Wednesday, February 26, 2025

Khutbah ‘dikuasai DAP’: Laporan polis dibuat pada pemimpin PAS

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 12:02 PM
Satu laporan polis dibuat terhadap seorang pemimpin akar umbi PAS Perak kerana mendakwa khutbah dikawal di negeri “yang dikuasai DAP” itu.

Laporan polis itu dibuat oleh bekas exco Perak dan bekas pemimpin Amanah Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ipoh petang semalam.

Amanah Hasnul, bekas ketua Pemuda Amanah, dalam laporannya berkata kenyataan Yang Dipertua PAS Kawasan Gerik Khalit Hassan itu bersifat fitnah dan hasutan.

Hasnul Zulkarnain berkata ia merupakan tuduhan jahat yang menyasarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bawah naungan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Malah, katanya, Sultan Nazrin sendiri menyuarakan rasa dukacita dengan perbuatan khatib yang enggan membaca membaca teks khutbah yang disediakan.

“Kenyataan ini jelas bertujuan untuk menghasut rakyat, khususnya ahli PAS, dengan mendakwa secara palsu bahawa teks khutbah di negeri Perak dikuasai oleh parti DAP.

“Tindakan ini telah merendahkan institusi kesultanan dan Jabatan Agama Islam Perak,” katanya.
Khalit didakwa mengeluarkan kenyataan itu semalam dan disiarkan secara langsung di TikTok. Setakat ini belum jelas ucapan itu dibuat di mana dan dalam acara apa.

Rakaman itu kini dikongsi di platform lain seperti Facebook.

Malaysiakni sedang cuba mendapatkan penjelasan Khalid berkaitan perkembangan ini.

Amanah Hasnul berkata perbuatan itu adalah kesalahan bawah Seksyen 3(1)(a)Akta Hasutan 1948, berkaitan kecenderungan menghasut untuk membawa kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Dia juga berkata dia turut menjadi kesalahan bawah Seksyen 3(1)(f) akta yang sama berkaitan tindakan mempersoalkan perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak istimewa yangdilindungi.

Selain itu, katanya, tuduhan ini juga disifatkan fitnah bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh menjejaskan reputasi institusi agama negeri.

Dua minggu lepas, empat imam Perak digantung tugas dan ditahan elaun kerana tidak membaca khutbah Jumaat JAIPk.

Khutbah pada 31 Jan memberi amaran kepada umat Islam supaya tidak melakukan fitnah.

Kebetulan ia dikeluarkan beberapa hari selepas Ketua Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria membuat dakwaan tidak berasas bahawa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai anak pengasas YTL Group, Yeoh Tiong Lay.

Anak Razman Rif'aat Razman, yang juga anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS Perak, mempersoalkan di Facebook sama ada khutbah itu ditujukan kepada ayahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-