Showing posts with label Adam Adli. Show all posts
Showing posts with label Adam Adli. Show all posts

Wednesday, December 14, 2022

Shahidan ancam ambil tindakan jika Adam Adli gagal tunjuk bukti

bharian.com.my
Disember 14, 2022 @ 5:27pm
Shahidan (kanan) minta Adam Adli buktikan gejala rasuah berlaku dalam arena sukan negara.

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa persatuan bangkit menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, kini tiba giliran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bersuara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menggesa Adam Adli untuk membuktikan dakwaannya bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu gejala rasuah dan sekiranya tidak, tindakan susulan akan diambil.

"Jangan sekali-kali hendak menjadi juara dengan melemparkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas dan kurang fakta," kata Shahidan dalam satu kenyataan.

"Sila dapatkan maklumat lengkap bagaimanakah badan sukan diuruskan oleh orang yang dipilih. Sila buktikan badan sukan mana yang terlibat dengan rasuah."

Shahidan dalam pada itu berkata, Adam Adli sepatutnya mempertahankan sukan di Malaysia dan kenyataan dikeluarkannya itu dianggap sebagai 'kurang sihat dan tidak sesuai.'

"Ini adalah kurang sihat dan tidak sesuai dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan," katanya. "Jika tidak, kami akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dakwaan yang tidak berasas ini."

Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria nyata kurang senang dengan dakwaan Adam Adli dalam satu sidang media dengan menyatakan badan sukan di negara ini dibelenggu gejala rasuah.

Turut kecewa dengan kenyataan berkenaan adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt.

Adam Adli ketika sidang media pertama selepas melaporkan diri secara rasmi di Menara KBS dilaporkan berkata, arena sukan negara seharusnya bebas daripada sebarang amalan korupsi, ketidakcekapan dan ketirisan bagi mengangkatnya ke tahap lebih tinggi.

"Saya yakin pengamal media yang membuat liputan tentang sukan tahu sangat masalah ini… ia masalah dalaman sebenarnya sebab saya percaya ia bukan tentang prestasi atlet.

"Kita ada ramai atlet bertaraf dunia yang berjaya bawa emas untuk negara di kejohanan antarabangsa, tetapi selalunya bila kita meneliti secara mendalam, ia berkaitan isu korupsi, jadi kita perlu menguruskan isu ini," kata Adam Adli pada ketika itu.

Tuesday, December 13, 2022

MOM gesa Adam Adli justifikasi dakwaan rasuah dalam badan sukan

satuberita.my
By Bernama
-December 13, 2022
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim supaya menjustifikasikan dakwaan beliau bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.

Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.

“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.

“Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Norza berkata beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik.

Beliau berkata NSA terbabit juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang digeruni dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, boling tenpin dan silat.

“Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab. Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama menyebut adalah lebih baik jika Adam Adli mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum membuat kesimpulan.

Melontarkan pandangan sama, Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Chong Kim Fatt meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Adam Adli yang beliau anggap bersifat populis.

“Kenyataan itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Ia hanya bersifat merobek perasaan NSA yang kononnya adalah pihak berkepentingan terbesar dalam dunia sukan.

“Adalah tidak adil bagi mereka yang telah bertungkus-lumus dan bekerja siang malam untuk membuahkan kejayaan dalam acara sukan masing-masing,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-