Thursday, February 13, 2025

'Cadangan menteri hal ehwal bukan Islam cuba sama ratakan agama'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 13, 2025 12:34 PM
Dewan Ulama PAS (DUPP) menyelar cadangan seorang ahli parlimen DAP supaya seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam dilantik.

Ketuanya, Ahmad Yahaya berkata, cadangan tersebut mencerminkan kepincangan pemahaman prinsip perlembagaan di kalangan pemimpin DAP, dengan menegaskan ia menjejaskan kedudukan Islam di Malaysia.

“Ia seolah-olah membenarkan usaha terancang untuk meletakkan kedudukan Islam yang sama rata dengan agama-agama lain di Malaysia.

“Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan. Namun, pengamalan agama-agama lain dibenarkan berdasarkan lunas perlembagaan,” kata yang juga adalah ahli Parlimen Pokok Sena dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Anggota Parlimen Raub, Chow Yu Hui, ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan supaya portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Katanya, dua menteri agama boleh membincangkan isu berkaitan secara lebih berkesan serta mengelakkan sebarang kontroversi tidak diingini.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan mengenai perpaduan negara yang akhir-akhir ini dikatakan semakin rapuh.

Antaranya, merujuk kepada beberapa insiden seperti kontroversi jualan KK Mart, isu penukaran agama, serangan bom petrol ke atas rumah pemimpin dan juga reaksi balas terhadap sambutan hari perayaan lain.

Ahmad berkata, cadangan terbaru itu menggambarkan bagaimana tahap pemikiran pemimpin utama DAP yang gagal memahami kerangka berperlembagaan.

“Sebelum ini pemimpin veteran DAP pernah membangkitkan mengenai perdana menteri dalam kalangan bukan Melayu disusuli cadangan untuk menambah keanggotaan pakar perlembagaan bukan Islam untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam.

“Apakah mereka mempunyai perancangan terancang untuk meminggirkan teras Melayu-Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan menguasai negara dengan agenda Malaysian Malaysia? Sedangkan hak bukan Islam sentiasa terjamin dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

Ahmad juga mendakwa DAP sebagai "abang besar" yang semakin besar kepala.

“Rakyat akan menghukum kerajaan hari ini kerana kegagalan mencegah rintang pemimpin ultra kiasu dalam kerajaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-