February 5, 2025
KOTA BHARU: Keputusan kerajaan menaikkan tarif elektrik mulai Julai ini sebagaimana diumumkan, telahmendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk netizen yang mempertikaikan langkah tersebut.
Ramai juga yang menyebarkan semula ucapan beliau dan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, ketika berkempen dahulu iaitu berjanji menurunkan tarif elektrik.
Selain itu, beberapa pihak turut memberikan komentar yang bernas serta menyanggah penjelasan dikemukakan oleh Perdana Menteri mengenai dengan keputusan tersebut.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa, berkata, formula kenaikan yang diumumkan bukan sesuatu yang baru, sebaliknya ia pernah dibawa ke Kabinet ketika pentadbiran Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan antara yang pernah dipanggil untuk menghadiri perbincangan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.
“Namun, kami mengambil keputusan tetap menolak cadangan kenaikan itu,” katanya yang juga bekas Setiausaha Agung Umno, tetapi kini adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Beliau juga menganggap hujah Perdana Menteri yang mendakwa 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan adalah terlalu simplistik dan tidak menggambarkan realiti sebenar.
“Data 85 peratus pengguna yang menggunakan elektrik di bawah kadar tertentu tidak semestinya merujuk kepada kumpulan berpendapatan rendah.
“Ada golongan kaya dengan bil elektrik yang rendah kerana jumlah ahli keluarga kecil atau tinggal di kondominium mewah,” katanya menerusi kenyataannya di Facebook semalam
Sebaliknya tambah beliau lagi, terdapat keluarga berpendapatan sederhana dengan jumlah anak ramai serta aktiviti harian yang menyebabkan penggunaan elektrik tinggi, tetapi mereka bukan golongan mahakaya.
Selain itu beliau menegaskan, kenaikan tarif ini akan menyebabkan lonjakan kos barang dan perkhidmatan, terutama selepas peningkatan harga petrol dan diesel.
Menurutnya, kesan ini lebih terasa kepada golongan berpendapatan rendah, terutamanya mereka yang bekerja sendiri dan peniaga kecil yang memerlukan elektrik untuk operasi harian.
Beliau juga mengkritik jawapan Perdana Menteri di Parlimen kepada Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang dianggap sebagai satu penghinaan kepada rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
“Jawapan itu bukan sahaja memperlekehkan soalan daripada wakil rakyat, tetapi juga boleh dianggap sebagai penghinaan kepada kecerdasan rakyat umum.
“Ia bercanggah dengan janji dan retorik beliau (Perdana Menteri) sendiri sebelum ini,” bidasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan keuntungan besar yang dicatatkan oleh TNB meskipun tanpa kenaikan tarif sebelum ini.
“Bagaimana dalam keadaan tarif tidak dinaikkan sebelum ini, TNB tetap mencatat keuntungan lebih RM1 bilion? Jadi, dengan kenaikan 14 peratus ini, tidakkah ia hanya menjadikan TNB lebih kaya dan rakyat pula menanggung derita?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula keputusan tersebut dan mencari formula baru bagi mengatasi isu ini.
Annuar berkata, kerajaan terdahulu telah menolak cadangan ini dan kerajaan sekarang juga boleh melakukannya.
“Carilah formula baru yang tidak membebankan rakyat,” katanya.
– HARAKAHDAILY 5/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.