Thursday, February 6, 2025

Siapa DAPSY untuk campur tangan hal syariat Islam?

harakahdaily.com
February 6, 2025

Buka jalan kepada lebih banyak provokasi terhadap Islam?

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa kenyataan DAPSY membantah garis panduan kehadiran umat Islam ke majlis agama lain adalah satu bentuk campur tangan yang biadab dan tidak bertanggungjawab.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan mereka jelas menunjukkan keangkuhan serta kejahilan mereka dalam memahami kedudukan Islam di negara ini.

“Garis panduan yang ditetapkan bukanlah satu bentuk sekatan yang menindas, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.

“Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, dan segala keputusan berkaitan agama ini dibuat oleh pihak berautoriti seperti Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Siapa DAPSY untuk mempertikaikan hal ini? Apakah hak mereka untuk campur tangan dalam urusan umat Islam sedangkan mereka langsung tiada autoriti dalam perkara ini?” persoalnya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS tegasnya, tidak akan berdiam diri apabila ada pihak luar yang cuba menekan umat Islam dengan agenda liberal melampau.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, kenyataan DAPSY bukan sahaja memperlihatkan keangkuhan mereka, malah seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam di negara ini.

“Adakah mereka mahu membuka jalan kepada lebih banyak provokasi terhadap Islam? Atau mereka memang tidak pernah belajar dari kesilapan sebelum ini?” persoalnya.

Pemuda PAS juga katanya, ingin mengingatkan bahawa umat Islam tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menafikan hak umat Islam untuk menjaga kesucian agamanya.

Afnan berkata, sekiranya DAPSY benar-benar mahu bercakap soal keharmonian, mereka seharusnya menghormati garis panduan telah ditetapkan dan bukan sibuk mempertikaikan sesuatu yang bukan urusan mereka.

“Jika mereka masih berkeras, kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan Islam tidak diperkotak-katikkan oleh pihak yang berkepentingan politik.

“Cukup-cukuplah dengan sikap kurang ajar sebegini. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam di Malaysia. Kami akan terus mempertahankan agama ini walau apapun yang terjadi,” tegasnya. 

– HARAKAHDAILY 6/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-