Showing posts with label Kementerian Perumahan dan Kerjaan Tempatan (KPKT). Show all posts
Showing posts with label Kementerian Perumahan dan Kerjaan Tempatan (KPKT). Show all posts

Thursday, March 6, 2025

PAS bukan anti-URA, tapi anti muslihat terselindung DAP

harakahdaily.net
March 6, 2025
Akta Pembaharuan Semula Bandar
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Iszuree Ibrahim mendedahkan kewujudan agenda DAP yang berselindung tersembunyi di sebalik Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

PAS tegas beliau, bukan antipembangunan mahupun anti-URA, tetapi antimuslihat DAP yang diselitkan dalam draf Rang Undang-undang (RUU) URA mahu dikemukakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya, peruntukan berkaitan ambang persetujuan penduduk daripada 100 peratus akan diturunkan kepada 80 peratus dan ke bawah dalam draf terbaharu RUU URA dicadangkan oleh Menteri KPKT daripada DAP.

“Maknanya jika flat atau pangsa berusia 30-40 tahun, telah usang dan perlu diroboh atau diperbaharui semula dan dibangunkan, maka golongan 20 peratus penduduk minoriti, apa kaum sekalipun di taman perumahan berstrata yang tidak setuju dengan tawaran pampasan, maka akan hilang hak.

“Mereka akan dipaksa terima apa saja tawaran atau kemungkinan akan diarah pindah ke kawasan, DUN atau Parlimen lain, yang secara demografi kependudukan dan polarisasi kaum, inilah muslihat politik ‘pecah dan perintah’ DAP terselit di sini,” jelasnya.

Kata beliau, walaupun cadangan penambahbaikan mengenai URA juga berlaku di era pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN), tetapi tidak menyentuh langsung had ambang persetujuan 100 peratus itu untuk diubah.

Sebaliknya terang Iszuree, perubahan dengan menurunkan had ambang dalam peruntukan draf terbaharu tersebut itulah agenda muslihat DAP yang ditentang bukan sahaja oleh PAS dan PN, tetapi juga badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Simpul beliau, URA dicadang PN adalah untuk meningkatkan lagi kualiti dan kesejahteraan hidup penduduk terlibat, tetapi URA dibawa DAP merisikokan kediaman penduduk dirampas secara sistematik dan menguntungkan pemaju kapitalis.

“Kaedah sebelum ini, pemaju perlu mendapat persetujuan 100 peratus daripada semua penghuni. Jika ada satu penghuni tak bersetuju atas sebab sebab tertentu seperti tawaran tidak setimpal, maka pemaju tiada hak meneruskan projek pembangunan atau pembaharuan.

“Kini DAP cari jalan melonggarkannya supaya persetujuan kepada (sekurang-kurangnya) 80 peratus dapat dicapai, maka nasib 20 peratus yang tidak setuju akan teraniaya atau kemungkinan dipindahkan terusir keluar dari penempatan di situ. Maka kaedah pecah dan perintah terlaksana.

“Di negara jiran selatan Johor telah mengunakan kaedah ini untuk pecah dan perintah di mana kuasa dan suara majoriti Melayu telah dikecilkan menjadi minoriti, malah parti orang Melayu telah lenyap hilang tidak kembali di Temasik (Singapura),” ujarnya. 

HARAKAHDAILY 6/3/2025

Thursday, February 27, 2025

PANDUANKINI | Akta Pembaharuan Semula Bandar - Apa kita tahu setakat ini?

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Feb 27, 2025 8:00 PM
Perdebatan hangat tercetus di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung rancangan kerajaan persekutuan untuk memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA).

Kerajaan menegaskan undang-undang baru itu perlu diwujudkan bagi membolehkan pembangunan semula kawasan perumahan lama dan usang di kawasan bandar, namun cadangan ini mendapat tentangan hebat daripada pemimpin pembangkang. Mereka berpendapat RUU tersebut bakal meminggirkan kaum tertentu, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Panduan Kini kali ini mengupas maklumat yang diketahui setakat ini mengenai URA.

Apakah URA?

URA ialah satu rang undang-undang baru yang masih dalam peringkat perancangan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyediakan draf rang undang-undang berkenaan dan kini sedang mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Rang undang-undang ini bertujuan memberi kuasa kepada jawatankuasa eksekutif persekutuan dan negeri untuk membangunkan semula serta memperbaharui bangunan atau tanah yang terbengkalai tanpa memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemiliknya.

Pada masa ini, Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 mensyaratkan "resolusi sebulat suara" daripada pemilik sebelum badan pengurusan boleh mengambil alih sebagai pemegang amanah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaharuan semula bandar.
URA sepatutnya menjadi undang-undang yang mengutamakan rundingan dan persetujuan pemilik berdasarkan prinsip keadilan, kesahihan dan keterangkuman, bukannya pengambilan paksa.

Mengapa kerajaan perkenalkan URA?

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) telah mengenal pasti 534 kawasan di Semenanjung yang berpotensi untuk pembaharuan emula bandar.

Daripada jumlah itu, 139 kawasan terletak di Kuala Lumpur, termasuk pangsapuri lama dan usang yang dianggap tidak selamat untuk didiami.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memetik saranan Jabatan Kerja Raya bahawa setiap bangunan hanya selamat untuk dihuni dalam tempoh 70 hingga 80 tahun.

Dia juga menyatakan bahawa URA akan membuka banyak peluang pelaburan, mengubah landskap bandar dan menjana ratusan bilion dalam nilai pembangunan kasar.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peruntukan undang-undang sedia ada yang memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik telah menghalang rancangan pembangunan semula, termasuk untuk bangunan yang sudah tidak sesuai didiami.

Sebagai contoh, Anwar menyebut Apartmen Desa Kudalari di Kuala Lumpur, di mana rancangan pembangunan tidak dapat dilaksanakan hanya kerana seorang pemilik menolak cadangan tersebut.

Bagaimana URA berfungsi?

Berdasarkan infografik PlanMalaysia, projek pembaharuan semula bandar terbahagi kepada tiga komponen utama:

Pembangunan Semula (Redevelopment) – Melibatkan perubahan struktur fizikal, termasuk membina semula, mengubah suai dan membaik pulih bangunan sedia ada.

Penjanaan Semula (Regeneration) – Bertujuan membaik pulih bangunan lama dan terbengkalai.
Penyegaran Semula (Revitalisation) – Menumpukan kawasan yang mengalami kemerosotan sosio-ekonomi akibat bangunan atau tanah yang usang.

Jika diluluskan, URA akan membolehkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan notis kepada pemilik atau penghuni lot yang terlibat dalam projek pembangunan bandar. Mereka kemudiannya perlu hadir untuk sesi perundingan dengan pihak berkuasa.

Bagi bangunan yang masih selamat untuk didiami, rang undang-undang ini mencadangkan ambang kelulusan ditetapkan pada 80 peratus untuk premis berusia bawah 30 tahun, manakala premis lebih lama hanya memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya 75 peratus pemilik.
Bagi premis yang tidak selamat dan terbengkalai, URA mensasarkan persetujuan majoriti mudah iaitu 51 peratus.

Apa yang pemilik akan dapat daripada URA?

Kerajaan menjanjikan pemilik akan mendapat manfaat daripada projek pembangunan bandar, termasuk peningkatan nilai hartanah mereka.

Menurut draf rang undang-undang, pihak berkuasa yang mengendalikan projek pembaharuan semula bandar mesti memastikan pemilik atau penghuni yang bersetuju dengan projek ini menerima tawaran yang "tidak kurang menguntungkan" daripada apa yang mereka nikmati sekarang.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pemilik tidak akan mendapat unit yang lebih kecil atau lebih murah daripada unit asal mereka.

"Maka syaratnya, tidak boleh murah daripada dulu, tidak boleh kecil daripada dulu. Itu prinsip prinsip yang dalam diterima pakai yang dibuat.

"Jika sekarang rumah mereka mempunyai satu bilik, mereka akan mendapat unit baru dengan sekurang-kurangnya tiga bilik. Itu syaratnya," kata Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di parlimen.
Berdasarkan maklumat PlanMalaysia, pemilik atau penghuni akan ditempatkan sementara di penempatan yang selesa sementara menunggu projek siap.

Siapa akan tanggung kos projek?

Setakat ini, tidak dinyatakan siapa yang akan menanggung kos projek pembaharuan semula bandar.

Namun, berdasarkan Seksyen 10(4) dalam draf rang undang-undang berkenaan, pihak berkuasa tempatan boleh menuntut perbelanjaan dan kos projek pembaharuan semula bandar daripada pemilik atau penghuni, dan ia boleh dituntut sebagai hutang kepada pihak berkuasa tempatan.

Maklumat mengenai URA masih terhad kerana draf rang undang-undang ini, yang mempunyai 20 halaman dalam versi bahasa Inggeris, baru sahaja didedahkan kepada umum.

Biasanya, kerajaan tidak mendedahkan draf rang undang-undang sebelum dibentangkan di Parlimen, tetapi dalam beberapa kes, butiran akan dikongsi semasa sesi perundingan dengan pihak berkepentingan.

Bantahan dan tuduhan terhadap URA

Cadangan pembentangan URA menerima tentangan hebat daripada pembangkang, terutamanya pemimpin Perikatan Nasional yang mendakwa undang-undang ini akan menafikan hak golongan minoriti.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda), menyifatkan rang undang-undang ini sebagai "akta merampas rumah" dan memberi amaran bahawa ia mungkin menguntungkan pemaju dengan mengorbankan golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pula mendakwa bahawa undang-undang ini adalah taktik halus untuk mengusir orang Melayu dan India berpendapatan rendah dari kawasan bandar.
Menurut Tuan Ibrahim, penduduk miskin mungkin tidak mampu untuk kembali ke kawasan yang telah dibangunkan semula kerana peningkatan harga hartanah, menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke luar bandar.

"Bila akta ini diluluskan, kawasan tersebut akan dibangunkan semula, mereka yang sebelum ini beli rumah dengan harga lebih RM100,000, mereka tak mampu beli balik rumah dengan harga lebih RM500,000," katanya dalam sidang media di Parlimen.

Dewan Pemuda PAS turut mengumumkan akan mengadakan perhimpunan bagi membantah URA, dengan menyifatkannya sebagai satu bentuk "penjajahan moden" yang akan mengusir golongan miskin dari tanah mereka seperti yang berlaku kepada rakyat Palestin.
Sebagai respons, Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang ini tidak akan memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengubah status pemilikan lot.

Anwar juga menegaskan bahawa URA tidak akan mengubah peratusan pemilikan bumiputera di sesuatu kawasan.

“Saya kata tadi, contoh flat Seri Perlis di Bandar Tun Razak, kalau sekarang 70 peratus peratus Melayu, (itu) kekal.

“Dalam RUU ini tidak ada langsung hak kita untuk pindahkan, soal pemilik asal tidak berbangkit sama sekali,” kata Anwar di parlimen.

Bila URA akan dibentangkan di parlimen?

Setakat ini, kerajaan belum mengumumkan tarikh pembentangan URA di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, menurut laporan media, Ketua Pengarah PlanMalaysia, Alias Rameli, menjangkakan ia mungkin dibentangkan sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini.

Dia juga menyatakan bahawa draf rang undang-undang itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan selepas perbincangan selesai, ia akan dikemukakan kepada kabinet antara April dan Mei.

Orang ramai juga boleh mengakses dan meneliti draf rang undang-undang dan dokumen lain yang berkaitan, termasuk dek pembentangan PLANMalaysia di URA, melalui laman web Perundingan Awam Bersepadu kerajaan.

Wednesday, February 19, 2025

URA: Melayu bakal hilang hartanah di dalam bandar

harakahdaily.com
February 19, 2025

Akta Pembaharuan Semula Bandar
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini menyatakan bantahan terhadap cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, akta itu berpotensi menyebabkan pemilik asal kehilangan hak terhadap hartanah mereka, selain membuka ruang kepada pemaju untuk mengambil alih kawasan bandar dengan lebih mudah.

“Akta ini mencadangkan had ambang persetujuan di dalam pengambilan hartanah milik rakyat di dalam kawasan bandar.

“Proses yang sebelum ini mengikut undang-undang yang ada dan memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik hartanah sebelum ia boleh dipersetujui untuk dijalankan pembangunan semula, manakala akta yang dicadangkan ini menjadi subjek pertikaian yang besar.

“Kini melalui persetujuan 51 peratus pun boleh dilaksanakan, secara umum 75 peratus. Hal ini menimbulkan beberapa perkara yang sangat mengancam kedudukan terutama sekali mereka yang berada di dalam kawasan bandar dari segi pendudukan mereka sendiri hak untuk berada di dalam kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini. (Foto atas)

Menurut beliau, sebanyak 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berkumpul di hadapan Parlimen hari ini bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

“Rata-rata NGO ini terdiri daripada kalangan yang berkepakaran dan berpandangan bahawa kerangka perundangan yang sedia ada dan akta-akta yang sedia ada telah terbukti membolehkan proses pembangunan semula bandar dilakukan tanpa ada masalah pun.

“Lebih membimbangkan apabila dilakukan pembangunan semula bandar, khususnya apabila melibatkan kawasan yang diduduki oleh orang Melayu dan akhirnya berakhir apabila dibuat pembangunan secara besar-besaran.

“Operasi orang Melayu di dalam bandar itu kalau dulu ada dalam 10 peratus dia akan jadi satu peratus dan sebagainya. Ini akan memberi kesan yang negatif terhadap keadaan demografi di dalam kawasan bandar itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapat maklum balas yang banyak daripada pengamal perundangan terutama sekali pakar berkaitan undang-undang tanah dan juga pakar pembangunan termasuk Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) yang telah memberikan reaksi negatif terhadap cadangan akta ini.

“Maka tidak hairanlah kita mendapat bantahan yang begitu meluas daripada pelbagai pihak berhubung dengan akta ini,” katanya.

Justeru, beliau akan terus membawa isu itu ke Parlimen dan memperjuangkan hak rakyat dalam pembangunan bandar yang lebih seimbang dan adil. 

HARAKAHDAILY 19/2/2025

Wednesday, January 29, 2025

Negara Barat had jualan arak, Malaysia bebas?

harakahdaily.com
January 29, 2025
GEORGE TOWN: Isu berkaitan minuman keras yang dibangkitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, sangat mengecewakan banyak pihak khususnya umat Islam di negara ini.

Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadeer berkata, saranan agar status quo penjualan arak di premis di kawasan majoriti penduduk Islam kekal, juga dianggap tidak relevan.

“Malaysia bukan negara Barat. Kita mempunyai pelbagai kaum dan adat yang perlu dihormati. Bukannya yang tak minum tak perlu beli. Itu tak masuk akal.

“Dia (Kor Ming) perlu sedar, budaya minum arak tidak boleh diterima oleh sesetengah kaum dan agama,” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu Mohideen turut menzahirkan kebimbangan dengan kelonggaran itu akan memungkinkan para peniaga dibenarkan menjual segala barangan tanpa sekatan, termasuk yang mendatangkan ancaman kepada individu dan masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kor Ming perlu sedar, negara-negara Barat juga sudah mengambil tindakan untuk mengehadkan jualan arak secara terbuka.

Mengapa di Malaysia katanya, tidak dilakukan perkara sama, sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam.

“Kebebasan menjual arak di semua tempat boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial, termasuk remaja bawah umur yang mungkin terdedah kepada tabiat meminum arak tanpa kawalan.

“Tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak di bandar itu, adalah tindakan yang baik dan sewajarnya Menteri KPKT tidak campur tangan dalam hal ini,” tegasnya lagi.

Tambah Mohideen, pihaknya juga berharap tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan budaya dan adat semua kaum di negara ini dihormati, apatah lagi yang membabitkan 3R (Agama, Raja, Kaum).

Justeru beliau mengharapkan isu itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mengambil langkah campur tangan bagi memastikan kawalan ketat terhadap penjualan minuman keras di negara dapat dilaksanakan.

“Langkah ini penting bagi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta mencegah masalah sosial yang lebih besar di masa hadapan,” katanya lagi. 

HARAKAHDAILY 29/1/2025

Saturday, September 21, 2024

‘Melayu hilang kuasa politik jika Akta Pembaharuan Semula Bandar lulus'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 21, 2024 12:13 PM

Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), yang kini di peringkat akhir sebelum dibentang di Parlimen, berisiko menjadikan orang Melayu hilang kuasa politik dan menjadi minoriti, menurut Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad.

Iskandar berkata perangkaan URA oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diterajui pemimpin DAP, Nga Kor Ming seperti ada “udang di sebalik batu”.

“Kita dah tengok bagaimana kampung-kampung tradisi dan warisan Melayu, contohnya di Batu Uban dan lain-lain di Pulau Pinang semua hilang habis dibangunkan dengan pembangunan baru.

“Yang akhir melihat kuasa orang Melayu, kedudukan orang Melayu hilang. Kenapa hilang? Kerana kita tidak lagi menjadi majoriti,” kata bekas Exco Selangor itu seperti dipetik Harakahdaily.

Iskandar memberi contoh satu pembangunan semula kawasan penduduk Melayu, daripada 500 unit kediaman kepada penempatan 2,000 unit.

Katanya, walaupun penduduk asal turut mendapat unit di projek kediaman baru itu, baki 1,500 unit akan dihuni oleh penduduk campuran dan mengubah keadaan asal penempatan di kawasan itu.

“Itu yang kenapa kita merasakan terdapat satu agenda yang tidak baik kepada akta ini. Tuan-puan sekalian, perumahan adalah satu instrumen politik yang paling berkesan untuk mengekalkan kuasa,” katanya lagi.
Nga Kor Ming
Iskandar juga mendakwa pentadbiran lalu menjadikan orang Melayu sebagai majoriti di sesuatu kawasan dengan menyediakan rumah mampu milik berharga bawah RM100,000 kepada mereka, namun kerajaan sekarang melakukan sebaliknya dengan pembinaan rumah berharga lebih RM500,000, yang tidak mampu dimiliki orang Melayu.

Terdahulu, Nga berkata sebaik saja URA diluluskan Parlimen, ia akan membuka peluang pelaburan yang besar dan menjana ratusan bilion Nilai Pembangunan Kasar (GDV).

‘Agenda DAP’

Iskandar berkata URA hanya mengandungi peruntukan “teknikal” seperti perpindahan, pampasan dan penggantian, yang menurutnya perkara kecil berbanding aspek komposisi kaum.

Dia mendakwa golongan miskin bandar akan paling terkesan dengan akta itu, apabila mereka perlu mempertahankan kediaman mereka kerana jika keluar, mereka tidak akan dapat kembali.

Sebagai contoh, dia membangkitkan perobohan kampung-kampung Melayu di Singapura untuk “pembangunan” dan menjadikan mereka minoriti di republik itu.

Selain itu, katanya lagi, Singapura mengamalkan dasar Etnic Integration Programme (EIP) di bawah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dengan orang Melayu ditetapkan hanya 28 peratus di satu-satu penempatan.

Dia mendakwa DAP juga melaksanakan dasar yang sama di Malaysia menerusi URA.

Iskandar kemudian mencadangkan satu koperasi diwujudkan untuk “menyelamatkan” tanah dan hartanah milik orang Melayu seperti rumah lama, sawah dan ladang.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-