsan JIM
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, Jim bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan satu Operasi Khas di 10 lokasi sekitar Kuala Lumpur iaitu enam lokasi di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua lokasi Leboh Pudu dan satu lokasi di Jalan Silang semalam.
Menurutnya, operasi yang bermula pada jam 11.45 pagi oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai dari Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) Kementerian Kesihatan Malaysia Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Operasi turut dibantu oleh pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen Jafri Embok Taha, Pengarah Bahagian Perisikan Dan Operasi Khas Mohamad Anas Mohamad Dzarib, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM Mohd ZawawiAbdullah dan Timbalan Pengarah, Cawangan Perisikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM Mohd Azaruddin Jais.
"Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi premis perniagaan dan berjaya menahan 10 orang lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 31 hingga 50 tahun.
"Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orangtinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya.
Katanya, pasukan operasi Jim merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai RM800 dipercayai adalah hasil rawatan dan jualan ubat.
"Pihak KKM juga merampas sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.00.
"Warganegara asing ini juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan bahan Psikotropik) 1989, dan Peraturam 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.
Zakaria berkata, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warganegara Bangladesh yang tidak bertauliah dan mensasarkan warganegara Bangladesh sahaja.
"Ubat-ubatan yang dijual tidak berdaftar dan tanpa kelulusan KKM yang dibawa masuk oleh warganegara Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.
"Kegiatan ini berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa. Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan warganegara Bangladesh dan dipercayai telah beroperasi selama satu tahun.
"Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambahnya, manakala dua lelaki warganegara Bangladesh dan enam wanita tempatan diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Disiarkan pada: Januari 24, 2025 @ 11:59am
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.