Tuesday, February 18, 2025

Polis tahan penjual jagung, isteri berhubung notis rasis

malaysiakini.com
Hariz Mohd dan Haspaizi Zain
Diterbitkan: Feb 18, 2025 
Polis telah menahan seorang penjual jagung dan isterinya berhubung satu notis yang berunsur perkauman di Kota Warisan, Sepang, Selangor, yang mencetuskan kemarahan di media sosial dan dikutuk oleh pelbagai kumpulan.

Penjual yang sejak itu membuat permohonan maaf, dan isterinya ditahan semalam.

Dia yang dikenali sebagai Abdul Aziz Musa dilaporkan berkata, perbuatan itu sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India.

Walaupun penjual jagung itu yang kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, isteri warga Indonesia lelaki tersebut masih dalam tahanan kerana dokumen perjalanan yang tamat tempoh.
Hussein Omar Khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata penjual itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan, manakala isterinya dipanggil sebagai saksi.

"Kami sedang melengkapkan siasatan dan akan menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya tidak lama lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Hujung minggu lalu, satu rakaman video tular di media sosial selepas seorang penjaja tepi jalan didapati meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja yang digunakan untuk menjual jagung bakar.

Insiden tersebut dikatakan berlaku di Kota Warisan, Sepang dengan penjaja terbabit meletakkan notis yang berunsur rasis.

Video itu menjadi tular dan mengundang rasa berang pelbagai pihak yang mahu tindakan segera diambil.

Antara mereka, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang berkata, tindakan menghina antara kaum perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Adun Merlimau itu tindakan seumpama itu tidak boleh dibiarkan dengan hanya berakhir dengan memohon maaf sahaja.

“Tidak kira siapa pelakunya,tindakan undang-undang perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.

“Kalau tidak, budaya sebegini yang buat dulu lepas tu minta maaf akan semakin berleluasa dan semakin mudah golongan-golongan ini terlepas!” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-