February 7, 2025
Mengenai garis panduan sambutan perayaan agama bukan Islam
Afnan Hamimi Taib Azamudden
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mempertikaikan pendirian kerajaan berhubung Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Garis panduan ini yang berpandukan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bertujuan memastikan akidah umat Islam terpelihara di samping mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Menurutnya, kenyataan bersama dua kementerian mengenai isu ini menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana kerajaan menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan serta peranan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan badan autoriti yang memberi panduan kepada umat Islam dalam isu-isu berkaitan akidah dan amalan agama.
“Pengabaian terhadap keputusan badan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, malah berpotensi mencetuskan sensitiviti agama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, Pemuda PAS Malaysia menuntut agar kerajaan menyatakan secara jelas pendirian rasmi mereka terhadap garis panduan ini dan menjelaskan mengapa ia tidak dijadikan sebahagian daripada dasar negara.
Selain itu, katanya kerajaan perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri untuk melaksanakan fatwa dan garis panduan tanpa campur tangan politik.
“Pemuda PAS Malaysia juga mahu dialog terbuka dan berstruktur antara kerajaan, pihak berkuasa agama, serta badan bukan kerajaan diadakan bagi memastikan sensitiviti agama dihormati dan prinsip Islam terus dijunjung dalam pentadbiran negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu dihormati dan dipertahankan dalam setiap dasar serta tindakan kerajaan demi memastikan kedaulatan Islam terpelihara, tanpa menjejaskan keharmonian negara.
– HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.