Showing posts with label AADK. Show all posts
Showing posts with label AADK. Show all posts

Sunday, November 11, 2018

Leka dibuai nafsu songsang

MyMetro
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

PESERTA pesta gay yang ditahan penguatkuasa JAIS dalam serbuan di sebuah rumah. FOTO/NSTP

KUALA LUMPUR: Sekumpulan lelaki sedang leka berhibur dalam keadaan bogel ketika lokasi mereka berpesta di sebuah apartmen dua tingkat di Bandar Baru Bangi, Selangor diserbu sepasukan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jam 10.15 malam kelmarin dipercayai terbabit dalam aktiviti seks songsang.

Hasil semakan pegawai JAIS mendapati hanya tiga daripada 16 peserta pesta gay itu berusia 18 hingga 30 tahun ditahan bukan beragama Islam.

Difahamkan, serbuan itu dilakukan JAIS hasil maklumat diterima daripada orang awam sejak beberapa minggu lalu berhubung penganjuran pesta lelaki songsang di premis terbabit.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, seramai 50 anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi berkenaan yang diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasaan Agama Mahdi Al Hilmy Arshad dan dibantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, semua lelaki terbabit sedang berpesta dan ada yang sedang berbogel beramai-ramai di tingkat atas premis berkenaan.

“Ia adalah parti eksklusif untuk gay yang terhad kepada jumlah tertentu saja. Pemantauan JAIS mendapati mereka berkomunikasi menggunakan aplikasi WeChat bagi mengelakkan kegiatan songsang itu dikesan pihak berkuasa.

“Rumah berkenaan disewa khusus untuk pesta itu dan penganjur mengenakan sejumlah bayaran kepada peserta.

“Antara barang yang disita termasuklah ubat kuat atau pil perangsang, kondom, pelincir, cincin zakar dan seluar dalam. Semua mereka dibawa ke ibu pejabat JAIS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada rakaman percakapan dua daripada lelaki yang ditahan mengaku positif HIV .

Haris berkata, pihaknya akan sentiasa memantau kegiatan tidak bermoral seperti ini dan meminta orang ramai memberikan maklumat sekiranya mendapati wujud unsur-unsur yang bercanggah dengan agama.

“Kami akan terus mengambil tindakan mencegah kemungkaran ini dari terus berlaku dan mengharapkan semua pihak berperanan sewajarnya agar perlakuan seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 10:00 AM

Thursday, September 6, 2018

Ada enam kelab gay di KL, kata timbalan menteri


DEWAN NEGARA l Risikan kerajaan mengesahkan terdapat enam kelab gay beroperasi secara aktif di ibu negara, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Bercakap ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini, katanya keenam-enam kelab itu termasuk kelab Blue Boy yang terkenal di kalangan pelancong Eropah.

Walau bagaimanapun, menurut beliau pihaknya, sentiasa memantau semua kelab itu bagi memastikan tiada kes salah laku, jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Kita alu-alukan aduan daripada orang ramai untuk dilakukan serbuan dan operasi.

“Kelab Blue Boy saya difahamkan terkenal seluruh dunia kerana pamer perkhidmatan dalam media sosial. Blue Boy dikenali kerana pelancong-pelancong dari Eropah ‘taste’ (minat) orang Asia,” katanya.

Shahruddin juga memberi jaminan kementeriannya akan bertindak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sejak menerajui kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), kerajaan Pakatan Harapan dilaporkan melancarkan beberapa serbuan ke atas kelab gay dan beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Thursday, April 19, 2018

Risda haraf kerajaan benar pekebun tanam ketum

Bernama
April 19, 2018

Pengerusinya berkata tanaman ketum boleh meningkatkan lagi pendapatan pekebun kecil ekoran nilai perubatan tinggi yang diiktiraf pakar luar dari India dan Amerika Syarikat.


LANGKAWI: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan meneruskan lagi usaha meyakinkan kerajaan untuk membenarkan pekebun-pekebun kecil di negara ini menjalankan usaha penanaman ketum.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini berkata penanaman ketum boleh meningkatkan lagi pendapatan pekebun kecil ekoran nilai perubatan tinggi yang diiktiraf pakar luar dari India dan Amerika Syarikat.

“Kita sudah mengemukakan permohonan kepada Pusat Racun Negara. Mereka akan proses (permohonan ini) dan InsyaAllah mereka dapat meluluskannya,” katanya selepas program penyampaian sumbangan kepada pekebun kecil dan pemandu teksi Langkawi hari ini.

Di bawah permohonan ini, beliau berkata pekebun kecil yang terlibat perlu dilesenkan sebelum boleh menjalankan penanaman ketum ini dan pengawalan akan diterajui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi membendung sebarang penyalahgunaan hasil tanaman itu

“Agenda kita (Risda) adalah menuai daun dan dijual untuk penyelidikan perubatan, bukannya untuk dijadikan air ketum atau penyalahgunaan lain. Jangan salah faham,” katanya.

Sunday, December 24, 2017

Bukan kategori dadah

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Azam Shah Yaacob dan Syazwan Msar
am@hmetro.com.my
CONTOH air ketum. Gambar kecil, Zahidi Zainul Abidin. 
FOTO Eizairi Shamsudin & Muhammad Zuhairi Zuber

Kuala Lumpur: Ketum bukan kategori dadah yang perlu dikawal sepenuhnya termasuk melarang penanaman secara komersil berikutan harganya tinggi untuk pasaran antarabangsa.

Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Malaysia agak ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand berkaitan penanaman ketum secara komersial walaupun idea berkenaan disuarakan oleh pihak tertentu negara ini.

Beliau berkata, kajian dilaksanakan pihaknya bersama Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati ketum sejenis tumbuhan yang begitu berguna dalam bidang rawatan pelbagai penyakit.

“Malah, daun ketum juga berpotensi menjadi ubat penahan sakit yang cukup berkesan berbanding produk sedia ada di pasaran sekarang selain turut digunakan sebagai rawatan kepada penagih dadah.

“Ladang yang akan diusahakan nanti akan dikawal ketat oleh pihak berkaitan malah RISDA akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memantau penanaman terbabit supaya tidak disalah guna,” katanya.

“Ketum tumbuhan berguna untuk bidang perubatan dan idea menjadikannya sebagai tumbuhan komersial daripada negara ini sudah dipraktikkan negara lain yang mendatangkan keuntungan lumayan.

“Oleh itu, diharapkan pihak berkaitan memperkenalkan undang-undang bagi penanaman ketum dengan memberi peluang kepada pekebun kecil mengusahakannya secara terkawal,” katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu mengambil kesempatan dengan harga ketum yang begitu tinggi di pasaran membolehkan pekebun kecil menambah pendapatan mereka.

“Timbul masalah apabila daun ketum digunakan secara salah iaitu dicampurkan dengan bahan lain yang boleh memudaratkan kesihatan.

“Namun ladang ketum yang akan diusahakan nanti hanya bertujuan komersil dan bidang perubatan saja,” katanya.

Harian Metro semalam mendedahkan kewujudan berpuluh ekar ladang ketum haram di utara tanah air dengan kebanyakannya bertujuan memenuhi pasaran seludup ke negara jiran Thailand.

Sindiket didakwa memperolehi pendapatan sehingga ratusan ribu sebulan berikutan harga daun ketum yang mampu mencecah sehingga RM100 sekilogram di negara jiran.

Ini menyebabkan sindiket berlumba-lumba menyeludup daun ketum berbanding memprosesnya menjadi air khayal seperti dilakukan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 7:10 AM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-