Diterbitkan: Feb 8, 2025 9:48 AM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh tidak bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa tiada keperluan untuk garis panduan baru bagi orang Islam menyertai acara di rumah ibadat bukan Islam.
Dalam catatan di media sosial, Akmal berkata garis panduan yang disediakan adalah untuk dijadikan sumber rujukan.
"Tidak semua orang tahu dan ada ilmu seperti yang kita tahu dan faham.
"Sama juga garis panduan peraturan jalan raya, ramai yang ada lesen sendiri pon masih tidak tahu undang-undang yang sedia ada, malah ada lagi yang memandu secara mabuk,” tambahnya.
Jelasnya, garis panduan itu juga dapatkan dijadikan sebagai peringatan kepada orang Islam yang 'terlupa' apabila menghadiri majlis bukan Islam.
"Jadi garis panduan ini adalah sumber rujukan, bukan maksud tidak tahu, tetapi kadang-kadang kita terlupa dan garis panduan ini sebagai peringatan.
"Apa lagi garis panduan untuk orang Islam yang mana terpakai untuk orang Islam sahaja, yang bukan Islam tak perlu terlibat pun dan tidak perlu campur! Simple as that," katanya.
![](https://i.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/02/7aca5d0cd180042788dc236b86bd6be9.jpg)
Bercakap kepada pemberita semasa lawatannya ke kuil Hindu di Batu Caves bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Anwar berkata garis panduan itu tidak perlu kerana umat Islam tahu garis mereka.
"Macam saya datang hari ini (ke acara di Batu Caves), saya bukan masuk ke upacara agama. Gobind sering melawat masjid di kawasan dia, tapi dia tidak ke upcara agama,” katanya.
Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na'im Mokhtar mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru untuk acara yang melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan itu termasuk perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan orang Islam, dan acara itu mestilah tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Pengumuman itu mencetuskan kontroversi dengan satu pihak menyifatkannya sebagai dasar yang mengundang perpecahan, manakala satu pihak lagi menggesa orang bukan Islam supaya tidak mempolemikkan isu berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.