Haspaizi Zain
Diterbitkan: Feb 6, 2025 9:00 AM
Seorang ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis mempertahankan tindakan pihak berkuasa agama negeri itu memberi ruang kepada Zakir Naik berceramah baru-baru ini.
Kata Rozaimi Ramle, hal ehwal agama Islam adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan ia diketuai oleh sultan, kecuali bagi negeri tertentu seperti Wilayah Persekutuan.
Menjelaskan perkara itu kepada Malaysiakini, Rozaimi berkata, ceramah dilakukan Zakir di Kangar baru-baru ini sudah mendapat kebenaran daripada Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.
"Isu (hal ehwal) agama terletak dalam kuasa kerajaan negeri," katanya.
Seorang ahli parlimen kerajaan semalam membangkitkan persoalan berkenaan Zakir ekoran tindakan pendakwah yang dikehendaki kerajaan India sejak 2016 itu dikatakan berceramah dalam satu program di Perlis.
“Saya ingin tanya kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) terutamanya kepada ketua polis negara, adakah larangan ini masih lagi berkuat kuasa?
“Kalau ia masih berkuat kuasa, baru-baru ini portal berita The Scoop melaporkan bahawa Zakir Naik telah membuat satu ucapan ataupun membuat dakwah terbuka dalam satu majlis di Kangar pada 2 Feb 2025.
“Sekiranya laporan ini benar, persoalan saya ialah, kenapa Zakir Naik tidak mematuhi larangan berucap dan berdakwah yang dikenakan ke atas beliau?” kata RSN Rayer pada sidang media di parlimen semalam.
Rozaimi yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj) selanjutnya berharap bidang kuasa itu dihormati oleh semua pihak khususnya orang bukan Islam.
"Saya harap ahli parlimen bukan Muslim jangan masuk campur urusan orang Islam," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.