Showing posts with label Dewan Muslimat PAS. Show all posts
Showing posts with label Dewan Muslimat PAS. Show all posts

Friday, February 14, 2025

Orang bukan Islam tak pernah dianiaya atau dihina

harakahdaily.net
February 14, 2025

SHAH ALAM: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor membantah cadangan untuk memecahkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada dua portfolio; urusan agama Islam dan hal ehwal bukan-Islam.

Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, bahawa cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui daripada DAP itu tidak wajar dan berpotensi mencetuskan pelbagai implikasi negatif.

“Kami menegaskan pendirian bahawa cadangan ini tidak wajar dan berpotensi mencetuskan pelbagai implikasi negatif. Pembentukan portfolio khusus untuk hal ehwal bukan Islam juga turut dipersoalkan. Di mana kewajaran untuk mewujudkannya?

“Realitinya, jarang sekali kita dengar aduan daripada masyarakat bukan-Islam di negara ini yang merasa teraniaya atau terhina,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan sendiri telahpun menjamin kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), dan kewujudan portfolio sebegini seolah-olah menidakkan jaminan tersebut.

Lebih membimbangkan katanya, portfolio baharu ini berpotensi bercanggah dengan fungsi Kementerian Perpaduan Negara dan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum.

“Ia juga boleh mencetuskan perbalahan antara pelbagai agama di Malaysia, memandangkan setiap agama – Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan lain-lain – mempunyai amalan dan kepercayaan yang unik dan berbeza.

“Menyamakan semua agama ini adalah satu tindakan yang tidak bijaksana dan tidak sensitif,” ujarnya.

Tambah beliau, pendirian Dewan Muslimat PAS Selangor tetap teguh pada prinsip Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.

“Sebagai orang Islam, kita bertanggungjawab untuk mempertahankan ketinggian agama kita, khususnya di Malaysia sebagai negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Mewujudkan portfolio hal ehwal agama bukan-Islam setaraf dengan portfolio hal ehwal Islam akan menjejaskan kedudukan Islam dalam Kerajaan Madani.

“Justeru, kami menyeru seluruh rakyat terutamanya PAS dan Umno bersama-sama melawan naratif jahat ini atas dasar penyatuan ummah,” katanya. 

HARAKAHDAILY 14/2/2025

Tuesday, November 10, 2020

Belanjawan 2021 : Demi kelangsungan hidup rakyat

November 10, 2020


DEWAN Muslimat PAS Malaysia ingin turut sama-sama mengetengahkan tema “Teguh Kita, Menang Bersama” yang digunakan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021. Ia menegaskan kebersamaan rakyat dan kerajaan dalam menghadapi kemelut ekonomi dan sosial yang terkesan akibat penyakit pandemik Covid-19. Tiga aspek utama dalam belanjawan kali ini iaitu, kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Peruntukan perbelanjaan yang sebahagian besarnya adalah untuk kepentingan rakyat seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang mensasarkan lebih 8 juta penerima yang berpendapatan isi rumah dari RM2500 sehingga RM5000 sebulan. Selain daripada itu, kerajaan turut membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP sebanyak RM500 untuk 12 bulan dengan jumlah keseluruhan RM6000. Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat dan memahami setiap denyut nadi rakyat.

Perbelanjaan untuk pendidikan sebanyak RM64.1 bilion pula adalah antara yang tertinggi dalam pecahan belanjawan kali ini yang antara lainnya mengutamakan pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah yang dhaif di Sabah dan Sarawak iaitu sebanyak RM783 juta dan peningkatan infrastruktur di sekolah kebangsaan sebanyak RM23 juta. Selain daripada itu, program penawaran kursus ijazah di rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) untuk pelajar lepasan kolej Vokasional dengan menggunakan perbelanjaan sebanyak RM5.9 bilion juga antara yang menarik perhatian ramai. Kedua-dua perkara ini sebenarnya sudah lama menjadi polemik perbincangan penggerak akademik negara dan akhirnya diambil peduli pada belanjawan kali ini.

Memandangkan negara masih lagi berperang dengan penyakit Covid -19, kerajaan menunjukkan kesungguhannya untuk bersama rakyat memerangi penyakit tersebut dengan membina dan menaik taraf hospital dengan perbelanjaan sebanyak RM1.6 bilion dan membina serta menaik taraf klinik kesihatan dengan perbelanjaan RM319 juta. Secara keseluruhan, peruntukan Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kesihatan adalah sebanyak RM30.6 bilion. Ini tidak termasuk belanjawan untuk mendapatkan vaksin Covid -19 sebanyak RM3 bilion.

Demi kelangsungan dan kerancakan ekonomi, Belanjawan 2021 ini juga merupakan kesinambungan kepada pakej ransangan ekonomi yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu Kita Prihatin, Prihatin, Prihatin SME Plus dan Penjana. Justeru itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia sangat mengharapkan semua pihak bersama-sama memberi sokongaan padu kepada belanjawan kali ini demi kesejahteraan rakyat seluruhnya yang perlu diutamakan.

Teguh kita, menang bersama
Islam memperkukuh perpaduan
Islam memimpin, wanita sejahtera


DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan ,
Dewan Muslimat PAS Malaysia

10hb November 2020 / 24 Rabiulawal 1442H

 – HARAKAHDAILY
    10/11/2020

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-