February 26, 2025
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa pihak autoriti agama supaya mengambil langkah menegur Perdana Menteri yang menyandarkan pandangannya kepada dalil Al-Quran secara tidak tepat dan menyalahi disiplin tafsir Al-Quran.
“Kenyataan PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) jelas terdapat kekeliruan yang nyata. Maksud ‘umat yang terdahulu berpuasa’ dalam ayat Al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam.
“Umat Nabi Nuh AS juga disyariatkan berpuasa, begitu juga jalur kenabian daripada Nabi Ibrahim AS dan umat-umat yang lahir selepasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, ayat tersebut memberikan gambaran bahawa perintah berpuasa sudah ada sebelum disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
“Ia tidak boleh ditafsirkan bahawa golongan bukan-Islam juga berpuasa dengan disandarkan kepada ayat ‘umat terdahulu juga berpuasa’.
“Puasa yang diamalkan oleh golongan bukan-Islam sepertimana puasa 40 hari sebelum Hari Easter dalam ajaran Kristian, puasa orang Yahudi mahupun dalam agama Hindu tidak sama dengan ajaran tauhid yang terdapat dalam agama Islam.
“Malah, dalam konteks perubatan juga ada istilah berpuasa. Namun, persamaan ini hanya dari sudut literal, bukan dari sudut istilah pensyariatan.
“Justeru, menyandarkan maksud puasa tersebut dalam satu bakul semua agama berpuasa apatah lagi menggunakan ayat Al-Quran sebagai hujah adalah perbuatan yang tidak beradab,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya ingin menyatakan teguran kepada PMX di atas kekhilafan beliau yang menafsirkan ayat tersebut dan meletakkannya dalam konteks salah.
“Malah, sewajarnya pihak autoriti agama yang menasihati PMX sendiri seharusnya menangani salah faham ini sebelum ia terus merebak dan merosakkan pandang sisi masyarakat terhadap pensyariatan berpuasa,” katanya.
– HARAKAHDAILY 26/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.