Diterbitkan: Mar 1, 2025
SPRM telah menyoal bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob di ibu pejabatnya selama lima jam pada 18 Feb, beberapa hari sebelum dia rebah di rumah dan dimasukkan ke hospital kerana hal berkaitan tekanan darah.
News Straits Times hari ini melaporkan ahli parlimen Bera itu disoal siasat berhubung siasatan perbelanjaan kerajaan untuk kempen promosi 'Keluarga Malaysia' sepanjang tempoh 14 bulan sebagai perdana menteri kesembilan.
Menurut laporan itu, Ismail Sabri dijangka dipanggil semula untuk siasatan lanjut, dan maklumat awal telah membawa penyiasat mengenal pasti empat bekas pembantunya sebagai orang berkepentingan yang perlu disoal siasat.
Pada 23 Feb, sehari selepas Ismail Sabri dimasukkan, dilaporkan empat pegawai yang dikaitkan dengannya direman - tiga ditahan selama lima hari bermula Jumaat, manakala individu keempat direman selama tiga hari dan dibebaskan pada 23 Feb.
Turut dilaporkan dalam serbuan SPRM di kediaman salah seorang bekas kakitangan Ismail Sabri pegawai penyiasat menemui lebih RM100 juta wang tunai dan barang berharga termasuk barang kemas dalam beg dan peti besi di beberapa bilik.
Sebelum ini, SPRM berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan sebarang penemuan termasuk nilai wang atau aset yang dirampas, namun tidak menolak kemungkinan memanggil saksi tambahan bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16A Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.