Oleh MOHD YUNUS YAKKUB
26 Februari 2025, 12:15 pm
Amirudin dan Muhammad Sanusi ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI
SHAH ALAM -” Hanya kemaafan ku pinta”
Demikian kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung penyelesaian secara baik berhubung kes saman RM10 jutanya terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md. Nor di Mahkamah Tinggi hari ini.
Amirudin menegaskan, permohonan maaf itu adalah selaras dengan permintaan awalnya terhadap Muhammad Sanusi berhubung projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
“Hanya kemaafan yang ku pinta dan akhirnya kemaafan itu dibuat.
“Saya berasa bersyukur sebab beberapa perkara yang sebutkan itu telah terbukti tidak mempunyai asas yang kukuh.
“Ini kali kedua selepas seorang lagi, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) memohon maaf kepada SMG beberapa hari lepas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding hari ini.
Menurut beliau, penyelesaian secara baik ini juga menunjukkan politik lebih sihat dengan semua pihak harus beringat dan berhati-hati terutama dalam menyampaikan fakta dan perkara berkaitan
“Ini perlu mengelakkan sebarang kekeliruan kepada masyarakat. Hakikatnya, perkara ini berpanjangan yang tidak kesudahan dan sewajarnya memberikan pengajaran kepada semua,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi menzahirkan rasa syukur apabila kes berkenaan berjaya diselesaikan secara baik dengan membaca permohonan maaf dalam mahkamah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor telah bersetuju menyelesaikannya tanpa sebarang bicara.
“Kalau tidak kena mai pulak. Saya sudah dua tahun ulang mai mahkamah ini,” katanya.
Ketika ditanya adakah ini menjadi pengajaran kepada dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa depan, beliau menjelaskan perkara itu adalah untuk semua orang.
“Bukan untuk saya seorang (tetapi) untuk semua orang. Siapa cakap tak betul, kita saman. Saya pun ada saman orang juga,” katanya.
– KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.