Friday, January 24, 2025

Himpunan antirasuah: Saya tiada masalah, kata Anwar

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 24, 2025 3:19 PM
Di sebalik pelbagai kritikan dan cemuhan bahawa pihak berkuasa cuba menyekat perhimpunan antirasuah di Kuala Lumpur esok, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan sebaliknya.

Bernama melaporkan pengerusi Pakatan Harapan (PH), ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Pusat Islam UiTM Dengkil, sebagai berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan perhimpunan itu.
“Kita tak ada masalah, kerajaan boleh memberi kebenaran (untuk berhimpun), malah kebenaran sudah diberikan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

“Cuma ada tempat-tempat yang tidak diberi kebenaran untuk berhimpun. Tapi bagi saya tak ada masalah, buatlah, bantahlah rasuah.

“Kalau ada (himpunan lawan rasuah), saya tidak tolak usul, nak berhimpun, berhimpunlah,” katanya.

Anwar dan pemimpin PH tidak asing dengan protes jalanan, dengan menggerakkan puluhan ribu penyokong semasa era Reformasai, dan menyertai pelbagai demonstrasi lain, termasuk yang dianjurkan oleh Bersih.
Sebelum ini, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan esok, dengan alasan bahawa notis penganjur tidak lengkap kerana tidak mendapat persetujuan daripada pemilik dan penghuni lokasi berkumpul itu.

Saifuddin Nasution dan Menteri Perhubungan Fahmi Fadzil sebelum ini turut mempertahankan pendirian pihak berkuasa berhubung perkara itu.

Himpunan itu dijadualkan berlangsung esok di hadapan Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-