Showing posts with label APM. Show all posts
Showing posts with label APM. Show all posts

Tuesday, January 1, 2019

Tangguh turun harga petrol helah k’jaan kaut untung – AJK PAS

Diterbitkan Hari ini 3:01 petang


Pemimpin PAS menyifatkan langkah kerajaan menangguhkan pengapungan harga minyak adalah helah untuk mengaut keuntungan daripada rakyat ketika harga bahan bakar itu merosot di pasaran dunia.

Anggota jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan Automatic Pricing Mechanism (APM), sejak awal Disember lalu RON95 sepatutnya dijual pada harga RM1.90 seliter.

"Ini bermaksud, dengan mengekalkan bahan api ini pada harga RM2.20 seliter, kerajaan mengaut untung sebanyak 30 sen bagi setiap liter daripada pengguna.

"Menjelang tahun baru, sekali lagi pengguna diminta terus menanggung "subsidi" untuk kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan harga petrol RON 97 dan RON 95 masing-masing kekal pada harga RM2.50 sen dan RM2.20 sen seliter sehingga Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan yang berkata, kementeriannya akan mendapatkan pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri ke atas penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum.

"Kementerian Kewangan akan mendapatkan pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri ke atas penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum, yang akan diumumkan selewat-lewatnya Jumaat ini," kata Lim.

Beban kos sara hidup

Dalam pada itu Khairuddin turut mengingatkan kerajaan supaya lebih teliti dan cermat dalam membuat penentuan mekanisme penetapan harga runcit petrol dan diesel supaya pengguna dan pengusaha stesen minyak tidak berhadapan dengan masalah yang tidak sepatutnya.

Katanya, APM hanya menguntungkan pengguna pada masa harga minyak mentah global menurun.

"Oleh itu, pendekatan menentukan harga runcit petrol berdasarkan sistem pengapungan harga bersekali dengan penetapan had harga maksimum seperti yang diumumkan oleh Kementerian kewangan petang semalam adalah memang sepatutnya.

"Namun, saya berpandangan had harga maksimum ini patut dan boleh direndahkan lagi berbanding RM2.20 bagi RON95 dan RM2.18 bagi diesel.

"Had harga ini penting supaya beban kos sara hidup rakyat tidak bertambah dan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan mendadak indeks harga pengguna (IHP).

"Kerajaan juga mesti mengehadkan kadar kenaikan harga runcit bahan api ini (dicadangkan maksimum 15 sen seliter) supaya pengguna tidak mengalami kesan perubahan perbelanjaan yang mendadak," katanya lagi.

Monday, December 31, 2018

'Penurunan harga minyak ditangguh ke akhir minggu pertama 2019'

Diterbitkan Hari ini 5:06 petang 


Harga runcit petrol nampaknya akan kekal sehingga Jumaat ini apabila kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan semula penetapan harga minyak mingguan, yang sepatutnya bermula 1 Januari 2019.

Sistem apungan harga secara mingguan dijangka akan menurunkan harga runcit petrol berikutan kejatuhan harga minyak mentah global pada masa ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ia bagi membincangkan bantahan oleh Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) berhubung langkah itu dan harga baru akan ditetapkan sebelum akhir minggu pertama 2019.

"Kerajaan berhasrat melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan agar pengguna menikmati perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia.

"Bagaimanapun kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang membantah langkah itu dan meminta kadar margin pengusaha setesen yang menjadi salah satu komponen bawah mekanisme harga automatik (APM) yang digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum," katanya dalam kenyataan.

Justeru, katanya lagi, jemaah menteri akan memutuskan perkara itu dalam mesyuarat pada 2 Januari ini.

"Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga akan bertemu PDAM dalam masa terdekat," katanya lagi.

Pada masa ini, harga runcit bagi RON95 adalah RM2.20 seliter, RON97 (RM2.50) dan diesel (RM2.18).

Pada 24 Disember lalu, Lim mengumumkan kerajaan akan kembali melaksanakan dasar penetapan harga secara mingguan bagi memberi kelebihan kepada pengguna di saat harga minyak mentah global menurun.

Ia mendorong PDAM untuk menggesa kerajaan menaikkan kadar komisen bagi jualan bahan api bagi menampung kos operasi yang dijangka meningkat berikutan pelaksanaan semula dasar itu.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan komited dengan penggunaan subsidi bagi membolehkan harga RON95 tidak melebihi RM2.20 seliter.

"Apabila harga minyak global turun, harga runcit produk petroleum juga akn diturunkan. Namun apabila harga minyak global naik, ia akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter.

"Pengekalan harga pada paras ini dikekalkan sehingga pelaksanaan subisi bersasar untuk RON95 pada pertengahan 2019," katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-