Thursday, February 6, 2025

Reformasi menyeluruh selesaikan isu beras putih tempatan

hmetro.com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah merombak strategi melalui pelaksanaan reformasi menyeluruh dalam industri padi dan beras bagi menyelesaikan isu beras putih tempatan (BPT).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan itu dilakukan secara berfasa sejak Oktober 2024 yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.

"KPKM peka dan prihatin terhadap isu pembekalan BPT di pasaran yang mula timbul sejak pertengahan tahun 2023.

"Pelbagai pendekatan intervensi sudah dilaksanakan oleh KPKM bagi memastikan keberadaan bekalan BPT untuk memenuhi keperluan rakyat walaupun industri berdepan dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi kos dan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.

"Hasil daripada sesi libat urus dengan pemain industri, pengilang dan pemborong beras berdepan dengan kenaikan kos pengeluaran dan menghadapi kesukaran untuk menjual BPT pada harga kawalan maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan sejak tahun 2008, iaitu pada harga RM2.60 sekilogram," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai langkah kementerian bagi mengembalikan semula BPT ke pasaran tempatan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pada masa ini, perincian mengenai langkah yang bakal diambil mengenai BPT sedang dimuktamadkan dan akan dimaklumkan setelah mendapat persetujuan oleh kerajaan.

"KPKM turut membuat penilaian jangka pendek, sederhana dan panjang sekiranya langkah itu dilaksanakan bagi memastikan industri padi dan beras terus mampan dan berdaya saing.

"Justeru, KPKM memerlukan sedikit masa lagi sebelum satu penyelesaian tuntas dapat diumumkan kepada semua pihak.

"Diharapkan segala usaha yang sedang dilaksanakan mendapat sokongan daripada semua pihak demi kebaikan serta masa depan industri padi dan beras negara," katanya.

Disiarkan pada: Februari 6, 2025 @ 10:16am

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-