Wednesday, January 29, 2025

Negara Barat had jualan arak, Malaysia bebas?

harakahdaily.com
January 29, 2025
GEORGE TOWN: Isu berkaitan minuman keras yang dibangkitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, sangat mengecewakan banyak pihak khususnya umat Islam di negara ini.

Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadeer berkata, saranan agar status quo penjualan arak di premis di kawasan majoriti penduduk Islam kekal, juga dianggap tidak relevan.

“Malaysia bukan negara Barat. Kita mempunyai pelbagai kaum dan adat yang perlu dihormati. Bukannya yang tak minum tak perlu beli. Itu tak masuk akal.

“Dia (Kor Ming) perlu sedar, budaya minum arak tidak boleh diterima oleh sesetengah kaum dan agama,” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu Mohideen turut menzahirkan kebimbangan dengan kelonggaran itu akan memungkinkan para peniaga dibenarkan menjual segala barangan tanpa sekatan, termasuk yang mendatangkan ancaman kepada individu dan masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kor Ming perlu sedar, negara-negara Barat juga sudah mengambil tindakan untuk mengehadkan jualan arak secara terbuka.

Mengapa di Malaysia katanya, tidak dilakukan perkara sama, sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam.

“Kebebasan menjual arak di semua tempat boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial, termasuk remaja bawah umur yang mungkin terdedah kepada tabiat meminum arak tanpa kawalan.

“Tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak di bandar itu, adalah tindakan yang baik dan sewajarnya Menteri KPKT tidak campur tangan dalam hal ini,” tegasnya lagi.

Tambah Mohideen, pihaknya juga berharap tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan budaya dan adat semua kaum di negara ini dihormati, apatah lagi yang membabitkan 3R (Agama, Raja, Kaum).

Justeru beliau mengharapkan isu itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mengambil langkah campur tangan bagi memastikan kawalan ketat terhadap penjualan minuman keras di negara dapat dilaksanakan.

“Langkah ini penting bagi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta mencegah masalah sosial yang lebih besar di masa hadapan,” katanya lagi. 

HARAKAHDAILY 29/1/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-