Thursday, March 6, 2025

PAS bukan anti-URA, tapi anti muslihat terselindung DAP

harakahdaily.net
March 6, 2025
Akta Pembaharuan Semula Bandar
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Iszuree Ibrahim mendedahkan kewujudan agenda DAP yang berselindung tersembunyi di sebalik Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

PAS tegas beliau, bukan antipembangunan mahupun anti-URA, tetapi antimuslihat DAP yang diselitkan dalam draf Rang Undang-undang (RUU) URA mahu dikemukakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya, peruntukan berkaitan ambang persetujuan penduduk daripada 100 peratus akan diturunkan kepada 80 peratus dan ke bawah dalam draf terbaharu RUU URA dicadangkan oleh Menteri KPKT daripada DAP.

“Maknanya jika flat atau pangsa berusia 30-40 tahun, telah usang dan perlu diroboh atau diperbaharui semula dan dibangunkan, maka golongan 20 peratus penduduk minoriti, apa kaum sekalipun di taman perumahan berstrata yang tidak setuju dengan tawaran pampasan, maka akan hilang hak.

“Mereka akan dipaksa terima apa saja tawaran atau kemungkinan akan diarah pindah ke kawasan, DUN atau Parlimen lain, yang secara demografi kependudukan dan polarisasi kaum, inilah muslihat politik ‘pecah dan perintah’ DAP terselit di sini,” jelasnya.

Kata beliau, walaupun cadangan penambahbaikan mengenai URA juga berlaku di era pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN), tetapi tidak menyentuh langsung had ambang persetujuan 100 peratus itu untuk diubah.

Sebaliknya terang Iszuree, perubahan dengan menurunkan had ambang dalam peruntukan draf terbaharu tersebut itulah agenda muslihat DAP yang ditentang bukan sahaja oleh PAS dan PN, tetapi juga badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Simpul beliau, URA dicadang PN adalah untuk meningkatkan lagi kualiti dan kesejahteraan hidup penduduk terlibat, tetapi URA dibawa DAP merisikokan kediaman penduduk dirampas secara sistematik dan menguntungkan pemaju kapitalis.

“Kaedah sebelum ini, pemaju perlu mendapat persetujuan 100 peratus daripada semua penghuni. Jika ada satu penghuni tak bersetuju atas sebab sebab tertentu seperti tawaran tidak setimpal, maka pemaju tiada hak meneruskan projek pembangunan atau pembaharuan.

“Kini DAP cari jalan melonggarkannya supaya persetujuan kepada (sekurang-kurangnya) 80 peratus dapat dicapai, maka nasib 20 peratus yang tidak setuju akan teraniaya atau kemungkinan dipindahkan terusir keluar dari penempatan di situ. Maka kaedah pecah dan perintah terlaksana.

“Di negara jiran selatan Johor telah mengunakan kaedah ini untuk pecah dan perintah di mana kuasa dan suara majoriti Melayu telah dikecilkan menjadi minoriti, malah parti orang Melayu telah lenyap hilang tidak kembali di Temasik (Singapura),” ujarnya. 

HARAKAHDAILY 6/3/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-