Showing posts with label kartel. Show all posts
Showing posts with label kartel. Show all posts

Thursday, February 27, 2025

Kerajaan digesa segera bertindak terhadap kartel beras tipu rakyat

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh 
farid_noh@bh.com.my
- Februari 27, 2025
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera terhadap kilang beras, pemborong dan peruncit yang didakwa mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import seterusnya menjualnya pada harga lebih tinggi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tidak perlu menunggu pindaan Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 (Akta 522) dibentangkan di Parlimen untuk bertindak terhadap kilang, pemborong dan peruncit yang terbabit.

"Saya mengesyorkan kepada dua menteri ini supaya tidak bertangguh lagi dalam mengambil tindakan terhadap kilang-kilang beras, pemborong dan peruncit yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import, lalu menjualnya pada harga tinggi sebagai beras import.

"Ini kerana hasil analisis saintifik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membuktikan terdapat perbezaan DNA antara beras putih tempatan dan beras putih import, sekali gus memberi asas kukuh untuk siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang menipu pengguna.

"Kementerian berkaitan perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap kartel yang menipu rakyat selama lebih dua tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, analisis MARDI mendapati antara 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras adalah campuran beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

Sampel beras dianalisis MARDI itu diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia dan Beras serta KPDN, yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya.

Analisis itu dilaporkan bagi mengesahkan dakwaan banyak pihak sebelum ini ada kegiatan mencampur BPT dan BPI dipercayai untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak, dilaporkan berkata analisis itu menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras yang dilaksanakan sepanjang 2023 dan 2024.

Mengulas lanjut, Hasaan menegaskan bahawa kerajaan boleh menggunakan beberapa akta sedia ada untuk menyiasat, menahan dan mendakwa pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.

Katanya, ia membabitkan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730); Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Makanan 1983.

Sunday, October 8, 2023

Harga padi turun RM500, adakah pihak berkuasa tunduk kepada kartel?

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my
Oktober 8, 2023 @ 2:25pm
Hampir 200 pesawah berkumpul di Kampung Lahar Budi, Alor Setar bagi mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dikekalkan pada harga RM1,700 setan. - Foto NSTP/Ahmad Mukhsein Mukhtar

ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa kemungkinan berlaku campur tangan kartel dalam menentukan harga belian padi sehingga menyebabkan harga turun kepada RM1,200 satu tan ketika ini.

Pengerusi PeSAWAH, Mohd Fuad Yaacob, berkata adalah mengejutkan apabila harga belian padi di kilang pada RM1,700 setan secara tiba-tiba diarahkan turun kepada RM1,200 mulai 3 Oktober lalu.

Jelasnya, perkara itu adalah bertentangan kenyataan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood pada September lalu, yang mengarahkan pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) membeli padi pada harga RM1,600 setan.

"Dalam pertemuan Azman bersama wakil peladang, pengilang, wakil BERNAS, petani, pengeluar benih padi sah dan agensi pertanian di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), beliau mengarahkan BERNAS beli padi pada harga RM1,600 setan.

"Disebabkan itu kami berpendapat penurunan harga padi kepada RM1,200 ini berkemungkinan arahan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras. ...adakah ini menunjukkan pihak berkuasa itu tunduk kepada kartel padi?" katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu hampir 200 pesawah berkumpul di Kampung Lahar Budi di sini, bagi mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dikekalkan pada harga RM1,700 setan.

Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata, harga belian itu harus dikekalkan pada musim menuai tahun ini bagi mengelak ada pesawah berasa teraniaya kerana ada antara mereka sempat menjual pada harga RM1,700 sedangkan ada yang belum sempat menuai tanaman.

Selepas musim ini, kerajaan mungkin boleh menetapkan harga lantai belian padi pada harga sekurang-kurangnya RM1,500 dan mengelak berlakunya permainan harga yang dikatakan dikawal pihak tertentu.

"Suatu kajian mengenai harga siling beras tempatan yang ditetapkan pada RM26 sekilogram perlu dibuat kerana harga itu ditetapkan 10 tahun lalu dan tidak lagi sesuai digunakan mengikut keadaan semasa ketika ini.

"Begitu juga harga belian padi RM1,200 akan kekal 10 tahun lagi sedangkan kos pengeluaran padi semakin naik. Disebabkan itu saya merayu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berbincang bersama pemegang taruh dan berunding demi masa depan pesawah," katanya.

Sementara itu, EXCO Tugas Tugas Khas PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, berkata majoriti pesawah kecewa dengan kecelaruan dalam industri padi dan beras negara yang dianggap mencapai tahap kronik serta gila ketika ini.

Katanya, belum lagi selesai isu 'kehilangan' beras putih tempatan (BPT) di pasaran akibat eksploitasi di peringkat kilang dan borong, harga belian padi pula jatuh mendadak daripada sekitar RM1,700 beberapa bulan lalu, kepada harga minimum RM1,200 dalam masa beberapa hari.

"Ini jelas menunjukkan keadaan bekalan beras dan harga padi yang tidak normal atau wujud campur tangan kartel? Pesawah semakin tersepit apabila semua kos untuk menanam padi naik sejak kenaikan harga padi seperti harga benih, jentera dan sewaan bendang.

"Maka penurunan harga padi sudah tentu menyebabkan kerugian besar tanpa diduga. Punca utama masalah ini ialah mekanisme harga kawalan yang sudah tidak sesuai kerana tidak dikaji sejak 2008.

Sudah tiba masanya harga siling BPT dinaikkan daripada RM2.60 sekilo kepada RM3.50 dan harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,200 setan kepada RM1,500.
Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jerlun, Mohs Sobri Osman, 60, (tengah ) melahirkan rasa tidak puas hati dengan penurunan drastik harga padi daripada RM1,700 per tan kepada RM1,250 per tan di Kampung Kuar Jawa, Jerlun, semalam. - foto BERNAMA
Pada 4 Oktober lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pesawah masih mendapat RM1,700 setan bagi harga jualan padi memandangkan kerajaan kekal memberikan subsidi RM500 bagi setiap tan padi.

Insentif Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 setan kepada pesawah tetap diteruskan dan kerajaan hanya meletakkan harga lantai belian padi oleh pengilang, iaitu pada kadar RM1,200 setan sejak 2014.

"Ini bermakna pihak kerajaan hanya meletakkan harga minimum belian padi, manakala pihak pengilang bebas untuk meletakkan harga belian mereka sendiri tetapi mestilah tidak kurang daripada harga lantai yang ditetapkan.

"Namun begitu, kerajaan masih memberi insentif Skim Subsidi Harga Padi sebanyak RM500 satu tan kepada pesawah dan menjadikan setiap pesawah akan mendapat RM1,700 satu tan walaupun pengilang meletakkan harga padi pada kadar harga lantai," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-