Showing posts with label Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Show all posts
Showing posts with label Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Show all posts

Thursday, February 27, 2025

Kerajaan digesa segera bertindak terhadap kartel beras tipu rakyat

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh 
farid_noh@bh.com.my
- Februari 27, 2025
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera terhadap kilang beras, pemborong dan peruncit yang didakwa mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import seterusnya menjualnya pada harga lebih tinggi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), tidak perlu menunggu pindaan Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 (Akta 522) dibentangkan di Parlimen untuk bertindak terhadap kilang, pemborong dan peruncit yang terbabit.

"Saya mengesyorkan kepada dua menteri ini supaya tidak bertangguh lagi dalam mengambil tindakan terhadap kilang-kilang beras, pemborong dan peruncit yang mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import, lalu menjualnya pada harga tinggi sebagai beras import.

"Ini kerana hasil analisis saintifik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membuktikan terdapat perbezaan DNA antara beras putih tempatan dan beras putih import, sekali gus memberi asas kukuh untuk siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang menipu pengguna.

"Kementerian berkaitan perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap kartel yang menipu rakyat selama lebih dua tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, analisis MARDI mendapati antara 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras adalah campuran beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

Sampel beras dianalisis MARDI itu diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia dan Beras serta KPDN, yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya.

Analisis itu dilaporkan bagi mengesahkan dakwaan banyak pihak sebelum ini ada kegiatan mencampur BPT dan BPI dipercayai untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak, dilaporkan berkata analisis itu menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras yang dilaksanakan sepanjang 2023 dan 2024.

Mengulas lanjut, Hasaan menegaskan bahawa kerajaan boleh menggunakan beberapa akta sedia ada untuk menyiasat, menahan dan mendakwa pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.

Katanya, ia membabitkan Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730); Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Makanan 1983.

Wednesday, February 26, 2025

50 peratus dari 5,000 sampel beras import dicampur beras tempatan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 4:26 PM
Pusat Penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa telah dicampur beras putih tempatan.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Mardi, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, berkata kajian tersebut dijalankan dengan menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh membezakan antara beras putih tempatan dan import.

“Sebanyak 5,000 sampel diambil secara rawak dari 55 kampit beras yang dirampas. Setiap satu kampit beras, sebanyak 95 sampel telah diambil.

"Dalam tempoh antara tiga dan lima hari, kita boleh buat analisis ke atas 950 sampel,” katanya pada sidang media di Serdang hari ini.

Mohd Shahril Firdaus berkata tempoh kajian bermula penghujung 2023 dan berterusan sehingga Mac 2024 iaitu sejak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mewujudkan Pasukan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan untuk mengenal pasti rantaian beras putih tempatan.

“Laporan kajian kami serahkan kepada pihak berkuasa yang menghantar sampel kepada kami iaitu Kawalselia Padi Beras (KPB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Menurut Mohd Shahril Firdaus, 10 varieti padi bersubsidi termasuk MR303, MR307, MR315, Padi Putra 1 dan Padi Putra 2 dijadikan sebagai penjujukan kajian.

Katanya kajian menggunakan teknologi berkenaan dilaksanakan susulan permintaan pihak berkuasa seperti KPB dan KPDN yang bertanggungjawab melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan.

Untuk rekod, KPDN menerima 47 aduan berkaitan isu berkenaan termasuk dipercayai campuran beras tempatan dengan beras import sepanjang tempoh pelaksanaan Op Jamin yang berlangsung antara 7 Julai hingga 2 Sept 2023.

Pada 9 Okt lalu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan akan memperkenalkan peraturan melarang campuran beras putih tempatan dengan beras putih import sebagai antara strategi utama menyelesaikan isu kekurangan beras putih tempatan.

- Bernama

Saturday, February 22, 2025

Harga kelapa, santan segar di Negeri Sembilan naik hingga 50 peratus - KPDN

bharian.com.my
Oleh Ahmad Hasbi 
bhnews@bh.com.my
- Februari 22, 2025
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan harga kelapa dan santan di pasar utama seluruh Negeri Sembilan, semalam. - FOTO IHSAN KPDN

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan mengingatkan pengguna segera melaporkan jika mengesan kenaikan ketara harga kelapa dan santan.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pemeriksaan harga kelapa dan santan di pasar utama seluruh di negeri ini, semalam, mendapati bekalan kelapa serta santan masih ada, tetapi terdapat kenaikan harga yang ketara.

Beliau juga menasihatkan pengguna menggunakan kuasa beli masing-masing dan menggalakkan menggunakan aplikasi Price Cather bagi membuat perbandingan harga.

Ini berikutan, tinjauan mendapati terdapat kenaikan harga kelapa, santan dan kelapa parut berbeza bagi setiap kawasan di seluruh daerah dengan harga sebiji kelapa sebelum ini dijual sekitar RM2 naik kepada RM4, manakala santan naik kepada RM20 sekilogram dari RM10 sekilogram dan harga kelapa parut naik kepada RM11 sekilogram dari RM7.50.

"Peningkatan harga kelapa dan santan segar sekilogram (kg) bermula sejak November 2024 disebabkan oleh beberapa faktor utama.

"Kekurangan bekalan kelapa akibat perubahan cuaca dan musim yang tidak menentu mengurangkan pengeluaran, sementara permintaan yang tinggi sukar dipenuhi.

"Harga kelapa import dari Indonesia yang meningkat dan pengurangan pengeluaran kelapa tempatan menyebabkan stok pembekal berkurangan," katanya, hari ini.

Muhammad Zahir berkata, sejak November 2024 hingga bulan ini permintaan tinggi diikuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Thaipusam memberi impak kepada harga bahan makanan itu di pasaran.

Selain itu, katanya, faktor kos pengangkutan yang tinggi dan kos sampingan yang meningkat turut mempengaruhi harga jualan.

"Peniaga melaporkan bahawa kos bekalan kelapa dan santan yang semakin mahal mendorong mereka untuk menaikkan harga jualan," katanya.

Beliau berkata, KPDN Negeri Sembilan akan terus memantau harga produk kelapa dari masa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan terhadap harga yang ditetapkan.

Sunday, February 16, 2025

Menteri: Sandwic ham di KK Mart tiada DNA babi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 16, 2025 6:31 PM
Sandwic ham and cheese yang dijual di kedai KK Mart dan menimbulkan kontroversi Jan lalu didapati tidak mengandungi daging babi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata hasil ujian makmal yang diterima pada 20 Jan lalu mengesahkan tiada DNA babi dalam sandwic tersebut.

Bagaimanapun, dia berkata syarikat pengeluar sandwic itu dan pengarahnya menghadapi 14 pertuduhan berkaitan penggunaan logo halal tanpa kebenaran.

"“Kami merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 23 Januari dan pendakwaan dibuat keesokan harinya.

“Proses ini berjalan pantas untuk memastikan keadilan dan ketelusan,” katanya seperti dilaporkan Sabah Media hari ini.

Armizan menjawab tuduhan bahawa kementeriannya lambat bertindak terhadap kontroversi tersebut.

Pada 10 Jan lalu, sebuah kumpulan pelajar Universiti Malaya menerbitkan video yang menimbulkan keraguan sama ada sandwic ham and cheese yang dijual di kedai KK Mart dalam kampus tersebut halal.

Ini membawa kepada serbuan ke atas kilang pengeluar sandwic tersebut, manakala sampel produk itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk diuji.

Video itu menimbulkan tanda tanya berhubung penggunaan logo halal dan produk ham yang dijual di negara ini.

Mereka yang membantah jualan produk berkenaan berkata ham pada asalnya diperbuat daripada daging babi, manakala ham daripada daging haiwan lain seperti ayam atau ayam belanda perlu dilabelkan dengan betul.

Shake and Bake Cafe Sdn Bhd - syarikat yang membuat sandwic tersebut - dilaporkan mendakwa ham ayam yang digunakan dalam sandwic itu mempunyai sijil halal.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata syarikat itu tidak mempunyai sijil untuk menggunakan logo halal pada bungkusan sandwic tersebut.

Shake and Bake Cafe dan pengarah urusannya, Ewe Sarn Yeun, kini sedang dibicarakan berkaitan penyalahgunaan logo halal.

Saturday, October 5, 2024

1,165 aduan minyak masak dalam lapan bulan

kosmo Online
Oleh MOHD YUNUS YAKKUB
5 Oktober 2024, 8:43 am
SEBANYAK 1,037 aduan melibatkan bekalan minyak masak peket diterima KPDN sepanjang tempoh lapan bulan tahun ini.

SHAH ALAM – Aduan berkaitan minyak masak peket terus me­ningkat dengan 1,165 aduan direkodkan dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Ketua Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,037 aduan berhubung isu bekalan, manakala 128 lagi berkaitan isu harga.

Katanya, ia berbeza dengan aduan direkodkan pada 2022 iaitu 521 aduan, manakala pada tahun lalu pula sebanyak 954 aduan.

“Aduan kategori bekalan meliputi ketiadaan dan kekurangan di premis tertentu selain peniaga enggan menjual, menyorok dan menjual minyak masak peket tanpa lesen.

“Bagi kategori harga pula, ia melibatkan minyak masak peket yang dijual lebih tinggi daripada ditetapkan iaitu RM2.50 sepeket,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, statistik penguatkuasaan menunjukkan sebanyak 371 kes direkodkan dari 1 Januari hingga 22 September lalu.

Lima negeri yang menca­tatkan kes tertinggi adalah Kelantan (66 kes), Selangor (47 kes), Perak (42 kes), Sabah (32 kes) dan Johor (29 kes) sepanjang tempoh yang sama

“Berbanding tahun lalu, kita merekodkan sebanyak 288 kes dengan negeri paling tinggi adalah Sabah (76 kes) diikuti Kelantan (69 kes), Sarawak (23 kes), Perak (20 kes) dan Pulau Pinang (20 kes),” jelasnya.

Azman menjelaskan, seramai 135 individu termasuk 17 wanita berusia 25 hingga 73 tahun ditahan sejak 1 Januari 2023 sehingga 22 September lalu atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan -Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Sejumlah 990 kertas siasatan berkaitan minyak masak dibuka bermula 2021 hingga tahun ini.

“Seramai 31 individu telah dituduh di mahkamah yang membawa hukuman termasuk penjara dan denda keseluruhan RM541,240 di bawah kesalahan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” tegasnya.

Sunday, June 16, 2024

'Harga barang tak seharusnya naik dengan penyasaran subsidi diesel'

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Jun 16, 2024 7:00 AM
Penyasaran subsidi diesel tidak seharusnya mengakibatkan kenaikan harga barangan, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

Ameer berkata ini kerana pengusaha sektor logistik menerima subsidi diesel dan masih membayar harga bahan bakar itu pada kadar RM2.15 seliter.

“Harga barang tidak sepatutnya naik. Di Mydin sendiri kita minta fleet card pasal kita juga (terlibat dalam sektor) pengangkutan (atau logistik). Barang sampai di gudang di Shah Alam, kita pakai lori diesel juga hantar barang hari-hari tapi kita ada fleet card. Kita (masih) bayar (diesel pada harga) RM2.15 (seliter).

“Ramai tanya (harga) barang bila nak naik, saya kata kenapa nak naik sebab kos pengangkutan adalah sama. Jadi kadang-kadang peniaga ini ada yang ambil kesempatan (menaikkan harga barang) bila harga diesel naik,” katanya.

Ameer berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mydin Mart Pantai Dalam dan penyampaian sumbangan Aidiladha oleh Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil kepada penduduk di kawasan itu semalam.

Dia juga berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menetapkan bahawa peniaga tidak boleh menaikkan harga barang sesuka hati serta perlu memberikan justifikasi sebelum dibenar berbuat demikian.

“Sekarang ini, sebetulnya nak naikkan harga agak susah kerana KPDN ni naik harga 20 sen pun dia minta borang, dia tanya kenapa naik harga, dia kena periksa. Nak naik harga, borang tebal kena hantar kat dia (KPDN),” katanya.

-Bernama
View Synonyms and Definitions

Monday, March 18, 2024

Isu KK Mart: boikot boleh beri kesan besar pada produk, syarikat jadi sasaran - Penyelidik

hmetro.com.my
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my
KK Mart
Kuala Lumpur: "Saya berpandangan, pengguna terutama masyarakat Islam sudah belajar bahawa boikot memberi kesan besar terhadap produk serta syarikat yang diboikot".

Itu pandangan Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan berkaitan isu stoking tertera kalimah 'Allah' yang dijual di kedai serbaneka, KK Mart dan boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka itu sebagai tindak balas.

Beliau berkata, jika pengurusan KK Mart terlepas pandang berkaitan kawalan kualiti (QC) mengenai barangan dijual, ia boleh dimaafkan memandangkan kakitangan dalam pengurusannya juga ada yang beragama Islam.

"Tetapi, jika disengajakan, maka tindak balas dengan memboikot pasar raya itu tidak boleh diketepikan dan pada masa sama, pihak berkuasa juga perlu melakukan siasatan.

"Saya rasa, pihak berkuasa boleh tahu siapa yang mengeluarkan stoking itu, dapatkan punca mengapa ia dilakukan kerana apa yang berlaku dilihat sebagai sengaja," katanya.

Sementara itu, peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Dr Noorfajri Ismail berkata, bagi mencegah perkara sama seperti penghinaan terhadap kesucian agama Islam berulang, maka perlu penguatkuasaan yang lebih tegas.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bukan sahaja perlu melakukan tindakan rampas dan sita.

"Malah, ⁠KPDN perlu pinda undang-undangnya. Tahan pemilik dan nyah senarai syarikat kerana jelas ia menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) dengan terang-terangan menghina agama Islam," katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial berkaitan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta masyarakat supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

Disiarkan pada: Mac 18, 2024 @ 1:02pm

Thursday, March 14, 2024

Janganlah naik harga melampau

hmetro.com.my
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
Tinjauan harga makanan di Bazar Ramadan Putrajaya. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran keras kepada peniaga dan penjaja makanan bazar supaya tidak menaikkan harga melampau sempena Ramadan kali ini.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya melaksanakan Op Pantau di bazar seluruh negara sepanjang Ramadan ini bagi memastikan harga makanan tidak dijual secara melampau.

Untuk itu, katanya, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa akan digerakkan untuk memantau bazar di seluruh negara.

"Peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati.

"Laporan sebuah akhbar semalam (Isnin) mengatakan harga barang dunia sekarang turun, jadi tidak ada alasan menaikkan harga.

"Sekiranya didapati ada elemen mencatut, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai kenaikan harga kuih dan makanan tertentu di bazar Ramadan dilihat meningkat secara purata antara 10 hingga 20 peratus.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, melihat situasi semasa sudah pasti kenaikan harga makanan tidak dapat dielakkan pada Ramadan ini.

Namun katanya, kenaikan itu perlulah berpada-pada dan memberikan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

"Kalau tengok sekarang memang semua barang naik harga, pengguna pun faham jadi segelintir mereka lebih suka beli makanan siap sebab jimat masa dan tenaga memasak.

"Cuma kita minta peniaga dan penjaja terutama yang menjual makanan janganlah menaikkan harga terlampau tinggi sehingga menyebabkan orang marah.

"Selain itu, kerajaan juga berperanan penting mengawal kenaikan harga di peringkat pembekal supaya peniaga makanan dapat menjual pada harga berpatutan kepada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua peniaga dan penjaja sentiasa menjaga kualiti makanan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku seperti kes keracunan makanan.

"Saya nasihatkan supaya peniaga dan penjaja memastikan makanan berada dalam keadaan baik, bersih dan sedap untuk dimakan," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-