Oleh Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
- Februari 27, 2025
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim
JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera terhadap kilang beras, pemborong dan peruncit yang didakwa mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import seterusnya menjualnya pada harga lebih tinggi.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tidak perlu menunggu pindaan Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 (Akta 522) dibentangkan di Parlimen untuk bertindak terhadap kilang, pemborong dan peruncit yang terbabit.
"Saya mengesyorkan kepada dua menteri ini supaya tidak bertangguh lagi dalam mengambil tindakan terhadap kilang-kilang beras, pemborong dan peruncit yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import, lalu menjualnya pada harga tinggi sebagai beras import.
"Ini kerana hasil analisis saintifik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membuktikan terdapat perbezaan DNA antara beras putih tempatan dan beras putih import, sekali gus memberi asas kukuh untuk siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang menipu pengguna.
"Kementerian berkaitan perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap kartel yang menipu rakyat selama lebih dua tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan, analisis MARDI mendapati antara 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras adalah campuran beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).
Sampel beras dianalisis MARDI itu diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia dan Beras serta KPDN, yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya.
Analisis itu dilaporkan bagi mengesahkan dakwaan banyak pihak sebelum ini ada kegiatan mencampur BPT dan BPI dipercayai untuk mengaut keuntungan berlebihan.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak, dilaporkan berkata analisis itu menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras yang dilaksanakan sepanjang 2023 dan 2024.
Mengulas lanjut, Hasaan menegaskan bahawa kerajaan boleh menggunakan beberapa akta sedia ada untuk menyiasat, menahan dan mendakwa pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.
Katanya, ia membabitkan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730); Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Makanan 1983.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.