Wednesday, February 26, 2025

Pemuda PAS rancang demo besar-besaran bantah URA

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 26, 2025 
Pemuda PAS merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri berkata Rang Undang-Undang (RUU) itu bakal menyaksikan penduduk bandar- khususnya masyarakat Melayu Islam yang kurang berkemampuan - diusir dari tanah mereka.

Menyifatkan URA sebagai satu bentuk penjajahan moden, Mohd Hazez berkata strategi sama pernah digunakan untuk mengusir rakyat Palestin keluar dari tanah mereka suatu ketika dahulu.

"RUU ini secara tersiratnya akan menafikan suara minoriti, menggugat kestabilan sosio ekonomi, dan menindas hak-hak golongan tertentu.

"RUU ini juga dilihat menekan penduduk bandar, khususnya masyarakat Melayu yang kurang berkemampuan.

“Peruntukan undang-undang yang baru ini didapati memihak kepada pemaju yang berkepentingan atas nama pembaharuan semula bandar. Golongan minoriti akan tertindas. Mereka terpaksa keluar berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan.

"Kami amat bimbang, strategi yang digunakan untuk mengusir penduduk di Palestin satu masa dahulu akan berulang kembali.

“Penduduk asal akan berisiko kehilangan hak ke atas tanahnya sendiri. Ini seperti satu bentuk penjajahan moden dan ia mesti dihentikan!" katanya.

Justeru, kata Hafez, Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat, khususnya umat Melayu-Islam, untuk bersatu hati dalam membantah RUU berkenaan.

Menurutnya, sayap PAS itu akan terus berjuang bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan suara rakyat didengar dan hak mereka dipertahankan.

"Ayuh rakyat Malaysia, bersama kita bangkit dan nyatakan penolakan kita kepada agenda penjajahan moden yang bakal mengancam demografi bangsa dan nasib anak-anak kita," katanya.

Sebelum ini kerajaan dilapor bercadang membentangkan rang undang-undang itu pada bulan Jun atau Julai tahun ini.

Menerusi cadangan itu, kerajaan persekutuan berusaha menurunkan nilai ambang persetujuan pemilik hartanah sebelum sesuatu projek pembangunan dimulakan.

Pada masa ini, Akta Hakmilik Strata memerlukan badan pengurusan mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada pemilik hartanah sebelum sesuatu pembangunan semula dimulakan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-