Thursday, February 13, 2025

Pemuda PAS bantah lantik menteri agama bukan Islam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 13, 2025 11:32 AM
Pemuda PAS Malaysia secara lantang menolak cadangan supaya seorang menteri bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam dilantik.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri, berkata cadangan itu dilihat sebagai dangkal dan tidak berpaksikan realiti Perlembagaan Persekutuan serta berpotensi menjejaskan keharmonian yang sudah lama terjalin antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
"Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa urusan hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam.

"Tiada keperluan untuk mewujudkan jabatan khas bagi hal ehwal bukan Islam di peringkat Persekutuan kerana urusan berkaitan agama-agama lain sudah pun ditangani dengan baik melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta pelbagai agensi lain yang menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira agama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Katanya, dua menteri agama boleh membincangkan isu berkaitan secara lebih berkesan serta mengelakkan sebarang kontroversi yang tidak diingini.

Mengulas lanjut, Mohd Hafez berkata, cadangan berkenaan tidak mengambil kira realiti keharmonian masyarakat Malaysia yang sudah lama hidup dalam suasana saling hormat-menghormati tanpa keperluan kepada struktur pentadbiran tambahan yang bersifat memecahbelahkan.

Katanya, usaha untuk menubuhkan jabatan khusus ini hanya akan membuka ruang kepada salah faham dan manipulasi politik yang tidak sihat.
"Malaysia sudah lama mengamalkan pendekatan integrasi melalui perpaduan di mana semua agama dan kaum diraikan dalam kerangka sedia ada yang inklusif dan menyeluruh.

"Penubuhan jabatan seperti itu di peringkat Persekutuan berisiko menimbulkan salah faham dan ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, selain boleh membuka ruang kepada manipulasi politik yang tidak sihat.

"Islam sebagai agama Persekutuan sudah diiktiraf dalam Perlembagaan dan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka juga dijamin. Maka, cadangan itu adalah tidak relevan dan tidak diperlukan," katanya.

Dia seterusnya mencadangkan kepas pemimpin DAP itu supaya memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, dan pembangunan ekonomi.
"Sebagai wakil rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara, bukan mencetuskan polemik yang tidak membawa manfaat," katanya.

Pemuda PAS juga mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengemukakan cadangan yang berpotensi menggugat keamanan dan perpaduan negara. Menurutnya, dengan pendekatan yang sedia ada, Malaysia telah lama menikmati suasana harmoni tanpa memerlukan perubahan struktur yang berisiko.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-